20 Ogos 2009

Cornerman ep. 2

Kamu adalah sama penting dengan petinju yang kamu bawa. Aku tak kira berapa banyak yang kamu tahu, tetapi jika petinju kamu tak boleh lawan, kamu umpama pengemis yang tidur di dalam taman – Kru Surin, Sitsomboon Thai Gym.


Cornerman bertanggungjawab terhadap petinju sejak perjalanan untuk ke tempat perlawanan lagi. Dari makan minum, tempat tinggal, tahap kecergasan, semuanya diuruskan oleh cornerman. Sebelum dan ketika perlawanan, tiada orang yang lebih rapat dengan petinju selain daripada cornerman. Antara tugas cornerman ialah:
1. Menyediakan peralatan yang diperlukan untuk petinju.
2. Membalut tangan petinju.
3. Mengurut tubuh petinju.
4. Mengiringi petinju naik ke gelanggang.
5. Menganalisis kekuatan lawan.
6. Merancang strategi untuk menghadapi lawan.
7. Memberi nasihat ketika petinju hilang punca atau hampir kalah.


Dalam perlawanan, petinju diberi masa rehat selama empat kali dengan tempoh masa dua minit. Ketika inilah cornerman bertanggungjawab menjalankan tugasnya seperti:
1. Melihat glove dan krachap sama ada ketat atau longgar.
2. Menyejukkan tubuh petinju dengan mengibas atau menyembur dengan air sejuk.
3. Memberi air minuman untuk menghilangkan haus.
4. Mengurut kaki, perut, bahu, dan kepala petinju.
5. Memberi nasihat kepada petinju.

Cornerman bertanggungjawab menyediakan kelengkapan untuk petinju sebelum perlawanan. Amtara barang yang diperlukan ialah baldi, tuala putih, pek ais, vaselin, minyak urut, pita perekat, kain pembalut tangan, gunting dan masking tape. Glove disediakan oleh pihak penganjur.


Ada juga cornerman yang membawa focus mitt untuk membantu petinju membuat pemanasan. Sebelum naik ke gelanggang, cornerman perlu memeriksa sama ada petinju sudah memakai jubah, kracap, mongkon, dan prajed. Pelindung mulut dipakaikan selepas petinju siap membuat langkah sembah.

Ketika membantu petinju naik ke gelanggang, cornerman perlu memastikan petinju itu melangkah tali dengan bergaya. Jubah perlu ditanggalkan segera dan glove dipastikan kemas sekali lagi.


Hidrasi atau kekurangan air dalam badan sangat perlu diberi perhatian oleh cornerman. Tiga minit perlawanan menghilangkan hampir satu liter cecair dalam badan. Hidrasi boleh menyebabkan petinju pengsan dan terdedah kepada maut. Cornerman perlu memastikan petinju mengambil air secukupnya sepanjang hari sebelum malam perlawanan. Ketika perlawanan, petinju akan mengambil sedikit air cuma untuk menghilangkan rasa dahaga.


Semasa waktu rehat antara pusingan, pastikan pek ais diletak di leher atau bahu petinju untuk menyejukkan tubuhnya. Kibas tuala supaya petinju berasa sejuk kerana suhu tubuhnya ketika itu sangat panas. Semburan air sejuk ke tubuh juga boleh dilakukan selain membasuh kepala petinju. Longgarkan seluar petinju untuk membolehkan udara masuk dan pengaliran darah berjalan dengan sempurna.

Sekiranya terdapat kesan luka yang kecil, sapu dengan vaselin. Doktor akan menghentikan perlawanan sekiranya luka tadi membahayakan petinju. Bengkak boleh dihilangkan dengan menuam ais.

Hubungan antara cornerman dan petinju sangat penting. Kedua-duanya harus saling mempercayai dan petinju perlu mendengar setiap arahan cornerman. Oleh sebab kebiasaannya cornerman terdiri daripada jurulatih, hanya mereka yang tahu kekuatan petinjunya dan membaca teknik lawan semasa perlawanan. Tugas cornerman bolehlah dianggap seperti bapa menasihati anaknya, ibu menjaga bayinya, dan guru yang memberi motivasi untuk kejayaan pelajarnya.

Tiada ulasan: