Kenapa Sitkrumat tidak mengenakan yuran latihan? Pertanyaan itu sering diajukan oleh pengikut Blog Boksing Kelantan dan pemilik gim Muay Thai di sekitar Lembah Kelang (Selangor dan Kuala Lumpur).
Sitkrumat tidak seperti gim besar di sini yang terpaksa membayar sewa dan gaji jurulatih dari Thailand. Kos sewa bangunan biasanya sekitar RM500 sebulan, itu pun di tingkat tiga. Pemilik gim terpaksa menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mengubahsuai bangunan dan membeli peralatan latihan yang sememangnya sangat mahal. Gaji jurulatih dari Thailand pula antara RM1000-RM2000 bergantung kepada pengalaman yang dimiliki. Itulah sebabnya ada kelab di sini mengenakan yuran latihan sehingga RM200 sebulan.
Sitkrumat menggunakan padang karpet getah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang sejak tiga tahun lalu. Kami tidak perlu membayar sewa tempat kerana sudah mendapat permit menggunakan padang ini. Sebagai guru sekolah, sudah menjadi kewajipan Cikgu untuk mendidik anak bangsa. Cikgu dibayar oleh kerajaan untuk mengajar. Walaupun latihan boksing ini tidak termasuk dalam skop kerja Cikgu, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, menjadi tugas Cikgu untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang harmonis dari segi mental dan fizikal. Pengalaman selama 12 tahun dalam sukan boksing ini dicurahkan kepada anak-anak bangsa yang ingin berjaya.
Cikgu menggunakan duit gaji Cikgu untuk membeli barang latihan ini di Thailand. Sehingga hari ini, Cikgu telah menghabiskan RM3000 untuk membeli segala kelengkapan yang diperlukan untuk menguruskan kelab ini.
Sejak awal tahun ini, Cikgu telah mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 yang perlu dibayar oleh semua pelatih baru. Yuran ini sebenarnya untuk menampung kos minyak Namman dan menukar peralatan yang rosak. Cikgu sedar bahawa Cikgu tidak boleh mengenakan yuran latihan kerana kebanyakan pelatih Sitkrumat terdiri daripada pelajar sekolah Cikgu sendiri dan pekerja-pekerja kilang.
Jadi, tidak timbul soal Cikgu tidak menghargai nilai ilmu kerana sebagai guru sekolah, Cikgu lebih tahu sejauh manakah keikhlasan seseorang itu mengajar. Lagi pun Cikgu tidak perlu membayar sewa tempat atau gaji jurulatih Thailand.
4 ulasan:
assalamualaikum cikgu. saya dok kt selayang. saya setuju sangat dengan pandangan cikgu. sblum ni sy penah training kat sebuah kelab ni kat sini. asalnya pemilik kelab ni tak kenakan caj...bagi yg seikhlas hati jer setiap bulan. sampai satu tahap..tak payah bayar lagi. tapi kebelakangan ni ramai kawan2 dah merungut jurulatih nak kenakan caj. mahal plak tu. dah mcm nak buat bisnes pulak. perkara mcam ini tak patut berlaku kalau kita nak menarik minat lebih ramai nak muay join sukan ini. disebabkan msalah ini kami dah taknak join traning lagi. kalaulah cikgu buat trning kat area selayang/gombak/ulu klang ni..leh kami join..hehe
mungkin jurulatih itu perlu membeli kelengkapan yang baru atau membayar kos lain. kalau tak tetapkan yuran, murid akan bagi ikut suka hati. penat lelah jurulatih perlu diambil kira. masa yang terbuang untuk mengajar boleh dimanfaatkan untuk bersama keluarganya. banyak yang terpaksa dikorbankan kalau nak menjadi jurulatih ni. bukan membayar nilai ilmu, tapi sebagai sagu hati kerana jurulatih itu sanggup mengajar. Saya takpa sebab dah ada gaji. kalau orang yang tidak ada kerja tetap, tidakkah kesian. kadang-kadang pun saya merasa penat juga mengajar ni. cuti hujung minggu terpaksa datang mengajar, masa bersama keluarga memang takda, mujurlah isteri memahami dan sentiasa menemani setiap kali latihan.
cikgu, terima kasih diatas segala ilmu.
walaupun baru sehari join kelas cikgu... hehe...leloh weh...
sama-sama. kelmarin pun baru sikit tu. nak bui banyak takut kesian, napok macam tokleh gi dok, kita tokse pakso, lama kan takleh nak drebar sakit urat.
Catat Ulasan