29 Januari 2011

Jom tengok tomoi di Perak

Jom tengok tomoi di Perak, jaguh-jaguh tempatan akan bersaing sesama sendiri bagi menentukan siapa yang terbaik. 12-13 Februari di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Manjung. Kudin Raja Jerong, Ejo dan Izzat (Malaysian Tigers) akan menentang jaguh-jaguh baru dari Perak. Apix Bee (Sitkrumat Naga Api Raub) akan turut sama mengambil bahagian.

KLFK menggegarkan KL Mac ini!

KLFK sekali lagi akan menganjurkan Kejohanan Freestyle Martial Arts Fight bertempat di Stadium Badminton Cheras, KL. Terdapat 12 petarung antarabangsa, dan 18 jaguh terhebat tempatan yang akan mempamerkan kehebatan masing-masing dalam kejohanan yang diadakan pada 25-27 Mac ini. Kejohanan freestyle ini bukan sahaja diisi dengan perlawanan freestyle kickboxing, bahkan juga perlawanan tinju profesional dan MMA. Sama-sama kita meriahkan.

26 Januari 2011

Get Muay Thai products here!

All items are posted out within 24 hours of cleared payment, first class recorded delivery unless stated. All items are insured, so you can buy with complete confidence! Top quality items at unbeatable prices and fast delivery service. If you don’t believe us, just check out our feedback. See our product in Facebook,

23 Januari 2011

Mengapa memilih Sitkrumat?

Sitkrumat ditubuhkan dengan matlamat untuk memperkembangkan sukan Muay Thai di Klang khususnya dan negeri Selangor amnya. Sejak memulakan latihan pertama di Taman Rakyat Klang 3 tahun lalu, Sitkrumat telah menerima penyertaan sebanyak 238 orang. Setiap minggu pasti ada pelatih baru yang mendaftar masuk. Kini, ahli yang masih aktif dan sentiasa datang latihan adalah seramai 35 orang.

Ramai yang datang ke Kem Sitkrumat setelah membaca blog ini. Ada juga yang datang setelah menerima cadangan dari kelab atau gim Muay Thai di sekitar Lembah Kelang. Kebanyakan yang datang ialah pelatih baru yang tidak mempunyai apa-apa asas dalam sukan atau seni mempertahankan diri.

Ada juga pelatih yang pada awalnya bercita-cita besar ingin menempa nama dalam arena pertandingan tetapi terpaksa melupakan hasrat itu setelah mengalami kecederaan (bukan kerana Muay Thai tetapi kerana aktiviti lain).

Ada juga yang datang kerana ingin memiliki tubuh yang 'fit' dan boleh bergaul dengan orang-orang aktif sekitar mereka. Ada juga yang datang sekadar untuk mengisi masa lapang kerana tiada aktiviti yang ingin dibuat pada hari minggu.

Sitkrumat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mendalami ilmu Muay Thai. Seperti kelab-kelab di Kelantan, kami tidak mempunyai gim berhawa dingin. Kami cuma berlatih di atas padang getah futsal taman rekreasi. Namun semangat para ahli yang sentiasa datang membuat latihan setiap hari minggu menjadikan Taman Rakyat meriah dengan pelbagai gelagat pelatih Sitkrumat.

Jika anda ingin menjadi salah seorang daripada kami, datanglah ke Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang. Kami menjalani latihan setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pada pukul 4.30 hingga 7.30 malam. Latihan intensif untuk pelatih yang ingin bertanding pula dijalankan di kediaman Cikgu di Taman Perwira, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat setiap hari kerja bermula pada pukul 5.00 hingga 7.00 malam.

Untuk menjadi ahli, anda cuma perlu membayar RM50 (sekali seumur hidup). Tiada yuran latihan dikenakan dan anda boleh datang belajar dan berlatih selagi anda mahu.

20 Januari 2011

Gloves pertandingan

Gloves adalah aspek penting dalam kejohanan Muay Thai. Mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh WMC, WBC dan WPMF, gloves yang digunakan perlulah mempunyai kelulusan daripada ketiga-tiga badan sukan ini. Saiz gloves perlulah mengikut kelas berat badan petinju, iaitu, 6 auns (132 gram) bagi Mini Flyweight - Junior Featherweight, 8 auns (227 gram) bagi Featherweight - Welterweight dan 10 auns (284 gram) bagi Junior Middleweight - Heavyweight.

Gloves pula mestilah daripada jenis 100% kulit yang bertali dan ditampal dengan selotape bagi mengelakkan talinya terbuka atau mencederakan lawan. Kebanyakan penganjur di Thailand menggunakan gloves bersaiz 6 auns kerana petinju mereka bersaiz kecil berbanding petinju Eropah yang menggunakan gloves bersaiz 10 auns.

Jika diperhatikan, hampir semua penganjur di Malaysia tidak mengikut peraturan pemakaian gloves yang ditetapkan. Namun penganjur Muay Thai terbesar di Malaysia, Boxx Event sentiasa menyediakan empat pasang gloves untuk petinju dan diperiksa oleh pegawai bertugas sebelum petinju naik ke gelanggang.

Penganjur lain lebih senang menggunakan gloves velcro yang digantung di tali gelanggang. Gloves yang disediakan pula kadang-kala bersaiz sparring (10-12 oz). Ada juga kekhilafan apabila penganjur menggunakan gloves tinju profesional yang sama sekali tidak sesuai untuk pertandingan Muay Thai. Selain itu, ada juga gloves daripada material PU (kulit tiruan). Gloves PU sememangnya tidak selamat digunakan kerana pengilang biasanya menggunakan lapisan span yang lembik dan nipis.

Selepas ini diharapkan penganjur menyediakan gloves yang mematuhi peraturan. Ini bagi mengelakkan kecederaan kepada petinju yang menggunakannya. Walaupun di Malaysia belum ada badan yang memantau, sebagai penganjur mereka perlu sedar keselamatan petinju adalah lebih penting berbanding keuntungan.

19 Januari 2011

Terima kasih Boxxtomoi

Sejak tersiarnya dokumentari Muay Thai dalam Majalah 3 minggu lepas, gim-gim dan kelab Muay Thai seluruh negara mula diserbu oleh peminat. Orang ramai kini mula membuka mata. Kalau dulu mereka beranggapan Muay Thai cuma ada di Thailand, kini mereka sedar bahawa setiap pelosok negeri di Malaysia ini mempunyai kelab Muay Thai.

Orang ramai juga sudah tahu bahawa ada anak tempatan yang berjaya mengharumkan nama sehingga ke peringkat antarabangsa. Firdaus Janai, figura dari Kulim, Kedah ini tiba-tiba melonjak ke senarai teratas ejen carian seperti Google dan Yahoo setelah menjadi watak penting dalam dokumentari terbitan TV3 berkenaan.

Blog Boksing Kelantan mengucapkan ribuan terima kasih kepada blogger Musaddik Zainuddin (http://www.boxxtomoi.com/) kerana memberi idea kepada TV3 membuat dokumentari berkenaan. Kini, banyak kelab mendapat manfaatnya apabila ramai anak muda datang untuk menjadi jaguh seperti Firdaus Janai. Sitkrumat juga menerima tempiasnya. Semoga selepas ini lebih ramai penerbit dan pengarah filem memperkenalkan sukan Muay Thai dalam filem atau rancangan mereka.

17 Januari 2011

Kem 1Malaysia

Di Kem Sitkrumat Klang, setiap pelatih ialah VIP tanpa mengira umur dan bangsa. Kem kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk datang belajar atau berkongsi ilmu. Pelatih yang paling muda di sini berusia 5 tahun dan yang paling tua berusia 38 tahun.

Peminat cuma perlu datang dan mengisi borang pendaftaran dan membuat pembayaran yuran keahlian sebanyak RM50, tiada yuran latihan dikenakan. Apabila anda sudah diterima sebagai ahli, anda akan mengikuti latihan dari awal sehingga tamat silibus yang telah ditetapkan. Jika anda ingin berhenti daripada mengikuti latihan, anda boleh berhenti bila-bila masa yang anda mahu.

Di sini, tiada orang lama atau orang baru. Semua pelatih dianggap sama. Anda akan belajar apa yang murid senior sudah belajar. Jurulatih di sini yang terdiri daripada Cikgu sendiri dibantu beberapa pelatih senior sedia memberi tunjuk ajar berdasarkan silibus fleksibel yang telah dirangka sebaik mungkin. Kelengkapan di sini disediakan dengan cukup untuk menampung semua murid dalam satu-satu masa.

Kem kami menggunakan kelengkapan berkualiti tinggi dari jenama no.1 Thailand, iaitu Raja Boxing. Seluar latihan dan minyak panas Namman Muay boleh dibeli daripada Cikgu dengan harga lebih rendah berbanding di mana-mana gim atau kedai. Untuk mengelakkan dehidrasi semasa latihan, pelatih digalakkan membawa air mineral kerana air tidak disediakan.

Sitkrumat amal keilmuan Islam

Sitkrumat terkenal dengan tradisi pengajaran yang berbeza dengan gim atau kelab Muay Thai lain di negara ini. Contohnya, kaedah pengajaran tutorial ialah secara bersemuka antara jurulatih dengan pelatih. Kaedah ini sudah menjadi tradisi di Sitkrumat sejak awal penubuhannya 3 tahun lalu.

Kaedah ini sangat berkesan dalam sistem pengajaran. Para pelatih akan mendapat ilmu secara langsung daripada jurulatih. Segala masalah dan kelemahan pelatih boleh ditegur dan diperbaiki oleh guru serta boleh mengelakkan pelatih daripada mendapat kefahaman yang salah.

Kaedah ini berasal daripada tradisi Islam yang dikenali sebagai kaedah talaqqi. Talaqqi dari segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Dari segi istilah, ia bermaksud pertemuan antara guru dengan murid secara bersemuka.

Kaedah ini sebenarnya telah berlaku ketika peristiwa penurunan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad di Gua Hira. Nabi diajar al-Quran secara bersemuka oleh Jibril di mana Jibril membaca dahulu dan didengar oleh nabi. Kemudian dibaca semula oleh nabi dan didengar oleh Jibril. Dalam peristiwa ini, Jibril bertindak sebagai guru kepada baginda.

Itulah permulaan talaqqi dan ia merupakan tradisi yang dimulakan oleh Islam. Sitkrumat berbangga kerana kaedah ini menjadi amalan kem ini sejak dahulu lagi.

16 Januari 2011

Kenapa RM50?

Ramai yang berkata saya menjana keuntungan yang banyak dengan mengajar Muay Thai. Sebenarnya mereka tidak tahu banyak yang perlu dikorbankan dan saya tidak pernah berasa kaya dengan mengajar.

Kem Sitkrumat mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 yang dibayar sekali seumur hidup dan tiada yuran latihan. Sebelum ini Sitkrumat cuma mengajar secara percuma. Kadar RM50 itu dianggap terlalu rendah jika dibandingkan dengan mana-mana kelab Muay Thai atau seni mempertahankan diri di Malaysia kini. Bermula pada hujung tahun lepas, saya mula mengenakan bayaran pendaftaran memandangkan pelatih semakin bertambah yang memerlukan saya menambah kelengkapan latihan seperti gloves dan Thai pads.

Sepasang gloves bukanlah berharga puluhan ringgit sebaliknya mencecah RM300 sepasang. Saya juga perlu menyediakan minyak Namman satu botol sehari untuk keperluan pelatih. Kalau nak dikira kos sehari latihan di kelab atau bengkel Muay Thai, seseorang pelatih perlu membayar minimum RM50. Untuk membuat duit dengan mudah, saya tidak perlu mengajar Muay Thai. Cukup mengajar tuisyen selama dua jam sehari, saya sudah mampu mendapat RM50.

Ramai tidak mengetahui bahawa saya terpaksa mengorbankan masa hujung minggu saya bersama keluarga semata-mata ingin melatih anak-anak buah Sitkrumat. Saya juga terpaksa menampung sendiri kos petrol dari rumah saya di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat ke Kem Sitkrumat di Taman Andalas, Klang yang jaraknya 20 kilometer sehala. Semua ini dilakukan bukanlah kerana ingin membuat duit sebaliknya kerana minat yang mendalam dalam sukan Muay Thai dan ingin berkongsi ilmu dengan orang ramai. Dan kerana minat yang mendalamlah ada pelatih sanggup datang dari Putrajaya, Gombak, Kuala Lumpur malah terus dari Melaka.

Jadi, yuran pendaftaran sebanyak RM50 tidak perlu dipertikaikan oleh peminat Muay Thai yang ingin belajar. Jika terlalu mahal, peminat boleh belajar di gim atau kelab lain yang tentunya mengenakan yuran pendaftaran dan yuran latihan yang sangat tinggi. Siktrumat tidak mengenakan yuran latihan kerana kami tidak perlu menyewa bangunan dan membayar gaji jurulatih dari Thailand.

15 Januari 2011

Warna-warni pada tahun baru

Balutan tangan di dalam bilik persalinan

Ikatan prajed

Memakaikan mongkon kepada nak muay

Bersedia naik ke gelanggang

Irama gendang Muay sambil berdiri yang mengiringi perlawanan

Langkah sembah yang unik dipersembahkan untuk penonton

Sepak rendah yang hampir menumbangkan lawan

Sedang membaca pergerakan lawan

Satu sepakan dilepaskan

Urutan semasa waktu rehat (2 minit)

Mengurut sambil memberi tips

Lutut daripada lawan yang tidak dapat dielak

Skill lebih memihak kepada lawan yang berpengalaman

Penonton yang memenuhi Stadium Titiwangsa

14 Januari 2011

Keputusan Kejohanan Muay Thai Cabaran KL 2011

Malam 1 (7 Januari 2011)

Regu 1
Lokman Hakimi (Kuda Merah PDRM) seri Hafiz (Singa Malaya)

Regu 2
Ikhwan (M-150 S.Alam) seri Firdaus Mat Nor (Sitkrumat)

Regu 3
Amirul (Kuda Merah) menang KO R2 Taufik Addura (Malaysian Tigers)

Regu 4
Aisamudin (Anak Naga Api) kalah KO R2 Ejo (Merican)

Regu 5
Tg. Shahrizal (Kuda Merah) menang KO R2 Pori Muslim (M-150)

Firdaus Mohd Noor yang mewakili Sitkrumat menentang Ikhwan M-150

Malam 2 (8 Januari 2011)
Regu 1
Mohd Tarmizi (Anak Kuda Merah) menang KO Suhaimi Adam (Kickboxing Bukit Bintang).

Regu 2
Wan Cempaka (Sitkrumat) kalah KO R2 Solihin (White Tiger Tumpat)

Regu 3
Edi (M-150, S.Alam) menang KO R3 Lan M-zie (Anak Kuda Merah)

Regu 4
Kamarul Ismail (Kuda Merah PDRM) menang TKO R5 Soong Do (Singa Malaya)

Regu 5
Eddi Selindang Kuning (Kirsty MTFC) seri Mat Ropi (M-150 Kota Bharu)
Wan Cempaka Sari menentang petinju berpengalaman dari Tumpat Kelantan, Solihin Appolo

Keistimewaan Muay Thai

1. Kebolehan menggerakkan sendi dan menggunakan otot pada tahap sepatutnya. Meregangkan otot dikira sebagai flexibility. Apabila tubuh lebih lentur (flexible), anda akan lebih mudah bergerak seperti mengikat tali kasut, mencapai barang di tempat tinggi dan anda memiliki tahap keseimbangan yang lebih baik.

2. Meningkatkan jumlah oksigen yang dihantar ke otot yang mana membenarkan otot bekerja lebih lama. Aktiviti skipping dan angkat berat dalam Muay Thai adalah sebahagian senaman. Ini akan mengurangkan risiko diabetis, barah, serangan jantung, nafas pendek, tekanan darah tinggi, kegemukan, tahap kolestrol, tekanan perasaan.

3. Melatih otot supaya lebih bertenaga dan berguna untuk aktiviti mengangkat barangan berat atau menguatkan otot supaya ia lebih lentur. Kekuatan otot membuatkan anda berupaya mendukung anak, mengangkat barangan yang dibeli dari kedai tanpa rasa letih. Memiliki otot yang kuat dapat melindungi sendi dari kecederaan.

12 Januari 2011

Menurunkan berat kaedah Sitkrumat

Cikgu perturunkan kaedah yang diamalkan oleh Kem Sitkrumat untuk menurunkan berat badan pelatihnya.

Untuk menurunkan berat, anda perlu:
1. Perlahan-lahan mengubah cara pemakanan kepada makanan seimbang (balanced diet).
2. Kurangkan atau tolak sekali gus makanan yang menggemukkan (seperti nasi lemak, gula-gula dll).
3. Biasakan makan 6-7 kali sehari. Ini untuk mengawal nafsu.
4. Mulakan (atau meningkatkan) senaman cardio seperti bersukan, jogging dan sebagainya.
5. Bergiat dalam senaman mengangkat berat untuk meningkatkan kekuatan dan mengekalkan/meningkatkan jisim otot anda.

Berapa lama anda perlu “berlatih” untuk mencapai sasaran? Soalan ini memang susah untuk dijawab kerana semuanya bergantung kepada komitmen dan disiplin anda. Di sini, anda harus faham bahawa proses pertambahan berat yang anda sudah lalui mengambil masa yang lama (bertahun-tahun). Proses pengurangan berat dan pengawalan berat badan pun patut berpanjangan dan tidak boleh untuk jangka masa yang pendek atau untuk mencapai sasaran anda semata-mata.

Memang ramai yang menyertai pelbagai program diet untuk beberapa bulan dan mungkin mencapai perubahan yang menggalakkan, TETAPI selepas itu? Kebanyakan orang akan kembali ke cara pemakanan yang asal dan tidak sedar selepas itu badan akan kembali ke bentuk asal! Itu bukan gaya hidup yang sihat.

Oleh sebab itu saya menggalakkan anda mengubah cara hidup (pemakanan & senaman) dengan perlahan-lahan & realistik. Tidak mudah untuk membuang tabiat yang buruk dalam sehari-dua. Yang penting, dalam jangka masa yang panjang, ia akan menjadi gaya hidup yang kekal.

Memiliki six packs

Memiliki six packs merupakan impian semua pengamal Muay Thai. Kebolehan kita untuk menonjolkan perut yang cantik bukan bergantung kepada senaman semata-mata tetapi hanya bergantung kepada adanya lapisan lemak antara perut dengan kulit. Selagi anda memiliki lapisan lemak ini, senaman perut terbaik dunia pun tidak dapat membantu.

Adakah ini bermakna sit ups dan crunches yang anda buat selama ini sia-sia? Latihan senaman ini cuma menjadikan otot perut anda lebih kuat dan besar, tetapi masih belum dapat membakar lemak yang melindungi otot perut anda.

Pernahkah anda sedar bahawa seorang yang kurus mempunyai perut yang cantik tanpa melakukan satu sit up sekali pun. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai lapisan lemak yang tebal. Sebenarnya latihan harian seperti berjalan dan bersukan sudah memadai untuk latihan tengah badan.

Jadi, bagaimanakah untuk membuang lemak yang degil itu? Jawapannya, selagi anda mengambil kalori dalam jumlah yang sedikit, maka badan anda akan membuang lemak dari semua kawasan termasuk bahagian perut. Cikgu tidak pernah melihat seorang yang mempunyai six packs tetapi tangannya lembik. Semestinya ia datang dalam satu pakej.

Jika inginkan perut yang cantik, lakukan perkara berikut:

1. Kurangkan lemak badan dengan mengambil makanan yang sedikit.
2. Masukkan senaman kardio seperti joging ke dalam program kecergasan anda untuk membakar kalori berlebihan.
3. Senaman perut seperti sit ups, crunches atau ab-wheel. 1-2 kali seminggu sudah cukup.

Mendapat six-packs

Mendapat otot perut yang pejal (six pack) ialah impian semua pengamal Muay Thai. Untuk memiliki six pack, seseorang itu memerlukan latihan yang konsisten dan lama. Bekas Juara PK-1 Dunia, Seethanonchai Sor Chitlada pun mengaku membuat latihan sit-up sewaktu bangun tidur sebanyak 200 kali dan rutin itu dilakukan selama bertahun-tahun.

Ramai pengamal Muay Thai gagal mendapat six pack walaupun latihan yang dilakukannya itu lama dan kerap. Keadaan ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah:

1. Keunikan biologi tubuh kita yang selalu menyimpan lemak di bahagian perut sebelum disebarkan ke seluruh tubuh.
2. Pola latihan yang salah.
3. Pola makan yang tidak teratur.
4. Pola istirehat yang tidak cukup.

Daripada pelbagai sumber yang Cikgu dapat, banyak cara membentuk six pack, tetapi ada satu tips paling berguna, iaitu semua disebabkan oleh metabolisme tubuh. Jika seseorang mempunyai metabolisme tubuh yang bagus, maka untuk memperoleh six pack akan lebih mudah. Ada kenyataan bahawa tubuh menyimpan lemak di perut terlebih dahulu sebelum disebarkan ke seluruh tubuh. Oleh sebab itu, kita harus menyusun pola latihan yang sesuai untuk melatih bahagian perut.

Melatih perut bahagian bawah sewaktu awal latihan akan memberikan hasil yang lebih maksimum daripada melakukan sit-up biasa. Ini kerana sewaktu awal latihan otot belum letih, dan gerakan menarik otot bahagian bawah juga melatih otot perut secara keseluruhan secara bersama-sama. Melatih otot perut akan lebih baik jika dilakukan bersama-sama otot tubuh seperti dada, bahu, lengan, punggung, paha dan betis.

Pola makan merupakan kunci kejayaan terbesar dalam membentuk six-pack. Latihan keras tanpa mengatur pola makan adalah silap sama sekali. Mengambil kalori melebihi aktiviti seharian akan menyebabkan kalori berkumpul menjadi lemak.

Yang terakhir pentingnya ialah mengatur pola istirehat. Pastikan istirehat cukup, hindari tidur lewat. Menurut kajian, orang yang yang biasa berjaga lewat malam akan mengambil makanan ringan atau sajian lewat malam untuk mendapatkan tenaga. Untuk semalaman sahaja, lemak akan bertambah sebanyak 118 kalori, dan apabila didarabkan selama satu bulan akan menjadi 3540 kalori atau setengah kilogram lemak dalam tubuh.

06 Januari 2011

Selamat berjaya Sitkrumat

Blog Boksing Kelantan mengucapkan selamat berjaya kepada Wan Cempaka Sari (Sitkrumat Raub) yang akan turun bertarung dengan Solihin (White Tigers, Tumpat) dalam Kejohanan Muay Thai Cabaran KL anjuran Kelab Tomoi Kuda Merah di Stadium Titiwangsa. Wan akan bertanding pada malam kedua (8 Januari 2011). Selain itu, seorang lagi wakil Sitkrumat, Mohd Firdaus Mohd Noor akan menentang Ikhwan (M-150, Klang) pada malam pertama (7 Januari 2011). Semua peminat Muay Thai yang tinggal berdekatan dipelawa hadir memeriahkan acara.

05 Januari 2011

First Muay Thai camp in Klang

Sitkrumat is the oldest and longest running Muay Thai camp in Klang. Originating in 2008; founder Kru Raja Ahmad has made Muay Thai his life promoting 5 seminars and 10 exhibitions and training more than 200 trainees; as well as promoting the unique Thai culture to the people of Selangor.

At Sitkrumat we cater to your needs whether it be getting fit or learning self defence. Muay Thai is the ultimate for achieving everything required for a sound body and mind including: Self Defence, Self Respect, Motivation, Confidence, Discipline, Fitness & Agility, Co-ordination, Body Tone, Strength, Power and Fat Loss.

Students will learn Sitkrumat's structured and organized drill sets that will accelerate their progress in learning Muay Thai Kickboxing. At this camp you will learn:

1. Kao - 8 forms of knee striking!
2. Sok - 8 ways to knockout your opponent with your elbows!
3. Teep - Learn how to easily keep an agressive opponent from advancing and finish him with brutal blows!
4. Punches – We will show you how to put together combinations that will confuse, hurt and knockout your opponents!
5. Roundhouse Kicks - Learn Sitkrumat's method of generating extreme power in your kicks through a breakdown of each kick.

To contact me for training you can come visit me at Sitkrumat Thai Boxing Camp, Taman Rakyat Klang. If you want to call to make appointments for personal training our phone number is 0199241656.

04 Januari 2011

Rasuah dalam perlawanan

Unsur rasuah atau membeli perlawanan bukan perkara baru dalam sukan Muay Thai. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di Thailand, malah di negara kita sendiri. Jika diperhatikan, petinju yang terkenal biasanya tidak mahu tewas apabil berlawan dengan petinju yang baru meningkat naik. Jadi mereka akan membayar dengan kadar lumayan agar petinju baru tersebut tewas.

Ada juga petinju yang berlawan ala kadar kerana lawan mereka ialah bekas rakan sepelatih atau kenalan rapat. Walaupun tiada unsur rasuah, mereka tetap menyalahi peraturan perlawanan yang mengkehendaki mereka berlawan sepenuh hati.

Selain itu, ada petinju yang berpura-pura tewas kepada petinju terkenal kerana diminta oleh penganjur. Penganjur terpaksa berbuat demikian kerana menuruti kehendak petinju terbabit yang tidak mahu tewas sebagai syarat menyertai pertandingan.

Antara petinju Thailand yang pernah tertangkap kerana rasuah ialah Saiyok Pumpanmuang. Saiyok yang berpura-pura tewas dalam perebutan tali pinggang menentang Singmanee Sor Srisompong telah dihentam dengan teruk oleh media sehingga memaksa semua penganjur terkenal mengharamkannya bertanding. Terbaru, pihak media telah mengenal pasti kekalahan Petchmongkong Petchfocus, petinju pilihan pertama dalam Thai Fight di Bangkok bulan lepas. Petchmongkong tewas dengan mudah kepada Fabio Pinca dalam saingan separuh akhir walaupun pada mulanya dia dilihat mudah menjinakkan Fabio pada pusingan pertama.

Orang Thailand memang suka bertaruh. Mereka bertaruh dalam apa jua sukan - bola sepak, laga ayam, lumba kuda dan Muay Thai tidak terkecuali. Pertaruhan memaksa mereka membayar dengan harga tinggi kepada petinju yang mereka ingin kalah. Siapakah yang harus dipersalahkan dalam soal ini? Sampai bila peminat ingin melihat petinju idola mereka berlakon di atas pentas mengalahkan pelakon teater? Tepuk dahi tanya hati.

03 Januari 2011

Slim dengan Muay Thai

Kem Sitkrumat ialah satu-satunya kelab Muay Thai yang bergerak secara aktif dan diiktiraf oleh Persatuan Muay Thai Malaysia di Klang, Selangor. Kem ini diasaskan pada awal 2008 di Taman Rakyat Klang.

Kem ini disertai oleh pelbagai bangsa dan agama tanpa mengira latar belakang. Ramai yang datang berlatih pada mulanya sekadar untuk mengetahui asas Muay Thai tetapi terus mendalaminya sehingga ke peringkat tertinggi. Ada juga yang datang dengan niat untuk menurunkan berat badan setelah pelbagai kaedah senaman tidak berkesan.

Sebagai jurulatih yang mempunyai pengetahuan dalam sains sukan, Cikgu sentiasa memberi panduan kepada setiap pelatih untuk mendapat hasil yang terbaik melalui latihan Muay Thai. Testimoni paling baik yang sering menjadi rujukan setiap pelatih ialah perubahan fizikal dua pembantu jurulatih Sitkrumat, iaitu Zaim Sitkrumat dan Bob Sitkrumat. Kedua-duanya ialah pelatih paling lama di Sitkrumat dan memiliki berat badan melebihi 100kg sebelum ini tetapi berjaya menurunkan berat badan dengan kaedah Muay Thai sehingga menjadi 80kg.

Jika anda ingin mencuba menurunkan berat badan dengan cara kami, silalah berkunjung ke Kem Sitkrumat di Taman Rakyat Klang. Latihan diadakan setiap Selasa, Sabtu dan Ahad. Kami akan membantu anda sebaik mungkin dan selebihnya terserahlah kepada kebijaksanaan anda.

Kami tidak menjanjikan perubahan yang singkat seperti iklan ubat kurus di TV kerana tanpa senaman dan diet yang teratur, anda tidak akan berjaya juga. Pelatih yang telah berjaya mendapatkan berat badan ideal sebelum ini pun sentiasa berlatih, berlatih, berlatih. Jika anda serius untuk berubah, apa salahnya mencuba.

02 Januari 2011

Kejohanan Muay Thai AMAE 2010

Sudah seminggu Blog Boksing Kelantan tidak dikemaskini kerana Cikgu sibuk membuat menghadiri mesyuarat awal tahun di sekolah dan persiapan sempenan sesi baru persekolahan yang akan bermula pada 3 Januari. Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama KLFK telah menganjurkan kejohanan Muay Thai sempena AMAE 2010 di Muzium Telekom, Kuala Lumpur. Pada malam kedua, Cikgu telah diundang oleh penganjur untuk menjadi pengulas perlawanan memandangkan acara ini disiarkan secara langsung di Astro Arena.

Perancang acara, En. Carlif Carleel telah menambah unsur glamourous dalam pertarungan Muay Thai dengan set pentas yang menarik. Acara dimulakan dengan tarian moden sebelum disusuli pertunjukan fesyen dari pereka terkenal tanah air, Key Ng. Penonton yang memenuhi muzium seawal pukul 7 malam lagi terpukau apabila supermodel terkenal Malaysia, Amber Chia dan rakan-rakannya memperagakan fesyen 'cyclist' dari Key Ng.

Tepat jam 8 malam, pengacara, Sazzy Falak memperkenalkan lapan petinju yang bertarung pada malam itu. Dengan diiringi oleh supermodel, setiap petinju berjalan dengan megah persis model di atas gelanggang tinju yang disewa khas untuk kejohanan itu.

Pertarungan pertama adalah antara Fareez dari Kelab Tomoi Jhai Lek yang menentang Aw Aw dari Myanmar. Fareez yang pertama kali bertarung di pentas profesional menunjukkan aksi yang mantap walaupun lawannya itu dilihat lebih berpengalaman. Walaupun cedera di mulut dan hidung, Fareez tetap bertahan sehingga tamat pusingan lima yang memberikan kedudukan seri.

Perlawanan kedua walaupun dilihat kurang adil tetapi sangat menarik. Danny Gurdesh Singh yang mewakili Kelab Kambiz Warrior, Ampang turun menentang Hussein Khadam dari Iran. Hussein yang sebelum ini pernah menewaskan petinju Sitkrumat, Wan Cempaka Sari tidak dapat menahan asakan Danny yang jauh lebih tinggi daripadanya. Jangkauan tangan Danny yang lebih panjang memberi kelebihan kepadanya sebelum menang TKO pada pusingan kedua dengan hentakan siku di pelipis Hussein.

Dalam perlawanan ketiga, Mat Seman Kipas Lanun (Nong Kok, Kota Bharu) cuma mampu bertahan sehingga pusingan kedua sebelum tewas KO kepada Tang Datu dari Thailand. Datu yang kini mengajar di Merican Muay Thai Gym, Mont Kiara seperti sudah dapat membaca semua pergerakan Mat Seman yang kehilangan punca seawal loceng pertama dibunyikan lagi. Bekas juara selatan Thailand yang pernah menewaskan juara Kelantan, Akhbar Hanafi pada saingan di Kedah dua tahun lepas dapat membaca semua pergerakan Mat Seman yang merupakan bekas juara Ultimate Warrior 2005 anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu.

Perlawanan yang paling ditunggu oleh peminat tentunya antara Ediey Selindang Kuning dengan Cyrus Washington. Cyrus yang menarik diri pada saat-saat akhir telah digantikan oleh bekas juara Sanda Eropah dan WMC Eropah, Valdet Gashi. Kedua-dua petinju ini dilihat sama padan tetapi pengalaman lebih berpihak kepada Ediey yang merupakan satu-satunya petinju dari Malaysia yang pernah bertarung di Stadium Lumpini, Thailand. Beberapa peluang terhidang tidak dapat disempurnakan oleh Ediey kerana lawannya itu seperti sudah mengetahui setiap gerak jurulatih Kirtsy Muay Thai Gym, Ampang itu. Seperti sudah diagak oleh Cikgu dan pengulas bersama dari Astro, En. Azimi, perlawanan ini berakhir dengan seri.