10 November 2009

Muay Thai vs Tinju

Setiap petinju profesional mempunyai tumbukan yang sangat kuat. Cikgu sukakan sukan tinju dan tidak menafikan kehebatan petinju yang terlibat dalam sukan berstamina paling tinggi dalam semua sukan tempur.Jika dibandingkan dengan Muay Thai, latihan tinju lebih tertumpu kepada sparring. Jika petinju profesional berhadapan dengan petinju Muay Thai dan mereka bertarung hanya menggunakan tangan, tidak mustahil petinju profesional boleh menumbangkannya dalam masa beberapa minit. Tetapi, bagaimana jika dalam pertarungan itu, petinju Muay Thai boleh menggunakan siku, lutut dan kaki?

Cikgu mempunyai seorang saudara yang terlibat dalam sukan tinju amatur. Sepupu Cikgu yang berkhidmat dengan 22 Gerup Gerak Khas berpusat di Mersing, Johor ini tidak pernah tewas dalam karier tinjunya bersama ATM. Dia mempunyai tinggi dan berat yang lebih kurang sama dengan Cikgu. Dia pernah mengajak Cikgu bertarung secara suka-suka. Kedudukannya semasa bertarung masih sama seperti petinju zaman Greek dahulu, iaitu kaki hadapan dan belakang yang dibuka agak sempit berbanding gaya Muay Thai Cikgu.

Jangkauan tumbuk lurusnya lebih panjang daripada tumbukan Cikgu dan setiap kali serangan, dia boleh menumbuk sasaran dengan tepat. Ketika kami bertarung menggunakan kaki, dia kehilangan punca apabila diaju dengan sepakan rendah bertubi-tubi ke tulang kering. Kedudukannya tadi tidak lagi mampu menahan sepakan daripada Cikgu. Selepas beberapa lama, Cikgu dapati hanya sepakan yang mampu menghalang tangannya daripada sampai ke muka Cikgu.

Dia seorang atlet yang memiliki stamina yang cukup bagus bukan sahaja disebabkan dia ialah komando, tetapi juga atlet sukan tempur yang bertarung paling lama. Namun, apabila berhadapan dengan sepak layang tulang kering, dia tidak dapat menahan kesakitan.

Tinju ialah seni tempur yang praktikal dalam menyerang. Tetapi kelemahannya, tinju hanya menggunakan dua tangan sedangkan Muay Thai menggunakan lapan senjata, iaitu dua tangan, dua siku, dua kaki dan dua lutut.

Muay Thai mengadaptasi corak bertinju ke dalam sistemnya sedangkan Tinju masih kekal sama seperti zaman purba dahulu. Cari petinju Muay Thai yang sama saiz dengan Tyson dan Cikgu percaya, Si Kerbau itu akan tumbang dalam pusingan pertama lagi. Bagaimanapun, seperti bangsa Asia lain, orang Thai tidak mempunyai ramai petinju bersaiz demikian. Jika itu berlaku, tidak mustahil orang Thai akan mendominasi semua jenis sukan tempur yang ada di dunia ini.

Tiada ulasan: