10 November 2009

Seluar Muay Thai

Sebelum mempelajari Muay Thai, pelatih terlebih dahulu perlu memiliki sehelai seluar pendek Muay Thai. Memakai seluar trek atau seluar panjang tidak sesuai bagi latihan Muay Thai kerana pelatih perlu mengangkat kaki yang tinggi dan melentur tubuh semasa melakukan sesuatu teknik.

Seluar Muay Thai dibahagikan kepada dua jenis, seluar latihan dan seluar pertandingan. Seluar latihan biasanya dibuat daripada satin. Terdapat tulisan Muay Thai di hadapannya dalam bahasa Thai. Seluar pertandingan pula dibuat daripada rayon kerana kain ini cepat kering. Di hadapannya akan tertulis nama petinju dan kelab yang diwakilinya.

Seluar Muay Thai yang popular semuanya dibuat di Thailand. Antara jenama yang berkualiti ialah Muay Thai, Lumpini dan Twins Special. Apabila membeli seluar, terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui. Kebanyakan seluar buatan Thailand diukur dengan menggunakan skala S, M, L, XL dan XXL.

Getah pinggang seluar dibuat daripada bahan elastik yang boleh membesar mengikut pinggang pemakai. Walaupun kerap dipakai, getah pinggang seluar sentiasa ketat. Sekiranya tidak pasti saiz yang sesuai, belilah saiz yang besar. Seluar yang besar memudahkan pergerakan kaki.

Berikut ialah ukuran saiz seluar:
S – untuk pinggang 22 – 24
M – untuk pinggang 26– 28
L – untuk pinggang 30 – 32
XL – untuk pinggang 34 – 36
XXL – untuk pinggang 38 ke atas

Tiada ulasan: