04 Januari 2011

Rasuah dalam perlawanan

Unsur rasuah atau membeli perlawanan bukan perkara baru dalam sukan Muay Thai. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di Thailand, malah di negara kita sendiri. Jika diperhatikan, petinju yang terkenal biasanya tidak mahu tewas apabil berlawan dengan petinju yang baru meningkat naik. Jadi mereka akan membayar dengan kadar lumayan agar petinju baru tersebut tewas.

Ada juga petinju yang berlawan ala kadar kerana lawan mereka ialah bekas rakan sepelatih atau kenalan rapat. Walaupun tiada unsur rasuah, mereka tetap menyalahi peraturan perlawanan yang mengkehendaki mereka berlawan sepenuh hati.

Selain itu, ada petinju yang berpura-pura tewas kepada petinju terkenal kerana diminta oleh penganjur. Penganjur terpaksa berbuat demikian kerana menuruti kehendak petinju terbabit yang tidak mahu tewas sebagai syarat menyertai pertandingan.

Antara petinju Thailand yang pernah tertangkap kerana rasuah ialah Saiyok Pumpanmuang. Saiyok yang berpura-pura tewas dalam perebutan tali pinggang menentang Singmanee Sor Srisompong telah dihentam dengan teruk oleh media sehingga memaksa semua penganjur terkenal mengharamkannya bertanding. Terbaru, pihak media telah mengenal pasti kekalahan Petchmongkong Petchfocus, petinju pilihan pertama dalam Thai Fight di Bangkok bulan lepas. Petchmongkong tewas dengan mudah kepada Fabio Pinca dalam saingan separuh akhir walaupun pada mulanya dia dilihat mudah menjinakkan Fabio pada pusingan pertama.

Orang Thailand memang suka bertaruh. Mereka bertaruh dalam apa jua sukan - bola sepak, laga ayam, lumba kuda dan Muay Thai tidak terkecuali. Pertaruhan memaksa mereka membayar dengan harga tinggi kepada petinju yang mereka ingin kalah. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam soal ini? Sampai bila peminat ingin melihat petinju idola mereka berlakon di atas pentas mengalahkan pelakon teater? Tepuk dahi tanya hati.

Tiada ulasan: