02 Januari 2011

Kejohanan Muay Thai AMAE 2010

Sudah seminggu Blog Boksing Kelantan tidak dikemaskini kerana Cikgu sibuk membuat menghadiri mesyuarat awal tahun di sekolah dan persiapan sempenan sesi baru persekolahan yang akan bermula pada 3 Januari. Sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya, Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama KLFK telah menganjurkan kejohanan Muay Thai sempena AMAE 2010 di Muzium Telekom, Kuala Lumpur. Pada malam kedua, Cikgu telah diundang oleh penganjur untuk menjadi pengulas perlawanan memandangkan acara ini disiarkan secara langsung di Astro Arena.

Perancang acara, En. Carlif Carleel telah menambah unsur glamourous dalam pertarungan Muay Thai dengan set pentas yang menarik. Acara dimulakan dengan tarian moden sebelum disusuli pertunjukan fesyen dari pereka terkenal tanah air, Key Ng. Penonton yang memenuhi muzium seawal pukul 7 malam lagi terpukau apabila supermodel terkenal Malaysia, Amber Chia dan rakan-rakannya memperagakan fesyen 'cyclist' dari Key Ng.

Tepat jam 8 malam, pengacara, Sazzy Falak memperkenalkan lapan petinju yang bertarung pada malam itu. Dengan diiringi oleh supermodel, setiap petinju berjalan dengan megah persis model di atas gelanggang tinju yang disewa khas untuk kejohanan itu.

Pertarungan pertama adalah antara Fareez dari Kelab Tomoi Jhai Lek yang menentang Aw Aw dari Myanmar. Fareez yang pertama kali bertarung di pentas profesional menunjukkan aksi yang mantap walaupun lawannya itu dilihat lebih berpengalaman. Walaupun cedera di mulut dan hidung, Fareez tetap bertahan sehingga tamat pusingan lima yang memberikan kedudukan seri.

Perlawanan kedua walaupun dilihat kurang adil tetapi sangat menarik. Danny Gurdesh Singh yang mewakili Kelab Kambiz Warrior, Ampang turun menentang Hussein Khadam dari Iran. Hussein yang sebelum ini pernah menewaskan petinju Sitkrumat, Wan Cempaka Sari tidak dapat menahan asakan Danny yang jauh lebih tinggi daripadanya. Jangkauan tangan Danny yang lebih panjang memberi kelebihan kepadanya sebelum menang TKO pada pusingan kedua dengan hentakan siku di pelipis Hussein.

Dalam perlawanan ketiga, Mat Seman Kipas Lanun (Nong Kok, Kota Bharu) cuma mampu bertahan sehingga pusingan kedua sebelum tewas KO kepada Tang Datu dari Thailand. Datu yang kini mengajar di Merican Muay Thai Gym, Mont Kiara seperti sudah dapat membaca semua pergerakan Mat Seman yang kehilangan punca seawal loceng pertama dibunyikan lagi. Bekas juara selatan Thailand yang pernah menewaskan juara Kelantan, Akhbar Hanafi pada saingan di Kedah dua tahun lepas dapat membaca semua pergerakan Mat Seman yang merupakan bekas juara Ultimate Warrior 2005 anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu.

Perlawanan yang paling ditunggu oleh peminat tentunya antara Ediey Selindang Kuning dengan Cyrus Washington. Cyrus yang menarik diri pada saat-saat akhir telah digantikan oleh bekas juara Sanda Eropah dan WMC Eropah, Valdet Gashi. Kedua-dua petinju ini dilihat sama padan tetapi pengalaman lebih berpihak kepada Ediey yang merupakan satu-satunya petinju dari Malaysia yang pernah bertarung di Stadium Lumpini, Thailand. Beberapa peluang terhidang tidak dapat disempurnakan oleh Ediey kerana lawannya itu seperti sudah mengetahui setiap gerak jurulatih Kirtsy Muay Thai Gym, Ampang itu. Seperti sudah diagak oleh Cikgu dan pengulas bersama dari Astro, En. Azimi, perlawanan ini berakhir dengan seri.

6 ulasan:

Boksing Malaysia berkata...

Teruk nak muay malaysia main. Teruk atlit yang wakil malaysia kecuali iddi tetapi lawan dia tak kuat mana saya pernah tengok valdet lawan budak baru buza dari pahang di Z1. Event yang bagus tapi menjatuhkan image tomoi malaysia dengan orang baru satu kali lawan boleh wakil malaysia. Kami di persatuan boksing nak wakil negeri kat sukma pun kena lawan berpuluh kali..

boksingkelate berkata...

Boksing Malaysia, sebenarnya kejohanan ini tidak seperti yang anda sangkakan. Penganjur bersama KLFK pun tidak menyangka akan menjadi meriah dan liputan seperti ini. Kalau nak dikira, kebanyakan petinju yang mengambil bahagian ialah muka baru kecuali Edi dan Mat Seman. Itu pun untuk menarik penonton datang. Kalau nak dikira, ini cumalah kejohanan biasa seperti yang selalu dianjurkan oleh KLFK, cuma pihak penganjur yang menjadikannya Pilihan Malaysia lawan Pilihan Antarabangsa. Petinju antarabangsa itu pun bukannya betul-betul dari luar, sebaliknya berlatih di gim sekitar KL. Cuba perhatikan, kebanyakan penonton pun bukannya peminat Muay Thai sejati sebaliknya ahli Kelab Putera 1Malaysia, orang kenamaan dan artis.

Boksing Malaysia berkata...

Bila keluar surot khabar dan tv Pilihan Malaysia lawan Pilihan Antarabangsa tu yang jadi masalah saya rasa nama tomoi kat Malaysia terus orang pandang serong. Terima kasih info boksingkelate. Gomo kelate gomo.

Peminat Tomoi Fanatik berkata...

disebabkan pemilihan fighter yang tidak teratur/tiada standard piawaian beginilah...menjadi punca status perlawanan tomoi lebih kepada sekadar hiburan sampai bila2...

sebelum kita nak naikkan imej perlawanan tomoi di malaysia...kita kena susun dulu format serta profil fighter yg akan naik ring. so takdalah nampak seperti perlawanan kalangan fighter tangkap muat semata-mata...

boksingkelate berkata...

Peminat Fanatik, kebanyakan kejohanan muay thai di malaysia bukannya dianjurkan oleh orang tomoi, sebaliknya businessman. kita pun tahu bila businessman ambil alih, inilah akibatnya. persatuan cuma dipergunakan untuk dapat permit sahaja. tetapi, kita takkan lihat kejohanan berlangsung dengan meriah tanpa orang business. persatuan takkan mampu nak mengeluarkan modal. kita bukan seperti di kelantan. kelantan bayar petinju dengan duit tiket saja. di sini, takda penaja takdalah perlawanan.

Tanpa Nama berkata...

Mano boleh pakai nama malasia tanpo kebenarang???? Bakpo promoter bengap. Buat malu tomoi