31 Julai 2009

Buakaw

Buakaw Por Pramuk atau nama sebenarnya Sombat Banchamek dilahirkan pada 8 Mei 1982 di Buriram, sebuah daerah miskin di tenggara Thailand. Mula menyertai sukan Muay Thai pada umur 8 tahun, Buakaw atau bermaksud Teratai Putih mula menyertai kem Por Pramuk ketika umurnya 15 tahun. Ketika bersama kem ini, Buakaw mula mengumpul beberapa bengkung kejuaraan. Kejuaraan antarabangsa pertama yang dimenanginya ialah Kejohanan Marathon Muay Thai Toyota pada 2002 apabila menewaskan petinju handalan Jepun, Kobayashi di Stadium Lumpini.

Media mula menggelarnya Pembunuh Bersiri dari Lumpini apabila dia mula menyertai kejohanan kickboxing paling berprestij, K-1 di Jepun. Dalam perlawanan akhir K-1 2004, Buakaw menewaskan bintang Jepun, Masato. Pada 2005, Buakaw gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tewas dengan keputusan kontroversi di tangan kickboxer Belanda, Andy Souwer. Pada final K-1 2006, Buakaw membalas kekalahannya dulu dengan menjatuhkan Souwer pada pusingan kedua dan menjadi petinju pertama merangkul dua kemenangan K-1.

Pada semi final K-1 2007, Buakaw sekali lagi menjadi mangsa keputusan berat sebelah juri apabila tewas kepada petinju tuan rumah, Masato. Pada 2008, Buakaw menerima kekalahan KO pertamanya apabila tewas kepada jaguh K-1 terbaru dari Jepun, Yoshihiro Sato pada pusingan terakhir. Pada bulan Oktober nanti, Buakaw akan bertemu Andy Souwer sekali lagi di semi final K-1 2009 untuk merampas kembali takhta juara K-1.

Seperti kebanyakan petinju Thai yang lain, Buakaw berlatih dengan kuat. Di Por Pramuk, kedamaian dan keindahan kem di tepi Sungai Bangpakong memberi suatu inspirasi kepada Buakaw untuk meraih lebih banyak kemenangan. Buakaw berlatih 8 jam sehari selama 6 hari seminggu. Dengan rekod perlawanan lebih daripada 200 kali dengan 190 kemenangan, Buakaw sememangnya juara Muay Thai yang paling terkenal di Thailand selain Yodsaenklai.

1 ulasan:

apai@ampang gym berkata...

buakaw!! dia juga kawan kepada fasucun sit o( ex trainer boxx ampang) selalu dgr cerita tentang buakaw dari fasucun semasa dia di ampang dulu.. :)