10 November 2009

Muay Thai vs Sanda

Cikgu pernah bertanya kepada guru tomoi Cikgu, Kru Surin semasa belajar dulu selepas melihat filem Jet Li, Fist of Fury, mana lebih hebat, Sanda atau Muay Thai? Beliau menggaru kepala sambil bertanya, apa itu Sanda?

Dengan menggunakan dialek Melayu Pattani, Cikgu menjelaskan Sanda itu ialah Kickboxing Cina. Lalu dengan gaya seakan-akan Bruce Lee, beliau berkata, “Maksud awak, ini? Ini tidak boleh dipakai langsung dalam gelanggang Muay Thai,” katanya.

Cikgu menjelaskan lagi kepadanya, Sanda bukan Kung Fu, Tai Chi atau Wushu. Sanda ialah seni beladiri yang dicipta daripada seni Wushu sama seperti Muay Thai yang terhasil daripada Muay Boran.

Menurut pembacaan Cikgu dalam buku-buku Muay Thai karya penulis Barat, mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Persatuan Boxing Thailand, belum ada petarung luar yang dapat mengalahkan petinju Muay Thai di Thailand. Ada cerita legenda yang tersebar mengatakan lima ahli Kung fu Shaolin dari China yang datang mencabar petinju Muay Thai pada tahun 1974. Mengikut cerita tersebut, kelima-lima ahli Kung Fu tersebut ditewaskan dalam masa beberapa minit di Stadium Lumpini.

Bagaimanapun, cerita ini Cikgu kurang percaya kerana tiada rekod jelas yang mengatakan bahawa petarung itu betul-betul dari Shaolin atau hanya ahli pertunjukan wushu biasa. Ketika era itu, sukar bagi pengamal Shaolin untuk datang ke Thailand kerana China ketika itu mengalami Revolusi Kebudayaan yang melarang penduduknya keluar negara.

Sekiranya kita mengkaji corak serangan Sanda, Muay Thai mempunyai sedikit kelebihan kerana menggunakan siku. Namun, pengamal Sanda dari Shaolin tidak akan mudah tewas. Mengikut kajian Cikgu, pengamal Shaolin akan belajar wushu terlebih dahulu selama dua tahun sebelum boleh memilih sama ada mempelajari permainan senjata, seni Qigong atau Sanda.

Walaupun Muay Thai dan Sanda dikelaskan dalam aliran Kickboxing, Sanda mempunyai teknik tendang sisi (side kick) dan sepak lurus yang tiada dalam Muay Thai. Teknik sepakan dalam Sanda lebih banyak dari Muay Thai kerana seni ini berasal dari gaya Wushu yang lama. Bagaimanapun bukan semua tekniknya praktikal dalam situasi tempur sebenar. Sepakan dalam Muay Thai menggunakan tulang kering sebagai senjata manakala Sanda menggunakan kekura kaki seperti mana-mana beladiri lain.

Di China, penggunaan siku tidak dibenarkan dalam apa jua seni beladiri. Di Thailand, siku sangat dititikberatkan oleh jurulatih kerana teknik inilah yang sering memberikan kemenangan, Serangan siku dikatakan paling banyak memberi kemenangan di Stadium Lumpini. Dalam Sanda, pengamalnya menjatuhkan lawan dengan memeluk pinggang manakala dalam Muay Thai, petinju memeluk leher dan kepala lawan. Jatuhan tidak dikira sekiranya petinju Muay Thai menjatuhkan lawan dengan menolak pinggangnya.

Kembali kepada persoalan tadi, mana lebih hebat, Sanda atau Muay Thai? Jawapan Cikgu ialah, Cikgu sendiri pun tidak tahu. Bagaimanapun, tidak salah kalau kita mempelajari kedua-duanya.

Tiada ulasan: