10 April 2011

Perempuan dilarang

Umum mengetahui bahawa orang perempuan tidak dibenarkan memasuki Stadium Lumpini dan Rajadamnern di Thailand. Di Malaysia, peraturan sebegitu tidak dilaksanakan. Oleh sebab itulah kita dapat lihat golongan ini sentiasa memenuhi dewan atau stadium setiap kali perlawanan diadakan. Namun, masih terdapat lagi kepercayaan sesetengah kelab yang melarang perempuan daripada menyentuh gelanggang atau mengiringi petinju naik ke gelanggang. Dakwa mereka, perempuan mendatangkan nasib buruk kepada petinju mereka.


Kejadian yang berlaku pada awal tahun 70-an mengejutkan sukan Muay Thai di Thailand apabila seorang pengacara TV terkenal memanjat gelanggang di Stadium Lumpini. Sejak hari itu, perempuan tidak lagi dibenarkan memasuki stadium Muay Thai di negara yang kuat dengan amalan Buddha itu. Thailand merupakan negara di Asia Tenggara yang paling ramai penganut Buddha.


Bikkhu (sami) dipanggil untuk merahmati gelanggang dan mongkon yang dipakai petinju. Khabar angin mengatakan bahawa kejadian pengacara tv memanjat gelanggang itu menyebabkan semangat yang menjaga gelanggang menjadi marah. Sama ada satu kebetulan atau tidak, separuh daripada petinju pada malam itu cedera teruk semasa bertarung.


Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa stadium melarang perempuan daripada terlibat atau menonton perlawanan Muay Thai. Larangan itu bagaimana pun tidak lama. Sebuah stadium telah dibina khas untuk perempuan, iaitu Rangsit.


Presiden Muay Thai Institute, Amnuay turut mengubahsuai tingkat bawah stadium menjadi gim bagi petinju perempuan. Bagaimana pun, stadium ini dikuasai oleh petinju dari negara Barat yang datang ke Thailand. Ada juga stadium yang mengundang petinju perempuan (nak muay ying) bertarung bagi menghiburkan penonton sebelum sesuatu kejohanan berakhir.


Masih banyak lagi kem atau gim di Thailand yang melarang perempuan daripada turut sama berlatih. Malah bagi perlawanan kecil-kecilan yang dianjurkan oleh kelab, penonton perempuan diasingkan daripada penonton lelaki dan tempat duduk yang jauh dari gelanggang. Ketika melakukan Wai Kru, petinju perempuan akan memakai prajed dan mongkon, perbuatan yang ditentang keras oleh petinju lelaki kerana menganggap benda itu terlalu suci untuk disentuh.


Berbeza dengan perlawanan petinju lelaki, petinju perempuan hanya berlawan selama dua minit dengan dua minit rehat. Perlawanan petinju perempuan juga kurang mendapat sambutan jika dibandingkan dengan petinju lelaki yang sentiasa dipenuhi penonton. Kebanyakan nak muay ying terdiri daripada remaja perempuan dari golongan miskin. Mereka akan bersara menjelang umur 20-an untuk berkahwin dan melupakan terus sukan ini.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cikgu kenapa petinju lelaki suka melipat seluarnya semasa fight? sekadar nak tau...tkasih

boksingkelate berkata...

sebab senang nak angkat kaki masa menyepak. ada juga yang buat sebab stail. stail macam-macam,kadang-kadang sentuh hidung dengan glove, macam bruce lee selalu buat. bila dah lama jadi tabiat.