23 Februari 2013

Persatuan Muay Thai Selangor



Muay Thai ialah sukan tempur yang berasal daripada Thailand. Seni ini berkembang sebagai sukan tempur di seluruh dunia kerana keunikannya tersendiri. Oleh sebab banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan dan antarabangsa, Muay Thai kini menjadi pilihan kepada golongan belia di Malaysia tanpa mengira kaum dan jantina untuk menjadikannya sebagai aktiviti masa lapang selain mempelajari ilmu pertahaan diri.

Generasi muda kini terutamanya remaja digalakkan mempelajari Muay Thai sebagai satu asas persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap diri mereka. Muay Thai perlu dipelajari terutama bagi golongan wanita yang sering menjadi mangsa manusia yang tidak berhati perut. Dengan mempelajari Muay Thai, ia mampu meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental di samping meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi cemas kerana mereka yang dilengkapi seni pertahanan diri mampu berfikir dengan tenang dan menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana.

Persatuan Muay Thai Selangor didaftarkan pada tahun 2011 di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Persatuan ini ialah gabungan kelab tempatan seperti Kelab Muay Thai Naga Api, Kelab Muay Thai Kingkarasu, Kelab Muay Thai Naga Hitam, Kelab Muay Thai Furious Styles, Kelab Muay Thai Sitkrumat dan lain-lain. Ahli persatuan ini mencecah sehingga 500 orang sejak penubuhannya 2 tahun lalu.

Persatuan Muay Thai Selangor adalah antara persatuan seni pertahanan diri yang aktif menganjurkan aktiviti. Antaranya ialah bengkel Muay Thai di seluruh negara, demonstrasi Muay Thai di institusi pengajian tinggi dan kompleks membeli belah, program bersama anak-anak yatim selain siri kejohanan Selangor Charity Challenge yang sudah memasuk edisi ke-7.

Tujuan Persatuan Muay Thai Selangor ditubuhkan adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan generasi muda seterusnya meningkatkan perpaduan antara kaum yang pelbagai ke arah menjayakan Gagasan 1Malaysia. Tidak seperti sesetengah seni pertahanan diri lain yang hanya tertumpu kepada sesuatu kaum, Muay Thai diterima sebagai sukan untuk semua. Kelab-kelab Muay Thai yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Selangor disertai oleh pelbagai kaum.

Dengan menyertai mana-mana kelab di bawah Persatuan Muay Thai Selangor, pelatih bukan sahaja belajar  ilmu pertahanan diri, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan, moraliti dan juga nilai-nilai murni juga ada diterapkan oleh jurulatih yang mengajar agar peserta bukan sahaja mahir dalam seni Muay Thai, bahkan mereka juga tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan memanfaatkan apa yang mereka pelajari semaksimum mungkin.

Tiada ulasan: