20 Ogos 2009

Cornerman ep. 2

Kamu adalah sama penting dengan petinju yang kamu bawa. Aku tak kira berapa banyak yang kamu tahu, tetapi jika petinju kamu tak boleh lawan, kamu umpama pengemis yang tidur di dalam taman – Kru Surin, Sitsomboon Thai Gym.


Cornerman bertanggungjawab terhadap petinju sejak perjalanan untuk ke tempat perlawanan lagi. Dari makan minum, tempat tinggal, tahap kecergasan, semuanya diuruskan oleh cornerman. Sebelum dan ketika perlawanan, tiada orang yang lebih rapat dengan petinju selain daripada cornerman. Antara tugas cornerman ialah:
1. Menyediakan peralatan yang diperlukan untuk petinju.
2. Membalut tangan petinju.
3. Mengurut tubuh petinju.
4. Mengiringi petinju naik ke gelanggang.
5. Menganalisis kekuatan lawan.
6. Merancang strategi untuk menghadapi lawan.
7. Memberi nasihat ketika petinju hilang punca atau hampir kalah.


Dalam perlawanan, petinju diberi masa rehat selama empat kali dengan tempoh masa dua minit. Ketika inilah cornerman bertanggungjawab menjalankan tugasnya seperti:
1. Melihat glove dan krachap sama ada ketat atau longgar.
2. Menyejukkan tubuh petinju dengan mengibas atau menyembur dengan air sejuk.
3. Memberi air minuman untuk menghilangkan haus.
4. Mengurut kaki, perut, bahu, dan kepala petinju.
5. Memberi nasihat kepada petinju.

Cornerman bertanggungjawab menyediakan kelengkapan untuk petinju sebelum perlawanan. Amtara barang yang diperlukan ialah baldi, tuala putih, pek ais, vaselin, minyak urut, pita perekat, kain pembalut tangan, gunting dan masking tape. Glove disediakan oleh pihak penganjur.


Ada juga cornerman yang membawa focus mitt untuk membantu petinju membuat pemanasan. Sebelum naik ke gelanggang, cornerman perlu memeriksa sama ada petinju sudah memakai jubah, kracap, mongkon, dan prajed. Pelindung mulut dipakaikan selepas petinju siap membuat langkah sembah.

Ketika membantu petinju naik ke gelanggang, cornerman perlu memastikan petinju itu melangkah tali dengan bergaya. Jubah perlu ditanggalkan segera dan glove dipastikan kemas sekali lagi.


Hidrasi atau kekurangan air dalam badan sangat perlu diberi perhatian oleh cornerman. Tiga minit perlawanan menghilangkan hampir satu liter cecair dalam badan. Hidrasi boleh menyebabkan petinju pengsan dan terdedah kepada maut. Cornerman perlu memastikan petinju mengambil air secukupnya sepanjang hari sebelum malam perlawanan. Ketika perlawanan, petinju akan mengambil sedikit air cuma untuk menghilangkan rasa dahaga.


Semasa waktu rehat antara pusingan, pastikan pek ais diletak di leher atau bahu petinju untuk menyejukkan tubuhnya. Kibas tuala supaya petinju berasa sejuk kerana suhu tubuhnya ketika itu sangat panas. Semburan air sejuk ke tubuh juga boleh dilakukan selain membasuh kepala petinju. Longgarkan seluar petinju untuk membolehkan udara masuk dan pengaliran darah berjalan dengan sempurna.

Sekiranya terdapat kesan luka yang kecil, sapu dengan vaselin. Doktor akan menghentikan perlawanan sekiranya luka tadi membahayakan petinju. Bengkak boleh dihilangkan dengan menuam ais.

Hubungan antara cornerman dan petinju sangat penting. Kedua-duanya harus saling mempercayai dan petinju perlu mendengar setiap arahan cornerman. Oleh sebab kebiasaannya cornerman terdiri daripada jurulatih, hanya mereka yang tahu kekuatan petinjunya dan membaca teknik lawan semasa perlawanan. Tugas cornerman bolehlah dianggap seperti bapa menasihati anaknya, ibu menjaga bayinya, dan guru yang memberi motivasi untuk kejayaan pelajarnya.

Cornerman ep.1

Cornerman merujuk kepada pembantu petinju semasa sesuatu perlawanan. Lazimnya cornerman terdiri daripada rakan sepelatih atau jurulatih petinju tersebut. Dalam sukan tinju, cornerman dipanggil sebagai second. Selain mengiringi petinju naik ke gelanggang, cornerman juga bertindak sebagai penasihat.

Cornerman ialah orang yang paling penting bagi petinju semasa perlawanan kerana petinju akan mendengar segala arahan daripada cornerman. Cornerman juga bertindak sebagai tukang urut kepada petinju semasa waktu rehat antara pusingan. Ketika melihat petinjunya dalam keadaan bahaya, cornerman akan melemparkan tuala putih ke tengah gelanggang sebagai tanda mengalah. Bagi perlawanan biasa, hanya dua cornerman dibenarkan mengiringi petinju. Manakala perlawanan merebut bengkung, tiga cornerman dibenarkan.

16 Ogos 2009

Kategori dalam Muay Thai

Dalam sesuatu kejohanan, setiap petinju dikelaskan kepada beberapa kategori berdasarkan berat badan. Tujuan pengelasan dibuat adalah untuk memberi keadilan kepada kedua-dua petinju. Sebelum perlawanan bermula, juri akan menimbang berat petinju supaya sesuai dengan kelas berat badan yang disertainya. Berikut ialah senarai kategori dalam sukan Muay Thai:

1. Mini Flyweight, tidak melebihi 104 pauns (47.5 kg.)
2. Junior Flyweight, tidak melebihi 108 pauns (49)
3. Light Flyweight, tidak melebihi 112 pauns (51)
4. Junior Bantamweight, tidak melebihi 115 pauns (52.5)
5. Bantamweight, tidak melebihi 118 pauns (54)
6. Junior Featherweight, tidak melebihi 122 pauns (55.5)
7. Featherweight, tidak melebihi 126 pauns (57.5)
8. Junior Lightweight, tidak melebihi 130 pauns (59.5)
9. Lightweight, tidak melebihi 135 pauns (61.5)
10. Junior Welterweight, tidak melebihi 140 pauns (64)
11. Welterweight, tidak melebihi 147 pauns (67)
12. Junior Middleweight, tidak melebihi 154 pauns (70)
13. Middleweight, tidak melebihi 160 pauns (73)
14. Light Heavyweight, tidak melebihi 175 pauns (79.5)
15. Heavyweight, 175 pauns ke atas

15 Ogos 2009

Perlimau Gelanggang M-150 Klang

Persatuan Tomoi Kg. Bukit Badak atau lebih dikenali sebagai M-150 Klang dengan kerjasama Sitkrumat Sri Andalas telah mengadakan majlis perlimau (tutup gelanggang) pada hari ini, 15 Ogos 2009. Majlis yang disempurnakan oleh YB Dr. Xavier Jayakumar selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor ini dihadiri oleh hampir 100 penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Presiden M-150 Malaysia, En. Abd. Ghani. Sitkrumat menghantar tiga pelatih terbaik untuk menguji kemahiran pelatih M-150 Klang dan secara tidak langsung mengiktiraf pelatih tersebut layak bergelar nak muay. Harapan Cikgu agar semua pelatih yang sudah tamat latihan meneruskan pencarian ilmu mempertahankan diri dan menjadi insan yang berguna untuk masyarakat dan negara.

Guru serba boleh yang bertukar menjadi emcee pula

Dr. Xavier menyampaikan sijil penyertaan kepada pelatih

Azuar Sitkrumat memakaikan glove kepada Along M-150 dan Asraf Sitkrumat

Semua pelatih & dif kehormat bergambar bersama-sama

Mr. Promoter, Ridhuan Sri Binjai turut datang memeriahkan majlis

Asraf Sitkrumat (merah) melawan Along M-150 (biru)

"Jangan sepak di kemaluan, jangan main siku, " pesan pengadil

Wai Kru oleh Izwan Sitkrumat (baju hitam)

Cikgu sedang menanggalkan mongkon sambil membacakan mentera

Azuar Sitkrumat bergambar bersama lawannya, Thanabalan M-150

13 Ogos 2009

Hormat kepada Guru

Kalau ditanya apa perbezaan paling ketara antara nak muay hebat dengan nak muay kurang hebat, Cikgu akan katakan “Hormat kepada Guru“. Cikgu sudah lama terlibat dalam tomoi. Apa yang Cikgu lihat, nak muay yang hebat sangat menghormati guru/jurulatih mereka. Orang Thailand sangat menghormati guru kerana dalam ajaran Buddha, guru dianggap sebagai suatu tempat suci berisi ilmu. Malah, penganut Buddha mengganggap guru sebagai jelmaan Buddha.

Muay Thai tidak dapat lari daripada adat menghormati guru. Sebelum naik ke gelanggang, nak muay terlebih dahulu dipakaikan mongkon oleh guru mereka dalam bilik persalinan. Guru akan membaca jampi mentera atau doa untuk keselamatan nak muay. Semasa adat ini dilakukan, nak muay akan menundukkan kepala sambil membuat wai (hormat).

Semasa di atas gelanggang, nak muay sekali lagi memberi penghormatan kepada guru melalui gerakan yang dipanggil langkah sembah atau Wai Kru. Sebelum perlawanan bermula, nak muay sekali lagi ke penjuru gelanggang untuk dicabut mongkon oleh gurunya. Adat ini dipanggil Pitee Tod Mongkon.

11 Ogos 2009

Kelab Peminat Tomoi Kawanboxx

Kelab Peminat Tomoi Malaysia, Kawanboxx ialah idea En. Musaddik Zainuddin (Mr. Boxxtomoi) selepas melihat sambutan yang luar biasa peminat Muay Thai di Malaysia. Kawanboxx tercetus selepas En. Musaddik melihat perlunya digabungkan peminat Muay Thai di Malaysia ini di bawah satu kelab yang akan membantu memperkembangkan lagi sukan ini.

Ideanya ini disokong oleh beberapa ahli forum Kawantomoi yang memberi pelbagai saranan dan pendapat yang memungkinkan tertubuhnya kelab peminat Muay Thai pertama di dunia. Kawanboxx pada mulanya hanya menjadi kelab penyokong kepada Boxxwarriors tetapi kini, fungsinya semakin meluas. Kawanboxx bukan sahaja sebuah kelab peminat, tetapi juga menyediakan kru profesional untuk Boxx Event, syarikat pengurusan acara Muay Thai pertama di Malaysia.

Pada 25 Oktober 2008, telah berlangsung majlis pelancaran kelab Kawanboxx di Universiti Malaya. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh En. Rudy Faizan Ithnin, wakil daripada Telekom Malaysia Berhad selaku penaja tetap kejohanan anjuran Boxx Event. En. Zahari telah dilantik sebagai presiden kelab manakala En. Musaddik pula sebagai timbalannya. Antara pelopor terawal kelab Kawanboxx ialah Sharifah Hazwani Syed Hussin (Adex), Adam Razali, Sanusi Othman, Fauzi Hamidin, Khairul Faiez Alies, Muhammad Shamsul Shafie, Nur Nadiah Mat Isa, Y.M. Raja Ahmad Talmizi (Cikgu Kacak), Haizul Azizi, Dol Mat, Azizan Che Mat dan Faizal Hazasyah (Dr. Kreko).

Ahli-ahli Kawanboxx terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion. Ada yang bekerja sebagai perunding media, pegawai KPDHEP, guru, jurufoto, juruteknik, doktor dan pensyarah. Kejohanan pertama yang menggunakan khidmat Kawanboxx ialah Kejohanan Tomoi Antarabangsa Piala Tengku Mahkota Kelantan pada 2008. Selepas itu, kalendar Kawanboxx sentiasa dipenuhi dengan aktiviti berkaitan tomoi selain bertugas sebagai kru seperti melawat gelanggang, mesyuarat brainstorming dan menjadi penyokong kepada setiap perlawanan yang disertai oleh petinju Boxxwarriors.

Dalam keluarga Kawanboxx, setiap ahli dilayan seperti adik-beradik sendiri. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan apabila ada ahli yang menyuarakannya. Sikap bantu-membantu ini telah menarik minat peminat tomoi yang ada di Malaysia untuk turut sama menyertainya. Sehingga kini, ahli Kawanboxx berjumlah 70 orang. Sokongan dari ahli juga telah menjayakan penerbitan majalah Muay Thai pertama di Malaysia, iaitu Boxxtomoi yang kini memasuki edisi kedua. Pejabat Kawanboxx terletak di Kota Emerald, Rawang.

Ahli Kawanboxx terawal: Adex, Cikgu Kacak, Khairul dan Oji.

Ahli Kawanboxx bergambar bersama petinju dari Thailand, Changpeuk dan Seethanonnchai

Shun dan Cikgu Kacak sedang menyunting video perlawanan sementara Mr. Boxxtomoi terlena di sofa.

09 Ogos 2009

Jurnal Cikgu Kacak ke Melaka

(Cikgu memakaikan mongkon)

Sabtu
7.45 pagi - bertolak dari Klang ke HQ Kawanboxx Rawang
8.30 pagi - sampai di Rawang
9.00 pagi – pendingin hawa Avanza Mr Boxxtomoi rosak, jadi kami naik Myvi Cikgu. Q Eikkasit dan Fauzan di belakang
10.00 pagi - sampai di R&R Nilai. Letak Fauzan & Q, Ridhuan Kawanboxx sampai dengan Grand Livinanya. Q & Fauzan naik Grand Livina ke Melaka. Cikgu & Mr Boxxtomoi ke LCCT untuk jemput Vladimir Konsky.
12.00 tgh hari - sampai di Melaka, daftar boxer masuk hotel. Jumpa dengan En. Sowhini PEREMA dan Sjn. Rosli Yaacob Kuda Merah. Dia sudah sediakan bilik untuk kami bertiga, Mr. Promoter, Ridhuan & Cikgu.
1.00 tgh hari - makan nasi padang di Restoran Inori berhadapan hotel. Lauk banyak, Vlado makan semua lauk yang dihidang, Cikgu makan kuah je.
2.00 ptg - balik ke bilik, mandi, sembahyang, bersembang.
5.00 ptg - makan masakan minang pula di Restoran Pak Datok bersama boxer & trainer Boxxwarriors,.
6.00 ptg - pergi melawat Dataran Pahlawan, tengok gelanggang, semak senarai nama petinju Boxxwarriors betul ke tak.
6.30 ptg - balik mandi, sembahyang dan rehat.
7.30 mlm - bergerak ke Dataran Pahlawan. Cikgu & Ridhuan dapat masuk free sebagai trainer & manager, Mr. Boxxtomoi masuk pintu belakang sebab datang lewat.
8.00 mlm -
Vlado tak bawa apa-apa pun, mongkon takda, pita perekat takda. Mujur dalam kereta Cikgu ada mongkon. Mr. Boxxtomoi bergegas masuk ke dalam Carrefour di belakang Dataran cari baldi & tuala. Pita perekat tak jual di sini, cuma ada di Thailand. Barbod beri pinjam walaupun Vlado lawannya malam ini.
8.30 mlm - Cikgu membalut tangan Vlado, selepas itu mengurut tubuhnya bersama Ridhuan. Cikgu baca mentera semasa urut, Ridhuan baca doa selamat.
10.00 mlm - Cikgu urut Vlado sekali lagi dan pakaikan krachap.
10..30 mlm - Cikgu pakaikan mongkon untuk Vlado, baca mentera supaya dia tak cedera malam ini.
10.45 mlm - Cikgu, Ridhuan & Mr. Boxxtomoi mengiringi Vlado naik gelanggang.
10.50 mlm - perlawanan bermula. Pusingan pertama nampak seimbang, sama-sama kena.
10.55 mlm – (masa rehat) Ridhuan memberi nasihat kepada Vlado supaya sepak keting Barbod.
11.00 mlm - Vlado bermula dengan cantik apabila banyak menyepak rendah dan tumbuk. Barbod terpaksa berundur ke tali. Barbod tumbang, tetapi sebelum pengadil membilang sampai 8, loceng berbunyi.
11.05 mlm - Barbod menarik diri kerana tidak dapat berdiri, kemenangan TKO kepada Vlado Sitkrumat.
12.00 mlm - sampai ke bilik, bersembang sambil tengok video perlawanan yang diambil Mr. Promoter.
2.00 pagi - tidur


6.30 pagi - bersiap untuk bertolak balik. Abbas, Q & Fauzan duduk di belakang kereta Cikgu.
9.00 pagi - sampai di KL, lepak di Hentian Bas Jalan Duta.
10.00 pagi - Abbas, Q & Fauzan bertolak balik ke Kulim.
11.00 pagi - sampai di Rawang, letak Mr. Boxxtomoi.
11.30 pagi - sampai di Klang.

07 Ogos 2009

Mentera dalam Muay Thai

Jampi atau mentera merupakan susun kata yang dipercayai dapat memberi kesan ke atas perkara tertentu yang dihajati. Contohnya untuk menyembuhkan penyakit, menjadikan tubuh kebal dan membuatkan seseorang jatuh hati. Jampi juga digunakan oleh orang dahulu kala dalam melakukan amalan harian seperti ketika mandi, ketika menyikat rambut, ketika keluar rumah dan sebagainya sama ada bertujuan untuk kecantikan, keselamatan dan sebagainya.

Dalam Islam, penggunaan jampi tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan syirik. Untuk kajian bersama, Cikgu paparkan beberapa mentera yang selalu digunakan oleh petinju sebelum bertarung di atas gelanggang. Mentera ini dibaca semasa petinju membuat Wai Kru. Selepas juruacara mengumumkan langkah sembah bermula, petinju akan berjalan mengelilingi gelanggang dan berhenti di setiap penjuru. Ketika di penjuru inilah petinju akan membaca mentera sambil menyentuh pelapik penjuru dengan perlakuan tertentu mengikut tradisi kem masing-masing. Selepas itu petinju akan duduk membelakangi penjuru lawan sambil membaca mentera sekali lagi.

Mentera Kebal

Allah payung aku
Jibrail kota aku
Malaikat 44 pagar aku
Aku berjalan dengan kuasa Allah
.....................................

Mentera Kebal

Bismillah Lam Zat Kam sifat Lam Ghat rohku jaga-jaga
Ya Hu Ujud Allah Ya Hu Rahimallah
Ya Hu sifat Allah Ya Hu Ya Allah
Hai Jibril Israfil Izrail Mikail
Adangkan aku selitkan nyawa di dalam kandang
....................................

Mentera Kuat dan Gagah

Hai Besi Putih Besi Khursani
Besi Pelilit di pinggangku
Kuat aku seperti Saidina Ali
Gagah aku seperti Saidina Hamzah
....................................

06 Ogos 2009

Kumpul peminat dengan Facebook

En. Zahari Ahmad Razali, CEO Boxxwarriors & Boxx Event meminta petinju Muay Thai agar bijak mengumpul penyokong sendiri, seperti mana yang dilakukan oleh golongan artis. Katanya, aksi tersendiri dan berinteraksi secara terus menerusi laman FACEBOOK adalah salah satu cara untuk menambat serta berada dekat di hati peminat. Mereka memerlukan penyokong setia bagi meningkatkan semangat dan memberi sokongan penuh sebelum berlangsungnya sesuatu kejohanan. Antara petinju yang mempunyai Facebook ialah Eikkasit Boxxwarriors, Ali Malaysian Tigers dan Faizal Malaysian Tigers.

Eikkasit sentiasa mendapat sokongan daripada kumpulan peminatnya yang mengikuti perkembangannya melalui blog dan facebook.

En. Zahari (bersut hitam) meminati juga petinjunya, Eikkasit dan Bedu

05 Ogos 2009

Eddi Selindang Kuning


Mohd Zaidi b. Mohd Zawawi, 22 atau lebih dikenali sebagai Eddi Selindang Kuning ialah jurulatih dan petinju bagi Kelab Boxxwarriors Ampang. Dorongan dari ayah untuk melihat Eddi bertarung di atas gelanggang menjadi punca beliau terlibat dengan tomoi. Eddi mula belajar tomoi sejak berusia 13 tahun. Pada umur 17 tahun, beliau mula menaiki gelanggang mewakili kelabnya yang berpusat di Sungai Dua, Bachok.

Perlawanan yang paling sengit pernah dilaluinya semasa menentang jaguh dari Pattani, Ismail Lok Kor yang berakhir dengan keputusan seri. Beliau juga pernah bertarung sebanyak tiga kali dengan Kudin Raja Jerung, antara petinju terbaik Kelantan. Eddi merupakan juara Ultimate Warrior 2008. Beliau pernah menjadi jurulatih Muay Thai di Allied Martial Art Gym di Desa Sri Hartamas. Eddi juga pernah bertarung di Stadium Lumpini, medan pertembungan juara antara juara yang menjadi idaman semua nak muay.

Dengan rekod perlawanan sebanyak 20 kali menang, 15 seri dan 4 kalah, beliau tersenarai antara tiga petinju terbaik di Malaysia sekarang.

02 Ogos 2009

Faizal Siku Emas

Mohd Faizal b. Ramli atau lebih dikenali sebagai Faizal Siku Emas ialah anak jati Kelantan kelahiran Pasir Puteh. Dilahirkan pada 24 Oktober 1989, remaja yang memiliki ketinggian 5 kaki 10 inci ini merupakan rakyat Malaysia pertama yang layak bertanding dalam rancangan reality TV, Contender Asia. Program yang akan bermula pada pertengahan bulan Ogos ini menemukan 18 petanding terhebat dari seluruh dunia.

Faizal mula terbabit dalam tomoi empat tahun lalu selepas menonton satu perlawanan di Kelantan. Ayahnya, seorang nak muay (petinju tomoi) era 80-an memberi galakan walaupun cita-citanya menjadi petinju tomoi ditentang oleh ibunya.

Faizal mempelajari tomoi dengan guru tomoi di Kampung Gong Kua, Pasir Puteh, iaitu Mohd Isa Sulaiman yang membuka kelab tomoi bernama Black Tiger. Kejohanan pertama yang disertai Faizal ialah ketika berusia 15 tahun selepas selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Bakatnya dikesan oleh kelab Muay Thai dari Kuala Lumpur, Malaysian Tiger yang mengambilnya sebagai petinju sepenuh masa pada tahun lalu. Menjelang Contender 2, Faizal kini giat menjalani latihan di Thailand.

Dengan rekod 40 perlawanan tanpa kalah, Faizal diiktiraf sebagai antara tiga nak muay terbaik Malaysia. Kedua-dua nak muay lain ialah Eddy Selindang Kuning (kini bersama Boxxwarriors Ampang) dan Tengku Shahrizal (Kuda Merah PDRM).

Kuda Merah PDRM


Kelab Tomoi Kuda Merah PDRM ialah sebuah kelab yang sudah lama melahirkan ramai jaguh tempatan untuk bersaing dalam arena tempatan dan Asia Tenggara. Di bawah jurulatihnya, Sarjan Rosli Yaakub atau lebih dikenali sebagai Cik Li, kelab ini kini turut sama menggegarkan dunia tomoi negara apabila pelatihnya, Konstabel Tengku Shahrizal memenangi Kejohanan Tomoi Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 baru-baru ini.

(Aksi Tengku Shahrizal di Kejohanan Tomoi Antarabangsa Kuala Lumpur 2009)

Selain menjadi Ketua Jurulatih Tinju dan Tomoi Pulapol, Sarjan Rosli juga ialah jurulatih tomoi bagi Pertubuhan Pembangunan Remaja Malaysia (PEREMA). Menurut bekas pembantu jurulatih tinju kebangsaan itu, pusat latihan tomoi Pulapol yang bermula sejak 1999 sehingga kini telah melahirkan ramai bintang tomoi seperti Tengku Shahrizal Tengku Abd Rahman, Che Arzani dan Nik Md Azizi Shafie.

(Cikgu bersama Tengku Shahrizal)

Selain melahirkan ramai petinju berbakat melalui program mencari bakat dalam kalangan pelatih polis, Kuda Merah juga sering menganjurkan perlawanan freestyle kickboxing di seluruh negara. Kelab ini boleh dikatakan antara kelab tomoi terkenal di Malaysia selain Boxxwarriors dan Malaysian Tigers.

01 Ogos 2009

PEREMA

Pertubuhan Pembangunan Remaja Malaysia, PEREMA didaftarkan pada Disember 2006 bertujuan membentuk perilaku dan jati diri remaja ke arah masa depan yang cemerlang. Antara pelopor PEREMA ialah Datuk Abdul Manaf Daud, Ahmad Sowhini Harun dan Sarjan Rosli Yaacob. Antara pengkhususan latihan seni mempertahankan diri yang diketengahkan PEREMA ialah silat tongkat, tinju, tomoi, taekwondo dan karate.

Menurut pengasas PEREMA, Datuk Abdul Manaf Daud, program tersebut bertujuan melahirkan masyarakat yang cergas, harmoni, berdisiplin dan berpersonaliti. Menerusi jati diri yang unggul, PEREMA berharap remaja akan terhindar daripada kegiatan tidak sihat seperti mengambil dadah, bersikap kurang ajar dan terlibat dalam gejala maksiat.

Antara impian PEREMA ialah menubuhkan Akademi Seni Mempertahankan Diri bagi mencungkil bakat dan mengetengahkan petinju muda ke peringkat antarabangsa. PEREMA juga sering menganjurkan kejohanan freestyle kickboxing di sekitar Lembah Kelang bertujuan mencari bakat-bakat baru dalam sukan tomoi yang semakin terkenal.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat di talian 012-3746766 (Suhaimi).

Antara kejohanan anjuran PEREMA