Buakaw Por Pramuk atau nama sebenarnya Sombat Banchamek dilahirkan pada 8 Mei 1982 di Buriram, sebuah daerah miskin di tenggara Thailand. Mula menyertai sukan Muay Thai pada umur 8 tahun, Buakaw atau bermaksud Teratai Putih mula menyertai kem Por Pramuk ketika umurnya 15 tahun. Ketika bersama kem ini, Buakaw mula mengumpul beberapa bengkung kejuaraan. Kejuaraan antarabangsa pertama yang dimenanginya ialah Kejohanan Marathon Muay Thai Toyota pada 2002 apabila menewaskan petinju handalan Jepun, Kobayashi di Stadium Lumpini.Media mula menggelarnya Pembunuh Bersiri dari Lumpini apabila dia mula menyertai kejohanan kickboxing paling berprestij, K-1 di Jepun. Dalam perlawanan akhir K-1 2004, Buakaw menewaskan bintang Jepun, Masato. Pada 2005, Buakaw gagal mempertahankan kejuaraan itu selepas tewas dengan keputusan kontroversi di tangan kickboxer Belanda, Andy Souwer. Pada final K-1 2006, Buakaw membalas kekalahannya dulu dengan menjatuhkan Souwer pada pusingan kedua dan menjadi petinju pertama merangkul dua kemenangan K-1.
Pada semi final K-1 2007, Buakaw sekali lagi menjadi mangsa keputusan berat sebelah juri apabila tewas kepada petinju tuan rumah, Masato. Pada 2008, Buakaw menerima kekalahan KO pertamanya apabila tewas kepada jaguh K-1 terbaru dari Jepun, Yoshihiro Sato pada pusingan terakhir. Pada bulan Oktober nanti, Buakaw akan bertemu Andy Souwer sekali lagi di semi final K-1 2009 untuk merampas kembali takhta juara K-1.
Seperti kebanyakan petinju Thai yang lain, Buakaw berlatih dengan kuat. Di Por Pramuk, kedamaian dan keindahan kem di tepi Sungai Bangpakong memberi suatu inspirasi kepada Buakaw untuk meraih lebih banyak kemenangan. Buakaw berlatih 8 jam sehari selama 6 hari seminggu. Dengan rekod perlawanan lebih daripada 200 kali dengan 190 kemenangan, Buakaw sememangnya juara Muay Thai yang paling terkenal di Thailand selain Yodsaenklai.
K-1 ialah sukan tempur yang menggabungkan permainan seni Muay Thai, Karate, Taekwondo, Savate, Sanda, dan Kickboxing untuk mendapat gelaran petinju terbaik (no.1) di dunia.

Peminat filem Muay Thai mungkin tidak pernah mendengar nama Parinya Kiatsuba, tetapi bila disebut Beautiful Boxer, ramai yang mengiyakannya. Model, pelakon, dan pengacara TV yang dahulunya dikenali sebagai Nong Toom ini ialah petinju transeksual paling terkenal di Thailand.
Pada 1999, Parinya mengumumkan persaraannya daripada arena Muay Thai untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya barunya sebagai model dan pelakon. Filem mengenai kisah hidupnya, Beautiful Boxer yang dilakonkan oleh petinju Thailand, Asanee Suwan mendapat kutipan box office di seluruh dunia. National Geographic juga pernah menyiarkan dokumentari mengenainya bertajuk Hidden Genders (2003). Pada penghujung 2008, Parinya membuka kem Muay Thai di Hua Hin, Thailand.
Kerusi cornerman yang pernah digunakan Gene Tunney
Di sini cikgu ada dua buah buku untuk diperkenalkan kepada peminat tomoi. Buku pertama ialah novel Gelanggang karya Prasert Eh Chai terbitan DBP. Buku ini hanya untuk peminat tomoi yang memang kaki novel. Anda akan dapat menyelami kisah suka-duka peninju dan cara hidup masyarakat kampung di selatan Siam. Buku kedua ialah Teknik Muay Thai. Terdapat 100 teknik dipaparkan dalam buku ini dengan penerangan ringkas dalam bahasa Thai.

