29 Ogos 2010

Glove Muay Thai

Terdapat pelbagai jenama dan jenis glove di pasaran. Jenama glove terkenal yang biasa digunakan oleh petinju Muay Thai seluruh dunia ialah Twins Special, Raja atau Windy. Elakkan glove dari China atau Taiwan kerana kulitnya cepat menggelupas. Glove dari Thailand telah terbukti tahan lasak, tahan lama dan kalis air.

Jenis glove pula berbeza mengikut cara kegunaan. Bagi pengamal yang ingin berlatih dengan beg berat, glove yang ringan dan nipis lebih sesuai. Bagi pertarungan sebenar di gelanggang, petinju menggunakan glove bertali (lace-up) mengikut negara masing-masing. Saiz glove biasanya antara 6 – 10 auns. Petinju di Thailand menggunakan saiz 6 auns manakala di Malaysia pula 8 auns. Di Eropah, petinju menggunakan glove bersaiz 10 auns untuk menepati piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Glove latihan pula dibahagikan kepada dua, iaitu latihan sparring dan latihan pao. Glove untuk latihan biasanya dari jenis Velcro (hook & loop) untuk memudahkan petinju memakai dan menanggalkan glove tanpa bantuan orang lain. Latihan pao memerlukan glove bersaiz sederhana, iaitu 10 – 12 auns. Bagi glove sparring, petinju Muay Thai biasanya menggunakan saiz 14 – 20 auns. Semakin besar glove, semakin selamat rakan sparring anda.

Glove berkualiti tinggi dibuat daripada 100% kulit anak lembu. Dua lapisan lateks di dalamnya memberikan lebih banyak perlindungan kepada petinju. Lapisan dalam (lining) glove ini juga meresap air untuk mengelakkan tangan berpeluh. Benang tebal di sekeliling glove juga dijahit menggunakan tangan bagi mengekalkan ketahanan jahitan. Terdapat trademark “Made in Thailand” di glove sebagai tanda kualiti.

Tiada ulasan: