28 Jun 2011

Yamada

Siapakah yang belum menonton lagi filem Yamada? Hampir semua pelakon pembantunya ialah jaguh-jaguh Muay Thai sebenar seperti Buakaw Por Pramuk, Saenchai Sor Kingstar, Mahnut, Somjit, Somlak, Anuwat Kaewsamrit, Ped Jaroenthong, Yodsanklai Fairtex. Filemnya mengisahkan seorang samurai (Yamada) Jepun yang dihantar berkhidmat sebagai askar pengawal peribadi maharaja Thai, Raja Naresuen. Dia diselamatkan oleh pahlawan-pahlawan terbaik maharaja ketika cuba dibunuh konco-konco timbalan ketuanya. Dia diasuh seni Muay Thai untuk membalas dendam terhadap bekas timbalan ketuanya yang cuba merampas kedudukan. Yamada membalas budi rakan-rakan Thai dengan mengajar mereka seni samurai. DVD Yamada boleh didapati di kedai video berhampiran.

25 Jun 2011

Kem Sitkrumat no. 1 di Klang.

Sitkrumat Camp mempunyai banyak bakat baru yang berpotensi. Kami sentiasa menghantar petinju ke semua kejohanan yang diadakan di Lembah Kelang. Ini sebahagian kecil daripada pelatih Sitkrumat, jika semua datang, mungkin kami akan dianggap sebagai pertubuhan kebajikan.

Ahli Sitkrumat Klang yang berdaftar sehingga hari ini hampir mencecah 400 orang. Kalaulah saya membuka gim Muay Thai di Klang dan mengenakan yuran latihan minimum RM100 seorang, saya sudah boleh berhenti jadi guru sekolah. Tapi, mampukah mereka ini membayar yurannya? Sekarang ini, pelatih cuma membayar yuran penyertaan RM50, dan mereka boleh berlatih seumur hidup di Kem Sitkrumat. Saya bahagia dengan apa yang saya buat sekarang, wang bukan keutamaan.

Jika anda ingin menjadi sebahagian daripada kami, silalah datang ke Kem Sitkrumat yang terletak di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas. Walaupun kami dianggotai oleh pelbagai kaum, tetapi semasa berlatih, semua hal itu diletak ke tepi. Kami ialah kelab 1Malaysia.

20 Jun 2011

Dragon Boy Juara Klang Open

Pada tahun lepas, buat pertama kalinya Sitkrumat Camp menghantar wakilnya ke Kejohanan KLFK di Kajang setelah 2 tahun ditubuhkan. Azuar Sitkrumat menang terhadap pencabarnya Lan M-Zie dari Arzani Group pada pusingan kedua. Tahun ini kami sekali lagi menghantar wakil ke Battle of Nak Muay, Klang dan petinju kami, Dragon Boy menang KO pusingan kedua. Kami membuktikan bahawa kelab bawah pokok pun boleh melahirkan juara juga.



Dalam perlawanan semalam, sorakan penyokong yang lebih memihak kepada wakil M-150 ternyata tidak memberi kesan kepada Dragon Boy apabila teknik lawan yang menyerangnya bertalu-talu dengan siku dan lutut dihalang dengan baik. Lawan yang kepenatan kerana semua tekniknya tidak membuahkan hasil akhirnya kehilangan stamina dan diselamatkan oleh bunyi loceng. Masuk pusingan kedua, Dragon Boy yang pada pusingan pertama cuma bertahan akhirnya menyerang lawannya dan dalam masa 30 saat, lawannya tumbang dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terkoyak ibu jari kaki.


Cikgu selaku ketua jurulatih Sitkrumat Camp mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua ahli Sitkrumat yang hadir. Walaupun kami cuma berjumlah 23 orang sahaja, semangat sorakan kami berjaya mendiamkan majoriti penyokong yang sejak awal-awal lagi memberi galakan kepada wakil daripada pihak penganjur.

19 Jun 2011

Anak Harimau di Klang

Malam ini juga, petinju pilihan dari Malaysian Tigers, Hamdan Mokhtar akan bertarung dengan Wan Janggut Gagak Emas, Klang. Aksi dua petinju Thailand, Kamarudin Apek M-150 menentang Saraphon Salsaloon Pasir Puteh bakal membuatkan penonton tidak senang duduk. Wakil Sitkrumat, Dragon Boy akan menghangatkan suasana dewan bagi regu pertama menentang Edi Poksu Lilah M-150 Klang.

Perang Klang di Dewan Sukan Sri Andalas

Antara regu terhebat malam ini dalam Perang Klang 2011 di Dewan Sukan Sri Andalas, Datok menentang Mat Ropi Singa Muda M-150 Kota Bharu. Tiket berharga RM15 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) boleh didapati di pintu masuk dewan.

16 Jun 2011

Battle of Klang

Semua peminat Muay Thai dipelawa hadir memeriahkan Battle of The Nak Muay di Dewan Sukan Klang yang akan bermula pada malam esok anjuran Kelab Tomoi M-150 Shah Alam/Klang. Tiket berharga RM15 (dewasa) & RM5 (kanak-kanak) boleh didapati di pintu masuk. Ahli Sitkrumat Camp diwajibkan hadir memberi sokongan kepada wakil Sitkrumat, Chen Wee "Dragon Boy" yang akan bertarung pada malam Ahad, 19 Jun 2011.


15 Jun 2011

Soalan Lazim Sitkrumat

Setiap hari Cikgu menerima berpuluh sms dan mesej FB bertanyakan tentang Sitkrumat. Di sini Cikgu menyenaraikannya supaya peminat tidak perlu menghantar sms atau menelefon Cikgu lagi. Semoga sedikit sebanyak membantu.

1. Di manakah letaknya Kem Sitkrumat?
Kem Sitkrumat terletak di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang (lebih kurang 2km dari Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah).

2. Pada waktu bilakah latihan dimulakan?
Latihan dimulakan pada pukul 4.30 hingga 7.30 malam setiap hari Sabtu dan Ahad.

3. Apakah yang perlu saya bawa jika ingin datang belajar?
Setiap pelatih dikehendaki memakai seluar pendek sama ada seluar Muay Thai atau seluar pendek bola. Bagaimana pun pelatih perempuan boleh memakai seluar panjang atau 'legging'. Gloves disediakan untuk semua pelatih tetapi jika pelatih tidak suka berkongsi, pelatih boleh membelinya dengan harga berpatutan melalui Cikgu.

4. Saya cuma mahu belajar Muay Thai untuk mempertahankan diri, bukan mahu bertanding.
Setiap pelatih diajar silibus yang sama. Bagaimana pun, jika pelatih berminat untuk menyertai pertandingan, latihan gelanggang dan tumpuan khusus akan diberikan. Jumlah jam latihan juga akan ditambah bagi meningkatkan kemahiran dan stamina.

5. Saya bekerja tidak mengikut syif, kadang-kadang hari minggu pun saya kerja.
Kebanyakan pelatih Sitkrumat terdiri daripada pekerja swasta. Pelatih bebas datang jika ada kelapangan. Pelatih tidak perlu bimbang tertinggal satu pelajaran kerana sistem yang kami amalkan fleksibel. Walaupun pelatih cuma datang sebulan sekali, pelatih diberi tunjuk ajar yang sama seperti pelatih yang datang setiap minggu.

6. Saya tidak mahu belajar di tempat terbuka, kenapakah Sitkrumat tidak menyewa bangunan?
Sitkrumat bukanlah kelab yang mencari keuntungan. Jika kami menyewa bangunan, kadar yuran latihan akan dikenakan. Jika mengikut standard gim di bandar besar, yuran latihan satu sesi (2 jam) paling kurang RM30. Di Sitkrumat, anda cuma perlu membayar RM50 sahaja dan dibayar sekali seumur hidup. Anda boleh berlatih selama mana yang anda mahu secara percuma.

7. Saya masih belajar di sekolah dan tidak mampu membayar RM50, bolehkah saya membayar yuran pendaftaran secara ansuran?
Seperti yang selalu Cikgu sebut, Sitkrumat bukanlah kelab yang mencari keuntungan. Pelatih boleh membuat bayaran secara ansuran setiap minggu mengikut kemampuan.

8. Cukupkah belajar cuma dua kali seminggu untuk menjadi petinju?
Untuk menjadi petinju profesional, jumlah itu terlalu sedikit. Di Thailand, petinjunya berlatih paling kurang 8 jam setiap hari. Bagaimana pun, di Kem Sitkrumat, pelatih yang datang kebanyakannya cuma ingin mempelajari seni mempertahankan diri atau mendapat tubuh yang cergas. Jika latihan 6 jam seminggu tidak cukup, pelatih boleh membeli heavy bag/punching bag daripada Cikgu dan berlatih sendiri di rumah selepas mendapat bimbingan Cikgu.

9. Apakah keistimewaan yang saya boleh dapat jika menyertai Sitkrumat?
Setiap pelatih Sitkrumat layak mendapat diskaun bagi setiap pembelian barangan Muay Thai melalui Sitkrumat Trading. Pelatih juga akan dibawa menyaksikan pertandingan Muay Thai sekitar Lembah Kelang yang diadakan oleh rakan-rakan sekutu Sitkrumat. Sitkrumat sentiasa mengadakan lawatan ke gim atau kelab Muay Thai terkenal untuk memberi pendedahan kepada pelatih. Pelatih yang cukup cergas dan mahir akan dihantar menyertai perlawanan tempatan jika berminat.

10. Adakah Sitkrumat menyediakan kelas VIP (datang ke rumah pelatih)?
Pelatih yang tidak boleh datang ke Kem Sitkrumat di Taman Rakyat boleh menghubungi Cikgu dan membuat janji temu bagi kelas VIP. Kadar bayaran bagi latihan VIP selama dua jam adalah sebanyak RM60 (sekitar Klang/Shah Alam) atau RM80 (Kuala Lumpur).

14 Jun 2011

Battle of the Klang



Datanglah beramai-ramai ke Kejohanan Muay Thai Battle of the Klang 2011 bertempat di Dewan Sukan Klang, Taman Sri Andalas bermula pada 17-19 Julai ini. Acara akan bermula pada pukul 8 malam dirasmikan oleh Datuk Seri Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Petinju Sitkrumat, Chen Wee "Dragon Boy" akan turun menentang petinju pilihan daripada Kelab M-150 Shah Alam, Eddi "Along Poksu Lilah". Selain itu, petinju termuda Sitkrumat, Adik Rakib "Thundercat", 10 tahun, juga akan turut bertarung. Tiket boleh didapati di pintu masuk dewan.

11 Jun 2011

Sitkrumat Trading

Pada cuti kali ini, Cikgu menerima banyak tempahan barang-barang latihan daripada pengamal Muay Thai seluruh Malaysia. Barang-barang ini akan dipos menggunakan perkhidmatan poslaju (dijamin sampai esok). Barang-barang latihan yang besar seperti heavy bag atau punching bag pula akan dihantar sendiri ke kediaman (bagi rakan-rakan yang tinggal di sekitar Lembah Kelang). Rakan-rakan yang ingin membuat tempahan lain boleh merujuk album Muay Thai Gears For Sale dalam FB Cikgu.