07 April 2016

Peraturan Sukan Muaythai


1. Peraturan pertandingan perlu diketahui petinju, jurulatih dan mereka yang terlibat dalam sukan Muay Thai.

2. Masih ramai petinju yang tidak mengetahui teknik yang menghasilkan mata dan teknik yang dilarang (faul).

3. Ada yang mengatakan tumbukan tidak mendapat mata, sepak layang rendah paling banyak mata, jatuhan tidak dikira dan pengiraan mata sama seperti tinju atau kickboxing.

4. Jadi, apakah teknik yang menghasilkan mata? Teknik manakah yang dilarang? Teknik manakah yang boleh digunakan?

5. Peraturan sukan Muay Thai dikuatkuasakan selepas kematian Chia Kaek Kamane di Arena Lak Muang semasa berlawan dengan Pae Liangprasert pada 1926.

6. Chia meninggal kerana ketika itu tiada peraturan jelas yang membenarkan pengadil meleraikan clinching apabila dia memegang tali gelanggang kerana tidak mampu bertahan.

9. Pada masa itu, Muay Thai (dikenali sebagai Muay Kaad Chuek) belum menerima pengaruh tinju lagi sebaliknya mereka berlawan sehingga salah seorang pengsan atau cedera parah.

10. Dalam Muay Kaad Chuek, sepakan, tumbukan, lutut dan siku, buangan, hantukan kepala, dan mencekik dibenarkan.

11. Apabila glove dan pusingan perlawanan diperkenalkan, hantukan kepala, serangan lutut ke kawasan kemaluan, mencekik dilarang dalam Muay Thai.

12. Dalam Muay Thai, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu A, B dan C.

13. Kategori A biasa diadakan di Thailand dan Malaysia, iaitu menggunakan peraturan penuh (profesional).

14. Contohnya petinju hanya memakai glove serta pelindung kemaluan dan gigi.

15. Pusingan perlawanan sebanyak 5 pusingan (3 minit satu pusingan 2 minit rehat).

16. Kategori B ialah perlawanan bagi petinju berpengalaman (veteran).

17. Petinju memakai pelindung kepala, siku, tulang kering dan glove.

18. Pusingan perlawanan juga sama seperti kategori A tetapi masa perlawanan hanya 2 minit dan masa rehat pula 1 minit.

19. Kategori C pula ialah bagi petinju amatur.

20. Petinju memakai kelengkapan sama seperti kategori B.

21. Pusingan perlawanan ialah tiga pusingan (2 minit perlawanan 1 minit rehat).

22. Teknik siku dan lutut ke bahagian kepala dilarang dalam kategori ini.

23. Terdapat satu kad skor bagi tiga orang juri yang akan menilai kedua-dua petinju.

24. Setiap kad skor mempunyai 10 mata setiap pusingan yang akan ditolak bagi setiap serangan yang mengena atau faul.

25. Semua teknik Muay Thai efektif digunakan dalam gelanggang.

26. Namun, teknik beladiri lain seperti tendangan sisi, sepak cangkuk atau sabit tidak dikira dalam gelanggang Muay Thai.

27. Untuk mendapat mata yang bagus, serangan perlu memberi kesan serta-merta kepada lawan.

28. Jika serangan dihalang (block), mata tidak diberikan, tetapi jika serangan menyebabkan lawan hilang keseimbangan (jatuh), mata akan diberikan bagi setiap teknik itu.

29. Teknik yang banyak menghasilkan mata diberikan bagi teknik yang memberikan kesan kuat serta-merta kepada lawan, contohnya petinju dikira menang sekiranya serangan itu menyebabkan lawan tumbang dan tidak dapat meneruskan pertandingan.

30. Selain itu, teknik yang banyak menghasilkan mata ialah teknik serangan yang menyebabkan lawan rebah dan tidak berupaya bangun (jika pengadil membuat kiraan 8, 2 poin akan ditolak; jika petinju melawan balik dan mendominasi semula pusingan itu, 1 poin akan dihadiahkan).

32. Petinju mendapat mata sekiranya lawan hilang keseimbangan kerana sepakan atau buangan diiringi kombinasi serangan yang padu.

33. Menjatuhkan lawan dengan sepak rendah di kaki juga memberi mata kepada petinju.

34. Buangan dengan teknik yang dibenarkan memberi mata kepada petinju.

35. Petinju akan mendapat mata dengan kombinasi serangan sehingga lawan terpaksa membelakangkan badannya (berundur).

36. Petinju kalah pusingan itu jika memusingkan badannya membelakangi lawan (tidak membela diri).

37. Poin akan ditolak sekiranya petinju melarikan diri di atas gelanggang daripada lawannya.

38. Poin juga ditolak jika petinju mengulangi kesalahan sama walaupun diberi amaran oleh pengadil.

39. Poin ditolak jika petinju menggunakan taktik kotor seperti berpura-pura rebah apabila lawan menangkap kakinya dan juga memegang tali gelanggang semasa tubuhnya dipaut lawan supaya pengadil meleraikan pautan.

40. Juri biasanya melihat keseluruhan petinju yang mendominasi perlawanan.

41. Walaupun petinju menang pusingan 1, 2, 3 dan 4, dia dikira kalah jika kalah teruk pada pusingan kelima.

42. Juri melihat teknik yang digunakan, kekuatan mental petinju semasa berlawan dan keadaan petinju selepas pusingan tamat.

43. Sekiranya petinju menunjukkan semangat mengalah atau tidak mahu berlawan, juri akan memberi kemenangan mudah kepada lawannya.

44. Petinju perlu sedar bahawa bukan semua serangan yang terkena lawan mendapat mata.

45. Serangan tidak menghasilkan mata sekiranya lemah.

46. Serangan lutut menghasilkan lebih banyak mata berbanding tumbukan (kecuali jika tumbukan itu menyebabkan lawan tumbang).

47. Lutut lurus (sasaran ke perut) lebih efektif berbanding lutut layang (sasaran ke rusuk).

48. Sepakan ke kawasan tubuh dan tendang lurus yang menyebabkan lawan hilang keseimbangan lebih efektif berbanding sepak layang rendah (kecuali jika sepakan itu menyebabkan lawan rebah atau cedera teruk).

49. Serangan siku dikira jika serangan itu menyebabkan bahagian muka lawan luka, atau lawan rebah.

50. Berikut ialah faul dalam sukan Muay Thai.

a. Menjatuhkan lawan dengan menolak pinggang, bahu atau kaki (seperti yang digunakan dalam MMA).
b. Mengunci lawan (seperti dalam sukan gusti atau jujitsu).
c. Menggunakan sepakan sapuan untuk menjatuhkan lawan.
d. Memeluk lawan sehingga lawan sesak nafas.
e. Memegang tali untuk menyepak atau menghentak lutut kepada lawan.
f. Melantunkan tubuh di tali gelanggang untuk menyerang atau membela diri dari serangan lawan.
g. Menggunakan tali gelanggang untuk mencederakan lawan.
h. Menangkap kaki lawan dan menolaknya sehingga melebihi 3 langkah tanpa disusuli serangan balas.
i. Tidak melawan balik walaupun diserang berkali-kali.
j. Menggigit, mencekik, meludah atau menghantukkan kepala terhadap lawan.
k. Menggunakan perkataan lucah atau menghina terhadap lawan.
l. Menjatuhkan atau mencederakan lawan walaupun sudah diarahkan berhenti oleh pengadil.
m. Menyerang kawasan groin (petinju yang diserang di bahagian groin dengan pengetahuan pengadil layak mendapat rehat selama 5 minit sebelum meneruskan pertandingan; petinju yang berpura-pura sakit diberi amaran dan diminta meneruskan pertandingan).
n. Perlakuan agresif petinju atau pembantunya terhadap pengadil.
o. Sengaja menanggalkan pelindung gigi (amatur sahaja).


51. Knock-Out (K.O.) diberikan apabila peninju ditumbuk rebah dan tidak mampu bangun selepas kiraan 10.

52. Technical Knock-Out (T.K.O.) diberikan apabila petinju cedera teruk atau tidak berdaya untuk melawan; pengadil terpaksa memberhentikan perlawanan sebelum kiraan 10 kerana petinju tidak mampu berlawan; petinju tidak mampu bertarung selepas masa rehat; doktor mencadangkan kepada pengadil supaya memberhentikan perlawanan kerana kecederaan petinju; petinju rebah sebanyak tiga kali dalam pusingan yang sama dan tidak mampu meneruskan perlawanan.

53. Winning Due diberikan apabila lawan tidak hadir ke gelanggang selepas tiga kali dipanggil atau petinju melanggar peraturan gelanggang.

54. Seri diberikan apabila petinju mendapat mata yang sama atau apabila kedua-dua petinju rebah pada masa yang sama dan tidak mampu bangun.

54. Tiada keputusan perlawanan sekiranya kedua-dua petinju berpakat atau tidak bertarung dengan bersungguh-sungguh.

55. Referee Stop the Contest (RSC) diberikan apabila petinju tidak mencapai kelas berat badan yang ditetapkan; petinju tidak mampu meneruskan perlawanan kerana kecederaan; petinju rebah sebanyak tiga kali dalam satu pusingan; petinju tidak mampu menyerang balas.

56. Menang kerana menarik diri diberikan apabila lawan menarik diri kerana cedera atau sebab-sebab yang lain.

57. Menang tanpa bertanding diberikan apabila lawan tidak muncul selepas tiga kali dipanggil.

58. Dalam pertarungan profesional, keputusan akhir perlawanan ditentukan oleh markah majoriti pengadil dan bukannya mencampurkan keseluruhan markah.

59.Sekiranya dua daripada tiga juri memberi kemenangan kepada petinju dari sudut biru, maka petinju tersebut memenangi perlawanan itu. Jika dua daripada tiga pengadil memberi mata seri, keputusan seri akan diberikan kepada kedua-dua petinju.


60. Pemberian mata antara kategori profesional dan amatur adalah sama. Bagaimanapun, dalam pertandingan peringkat antarabangsa, panel juri akan memberi kad pungutan mata kepada pegawai yang lebih berkuasa untuk menentukan keputusan rasmi berdasarkan kad tersebut.

Tiada ulasan: