07 November 2010

Satin atau nilon?

Ramai yang menghantar pertanyaan tentang seluar Muay Thai ke Blog Boksing Kelantan. Antara soalannya ialah, kain manakah yang lebih baik, satin atau nilon? Bolehkah seluar satin diseterika? Kenapa seluar satin berbeza harganya?

Fabrik satin dipercayai berasal dari China dan mula popular di Eropah pada pertengahan abad ke-12. Sebelum ini fabrik satin dibuat dari benang sutera sebelum kebangkitan Zaman Renaisans di Eropah yang menyaksikan material untuk membuat kain satin dipelbagaikan. Satin tidak lagi dibuat daripada benang sutera yang sangat mahal tetapi digantikan dengan fabrik polister.

Kualiti satin diukur berdasarkan ketebalan fabrik. Lebih tebal kain satin, lebih mahal harganya. Oleh sebab sifatnya yang lembut dan berkilau, satin menjadi pilihan untuk membuat pakaian pengantin dan cadar. Kain satin boleh diseterika tetapi dengan tahap kepanasan yang rendah. Kain satin sangat sensitif kerana benang yang digunakan sangat halus. Itulah sebabnya kain satin senang koyak.

Dalam Muay Thai, kain satin menjadi pilihan untuk membuat seluar, sut sauna, baju cornerman dan jubah petinju. Kain satin yang paling mahal ialah satin sutera yang masih mengekalkan tradisi pembuatan sama seperti Zaman Pencerahan dahulu. Kain ini hanya boleh dicuci dengan cucian kering (dry clean). Seluar Muay Thai daripada fabrik satin sutera boleh mencecah sehingga RM300.

Kalau dahulu, petinju Muay Thai hanya memakai seluar satin jika bertanding di gelanggang tetapi kini, seluar satin boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja kerana harganya yang semakin murah sama seperti seluar nilon.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis seluar Muay Thai daripada satin bergantung kepada jenis kain dan corak yang ditampal pada seluar. Seluar Muay Thai satin pula menjadi pilihan petinju di stadium utama di Thailand. Seluar satin Raja ialah seluar rasmi di Stadium Rajadamnern manakala jenama Twins ialah penaja di Stadium Lumpini.

Twins menjadi penaja untuk Stadium Lumpini

Jenama Raja dipakai oleh petinju yang bertanding di Rajadamenrn

Tiada ulasan: