20 Januari 2011

Gloves pertandingan

Gloves adalah aspek penting dalam kejohanan Muay Thai. Mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh WMC, WBC dan WPMF, gloves yang digunakan perlulah mempunyai kelulusan daripada ketiga-tiga badan sukan ini. Saiz gloves perlulah mengikut kelas berat badan petinju, iaitu, 6 auns (132 gram) bagi Mini Flyweight - Junior Featherweight, 8 auns (227 gram) bagi Featherweight - Welterweight dan 10 auns (284 gram) bagi Junior Middleweight - Heavyweight.

Gloves pula mestilah daripada jenis 100% kulit yang bertali dan ditampal dengan selotape bagi mengelakkan talinya terbuka atau mencederakan lawan. Kebanyakan penganjur di Thailand menggunakan gloves bersaiz 6 auns kerana petinju mereka bersaiz kecil berbanding petinju Eropah yang menggunakan gloves bersaiz 10 auns.

Jika diperhatikan, hampir semua penganjur di Malaysia tidak mengikut peraturan pemakaian gloves yang ditetapkan. Namun penganjur Muay Thai terbesar di Malaysia, Boxx Event sentiasa menyediakan empat pasang gloves untuk petinju dan diperiksa oleh pegawai bertugas sebelum petinju naik ke gelanggang.

Penganjur lain lebih senang menggunakan gloves velcro yang digantung di tali gelanggang. Gloves yang disediakan pula kadang-kala bersaiz sparring (10-12 oz). Ada juga kekhilafan apabila penganjur menggunakan gloves tinju profesional yang sama sekali tidak sesuai untuk pertandingan Muay Thai. Selain itu, ada juga gloves daripada material PU (kulit tiruan). Gloves PU sememangnya tidak selamat digunakan kerana pengilang biasanya menggunakan lapisan span yang lembik dan nipis.

Selepas ini diharapkan penganjur menyediakan gloves yang mematuhi peraturan. Ini bagi mengelakkan kecederaan kepada petinju yang menggunakannya. Walaupun di Malaysia belum ada badan yang memantau, sebagai penganjur mereka perlu sedar keselamatan petinju adalah lebih penting berbanding keuntungan.

Tiada ulasan: