29 Mac 2016

Belajar Boksing di Kelantan


1. Belajar boksing di Kelantan pada masa ini tidak lagi seperti belajar di kampung dulu.

2. Suatu ketika dulu, guru-guru akan membuka gelanggang jika ada anak kampung yang ingin bertanding dalam kejohanan tempatan yang diadakan setiap 2 minggu.

3. Guru-guru yang merupakan bekas petinju Muay akan menyarung glove kembali selepas bersara untuk melatih petinju baru.

4. Sebuah gelanggang ringkas akan dibina di kawasan lapang atau belakang rumah guru itu sendiri.

5. Boleh dikatakan pada era 80-an dan 90-an, setiap kampung mempunyai gelanggang boksing sendiri.

6. Setiap malam kecuali malam Jumaat, kita akan melihat sekumpulan anak-anak muda menendang beg berat dan melompat tali dengan diawasi seorang jurulatih.

7. Yuran latihan cuma RM20 hingga RM30 sebulan, cukup untuk membantu menambah pendapatan jurulatih yang biasanya bekerja sebagai tukang rumah, pemandu teksi atau pekerjaan buruh yang lain.

8. Selama tiga bulan, anak-anak muda ini berlatih sehingga mereka layak menerima tauliah (perlimau).

9. Satu majlis perlimau akan diadakan pada hari minggu (Jumaat) dan kenduri turut diadakan secara besar-besaran.

10. Setiap ahli dimestikan membawa seekor ayam yang akan disembelih di dalam gelanggang.

11. Pulut kuning dan bunga telur juga wajib disediakan pada hari perlimau.

12. Anak-anak muda ini diraikan seperti seorang pendekar yang baru keluar dari pertapaan oleh masyarakat di kampung tersebut.

13. Murid-murid dari gelanggang yang sudah membuat majlis perlimau akan diundang bagi membuat persembahan dan menguji kemahiran pelatih di gelanggang baru.

14. Setiap pelatih mendapat regu yang sesuai dengan mereka dan perlawanan ini berlangsung selama beberapa minit diiringi irama gendang boksing.

15. Murid-murid yang berbakat akan menyambung latihan selepas majlis perlimau ini untuk memasuki gelanggang pertandingan.

16. Mereka juga akan membantu melatih jika gurunya itu membuka gelanggang baru.

17. Kini, sudah semakin jarang didengari gelanggang baru dibina di dalam kampung.

18. Ramai anak muda berhirah ke bandar dan ada yang terus memohon pasukan keselamatan selepas persekolahan.

19. Kanak-kanak pula mencari hobi yang lain seperti bola sepak dan sepak takraw.

20. Semoga di Kelantan ada guru-guru lama menyarung glove kembali untuk mengajar seni tomoi kepada anak-anak muda sekarang yang dilihat cenderung merempit dan terlibat dalam penagihan dadah.

21. Kita tentu tidak mahu generasi pemimpin masa depan lemah mental dan fizikal kerana kealpaan kita.

Tiada ulasan: