15 Oktober 2010

Belajar boksing di kampung

Belajar boksing pada masa kini tidak lagi seperti belajar di kampung pada masa dulu. Di Kelantan, guru-guru akan membuka gelanggang jika ada anak kampung yang ingin bertanding dalam kejohanan tempatan yang diadakan setiap minggu. Guru-guru yang merupakan bekas petinju Muay akan menyarung glove kembali selepas bersara untuk melatih petinju baru. Sebuah gelanggang yang ringkas akan dibina di kawasan lapang atau belakang rumah guru itu sendiri.

Boleh dikatakan pada era 80-an dan 90-an, setiap kampung mempunyai gelanggang boksing sendiri. Setiap malam kita akan melihat sekumpulan anak-anak muda menendang beg berat dan melompat tali dengan diawasi oleh seorang jurulatih. Selama tiga bulan, anak-anak muda ini akan berlatih sehingga mereka layak menerima tauliah (perlimau). Satu majlis perlimau akan diadakan pada hari minggu (Jumaat) dan kenduri turut diadakan secara besar-besaran.

Anak-anak muda ini diraikan seperti seorang pendekar yang baru keluar dari pertapaan oleh masyarakat di kampung tersebut. Gelanggang yang telah membuat majlis perlimau akan diundang bagi membuat persembahan dan menguji kemahiran pelatih gelanggang baru ini. Setiap pelatih mendapat regu yang sesuai dengan mereka dan perlawanan ringan ini berlangsung selama beberapa minit diiringi irama gendang boksing.

Kini, sudah semakin jarang didengari gelanggang baru dibina di dalam kampung. Ramai anak-anak muda berhirah ke bandar selepas SPM dan ada yang terus memohon pasukan keselamatan. Kanak-kanak pula mencari hobi yang lain seperti bola sepak dan sepak takraw. Blog Boksing Kelantan berharap masih ada guru-guru lama menyarung glove kembali untuk mengajar seni mempertahankan diri kepada anak-anak muda sekarang yang dilihat cenderung merempit dan terlibat dalam penagihan dadah. Kita tentu tidak mahu generasi pemimpin masa depan lemah mental dan fizikal kerana kealpaan kita.

Tiada ulasan: