27 Disember 2008

Buka gelanggang

(cikgu bermain gendang semasa upacara buka gelanggang pada tahun 2003)

1. Selepas menamatkan latihan intensif boksing (muay thai dan bergendang) selama 2 tahun dengan Pak Mat (selepas belajar asas boksing selama dua bulan di bangsal), cikgu diberi kebenaran olehnya untuk membuka gelanggang di kampung cikgu.

2. Ketika itu, cikgu masih muda untuk bergelar kru kerana sedang menunggu keputusan STPM.

3. Bersama bekas rakan sepelatih cikgu dahulu dan bantuan Pak Mat sebagai penasihat, terbinalah bangsal berdekatan rumah cikgu selepas mendapat kebenaran polis.

4. Seramai 10 orang perintis yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja menyertai bangsal cikgu.

5. Sebelum mengajar, cikgu mengadakan upacara buka gelanggang secara rasmi.

6. Orang-orang tua yang terdiri daripada jaguh tomoi dan pendekar silat dijemput memeriahkan pembukaan bangsal.

7. Pesilat tari dan tempur tongkat adalah antara hadirin yang selalu dijemput dalam mana-mana upacara buka gelanggang boksing.

8. Sebelum persembahan daripada pesilat dan nak muay veteran, seorang tua biasanya bekas pendekar dijemput untuk membacakan mantera dan doa sambil mengasapkan kemenyam.

9. Beras kuning akan ditabur di sekeliling gelanggang.

10. Sehelai kain kuning (kain lepas) diikat di tengah gelanggang.

11. Selain itu, sebiji telur yang telah digoreng dan diletakkan di dalam pinggan digantung di tiang tengah gelanggang.

12. Di bawahnya akan diletakkan sebiji kelapa tua.

13. Menurut kata orang-orang tua, barang-barang ini perlu untuk melindungi bangsal daripada anasir jahat dan sihir.

14. Dalam boksing kelantan, upacara menerima anak murid seperti yok kru dalam Muay Thai turut diadakan.

15. Di tengah-tengah gelanggang, cikgu akan memakaikan tali perguruan (mongkon) kepada setiap anak murid sebagai tanda menerima mereka sebagai murid.

16. Ketika upacara ini, murid akan duduk berteleku sambil melakukan wai kru (hormat guru).

26 Disember 2008

Boksing di kenduri kahwin




















Bertemu Legenda


Acharn (grandmaster) Somwang Sinuan, 53 dilahirkan di Kronghei, Amper, Hatyai. Beliau mula mempelajari Muay Thai ketika umurnya 12 tahun dengan Haji Hashim di gim Sorkhoson, Hatyai. Nama gelarannya ketika itu ialah Somwang Sorkhoson.

Ketika era kegemilangannya, beliau pernah memenangi kejuaraan di Stadium Lumpini dan Stadium Rajadamnern dalam kategori lightweight. Selepas beberapa tahun di gim Sorkhoson, beliau ditawarkan berlatih di gim Starlight, juga di Hatyai. Rekodnya makin cemerlang ketika ini apabila memenangi 60 perlawanan anjuran TV11 (kini dikenali sebagai NBT) dan pernah menjadi juara 5 wilayah selatan Thailand. Beliau bukan sahaja terlibat dalam perlawanan Muay Thai, tetapi juga moisakorn (tinju Barat), sukan yang jarang disertai Nak Muay (peninju Muay Thai).

Selepas berlatih di gim Starlight, beliau beralih arah ke gim Pandencho. Nama gelarannya di gim ini ialah Danchai Pandencho. Pada umur 31 tahun, beliau bersara daripada arena perlawanan dan mula menjadi jurulatih dan pengadil bagi kejohanan di Thailand dan Malaysia. Selepas mengajar di gim Boxxwarrior, Kulim, Kedah selama 9 bulan, beliau bersara dan kini menjadi penasihat bagi gim Ponitiwat di Hatyai.

Perlawanan yang melonjakkan namanya sebagai legenda adalah apabila berlawan dengan ahli Kung Fu terkenal yang juga pelakon, Wang Yu di Hong Kong pada tahun 1970-an. Perlawanan tanpa sarung tangan ini masih menjadi perlawanan klasik Muay Thai-Kung Fu yang menaikkan sukan Muay Thai sebagai salah satu ilmu tarung yang digeruni di dunia. Dengan rekod perlawanan sebanyak 275 kali (224 menang, 48 kalah, 3 seri), beliau merupakan salah seorang legenda Muay Thai.