03 Disember 2010

GCS Muay Thai, Taiping

GCS Muay Thai ialah kelab yang tidak asing lagi di daerah Larut Matang (Taiping) dan di seluruh Negeri Perak. Kelab ini juga merupakan kelab yang paling aktif dan berpengalaman dalam menganjurkan Kejohanan Muay hai di Negeri Perak (8 kali).

Ditubuhkan pada Jun 1996 oleh Allahyarham Ustaz Abdul Wahab Ibrahim. Pada mulanya ilmu keturunan ini disebarkan kepada keluarga allahyarham. Tetapi atas minat dan sokongan dari penduduk setempat ia telah disebarkan kepada semua penduduk dan seterusnya kepada semua orang ramai. Kini ilmu ini telah diturunkan kepada Waris Utama Allahyarham, iaitu Guru Ezry atau lebih mesra dengan panggilan Paksu yang merupakan anak bongsu allahyarham dan isteri allahyarham yang merupakan Waris Adat Puan Ramlah Uda atau lebih mesra dengan panggilan Opah.

GCS yang membawa maksud G-Gabungan, C-Cengkaman dan S-Sakti merupakan nama silat Melayu dan Muay Thai bermaksud ilmu seni mempertahankan diri yang berasal dari Thailand. Ilmu ini telah digabungkan dan menjadi satu pendekatan ilmu yang kukuh.

Silat Gabungan Cengkaman Sakti ialah satu perguruan yang mempunyai elemen permainan atau gaya binatang. Elemen tersebut ialah Harimau yang digelar Sikasa, Helang digelar Siputih, Kera yang digelar Siluman dan Kala Jengking yang digelar Sikala. Dengan gabungan elemen gaya binatang ini maka permainan ilmu beladiri ini boleh beraksi dalam setiap sudut. Muay Thai atau Tomoi pula ialah ilmu yang dipelajari allahyarham daripada keturunannya memandangkan beliau adalah dari keturunan fatani (Thailand).

Satu langkah demi langkah diambil oleh Guru Ezry bagi mengetengahkan kelab dan mencungkil bakat ahlinya secara serius. Kelab ini juga telah berjaya menjadi salah satu aktiviti rasmi di bawah Gerakan Belia 4B Perak. Objektif utama kelab adalah untuk menjadikan kelab sebagai salah satu kumpulan dalam menarik seberapa ramai golongan belia untuk terus bergerak aktif selaras dengan kempen yang disarankan oleh pihak kerajaan. Selain dari itu, GCS juga sering dijemput menjadi fasilitator dalam kursus jangka pendek di sekolah, IPT, Puteri UMNO dan NGO.

Atas dasar mahu terus mendidik anak bangsa, kelab juga telah mewujudkan kumpulan tarian melayu asli (Kumpulan Sri Inang sari) di bawah pimpinan Cikgu Fazlyna (isteri Guru Ezry).

Tiada ulasan: