10 November 2009

Muay Thai vs Kickboxing

Kickboxing sering disalahertikan sebagai Muay Thai yang juga dikenali sebagai Thai Kickboxing. Walaupun teknik dan peraturan kedua-dua sukan ini hampir sama, kebanyakan aliran kickboxing tidak menggunakan lutut dan siku sebagai senjata dan tidak menyerang di bawah kawasan pinggang.

Terdapat banyak negara yang melabelkan aliran mereka sebagai kickboxing seperti Jepun, Amerika, India, Burma dan Perancis. Perkataan ”kickboxing” sebenarnya dicipta oleh Osamu Noguchi, seorang promoter Karate bagi merujuk kepada seni campuran sukan Muay Thai dengan Karate yang diciptanya pada awal tahun 60-an.

Pada 12 Februari 1963, satu perlawanan antara Karate dengan Muay Thai diadakan di Stadium Lumpini. Tiga ahli karate dari Jepun terbang ke Thailand untuk mencabar petinju Thai. Mereka ialah Tadashi Nakamura, Kenji Kurosaki dan Akio Fujihara. Promoter mereka, iaitu Noguchi dengan bantuan Kurosaki mengkaji Muay Thai dan menyerapnya dengan seni karate aliran Kyokushin dan menamakannya sebagai Kickboxing. Ketika ini, buangan dan sepakan rendah masih dibenarkan untuk menampakkan unsur Muay Thai.

Persatuan Kickoxing Antarabangsa, badan kickboxing sah pertama telah diasaskan oleh Noguchi pada 1966 dan pertandingan pertama diadakan di Osaka pada 11 April 1966. Sukan kickboxing meletup dan terkenal di seluruh Jepun. Petinju kickboxing terhebat di Jepun ketika itu ialah Tadashi Sawamura. Bagaimanapun, selepas beliau bersara, sukan kickboxing menjadi suram.

Selepas beberapa lama, sukan kickboxing meningkat semula selepas Kejohanan K-1 diadakan pada 1993. Kazuyosi Ishii, pengasas Karate Seidokaikan menganjurkan K-1 di bawah peraturan kickboxing (tiada siku dan clinching). Acara ini berkembang di seluruh Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand.

Tiada ulasan: