24 Februari 2013

Hebahan kepada ahli VIP


1. Semua ahli VIP (personal class dan VIP walk in class) dikira sebagai ahli tetap Sitkrumat Klang dan boleh berlatih secara percuma di Taman Rakyat Klang bersama-sama ahli yang lain.

2. Ini bermakna ahli VIP tidak perlu mendaftar lagi (RM50) bagi mengikuti kelas biasa setiap petang Sabtu dan Ahad.

3. Untuk peminat-peminat Muay Thai yang ingin mempelajari Muay Thai tetapi tiada masa pada hujung minggu, anda boleh menelefon Cikgu Raja Ahmad untuk kelas VIP sama ada di rumah, gim atau tempay yang sesuai dengan anda dengan bayaran RM100 satu sesi (2 jam).

4. Bagi kelas VIP walk in di Taman Rakyat pada hari Sabtu dan Ahad pula, bayaran RM50 dikenakan bagi setiap sesi.

5. Sila berhubung dengan Cikgu Raja untuk maklumat lanjut 0199241656.

23 Februari 2013

Persatuan Muay Thai Selangor



Muay Thai ialah sukan tempur yang berasal daripada Thailand. Seni ini berkembang sebagai sukan tempur di seluruh dunia kerana keunikannya tersendiri. Oleh sebab banyak kejohanan dianjurkan di peringkat tempatan dan antarabangsa, Muay Thai kini menjadi pilihan kepada golongan belia di Malaysia tanpa mengira kaum dan jantina untuk menjadikannya sebagai aktiviti masa lapang selain mempelajari ilmu pertahaan diri.

Generasi muda kini terutamanya remaja digalakkan mempelajari Muay Thai sebagai satu asas persediaan menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini terhadap diri mereka. Muay Thai perlu dipelajari terutama bagi golongan wanita yang sering menjadi mangsa manusia yang tidak berhati perut. Dengan mempelajari Muay Thai, ia mampu meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental di samping meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan situasi cemas kerana mereka yang dilengkapi seni pertahanan diri mampu berfikir dengan tenang dan menghadapi situasi tersebut dengan bijaksana.

Persatuan Muay Thai Selangor didaftarkan pada tahun 2011 di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Persatuan ini ialah gabungan kelab tempatan seperti Kelab Muay Thai Naga Api, Kelab Muay Thai Kingkarasu, Kelab Muay Thai Naga Hitam, Kelab Muay Thai Furious Styles, Kelab Muay Thai Sitkrumat dan lain-lain. Ahli persatuan ini mencecah sehingga 500 orang sejak penubuhannya 2 tahun lalu.

Persatuan Muay Thai Selangor adalah antara persatuan seni pertahanan diri yang aktif menganjurkan aktiviti. Antaranya ialah bengkel Muay Thai di seluruh negara, demonstrasi Muay Thai di institusi pengajian tinggi dan kompleks membeli belah, program bersama anak-anak yatim selain siri kejohanan Selangor Charity Challenge yang sudah memasuk edisi ke-7.

Tujuan Persatuan Muay Thai Selangor ditubuhkan adalah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan generasi muda seterusnya meningkatkan perpaduan antara kaum yang pelbagai ke arah menjayakan Gagasan 1Malaysia. Tidak seperti sesetengah seni pertahanan diri lain yang hanya tertumpu kepada sesuatu kaum, Muay Thai diterima sebagai sukan untuk semua. Kelab-kelab Muay Thai yang bernaung di bawah Persatuan Muay Thai Selangor disertai oleh pelbagai kaum.

Dengan menyertai mana-mana kelab di bawah Persatuan Muay Thai Selangor, pelatih bukan sahaja belajar  ilmu pertahanan diri, tetapi elemen seperti tatasusila, adab sopan, moraliti dan juga nilai-nilai murni juga ada diterapkan oleh jurulatih yang mengajar agar peserta bukan sahaja mahir dalam seni Muay Thai, bahkan mereka juga tahu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan memanfaatkan apa yang mereka pelajari semaksimum mungkin.

18 Februari 2013

Rahsia Muay Thai



Rahsia kekuatan Muay Thai bukan terletak pada kekuatan tendangan atau teknik siku atau hentakan lutut. Rahsia utama Muay Thai sebenarnya sudah ada dalam hati orang-orang Thai sejak mereka dilahirkan, iaitu kekuatan mental.

Orang Siam pada asalnya merupakan bangsa yang taat pada negara, agama dan raja. Oleh itu, orang Siam sudah mempunyai jiwa sanggup mati demi negara sejak berabad-abad lagi, jauh lebih awal daripada kewujudan semangat Bushido atau kamikaze Jepun. Orang Thai sudah lama mengenali semangat begini dan diperturunkan dari generasi ke generasi.

Dalam falsafah seni beladiri orang Asia, orang yang paling kuat ialah orang yang dapat menewaskan 3 musuh dalam diri, iaitu:

1) Takut
2) Was-was
3) Keliru

Tambahan lagi dengan atlet Muay Thai zaman dahulu yang bertanding untuk kehidupan dan bukan untuk kesukanan terdedah kepada kesakitan dan hukuman sehingga mental menjadi kental. Sebab itu, walaupun ditendang berkali-kali, ahli Muay Thai zaman dahulu dapat menahan kesakitan dengan tenang.

Seni beladiri bangsa lain yang menendang dengan lebih kuat belum tentu dapat menerima kekuatan tendangan mereka sendiri. Begitu juga dengan peninju Muay Thai, jika keadaan mental tidak stabil maka kekalahan ialah jawapannya.

Oleh sebab itulah Buakaw yang menjadi juara dunia K-1 2004 dengan mengalahkan Masato (Kickboxing) dikalahkan pula oleh Masato pada kejohanan K-1 tahun 2007. Kedua-duanya sama hebat, tetapi yang mempunyai kekuatan mental lebih berpeluang untuk menang.

15 Februari 2013

Perkara yang harus dielakkan selepas makan


1. Jangan makan buah selepas makan. Buah mengandungi asid yang boleh merosakkan usus yang menjadi lembut selepas kita makan. Buah seharusnya dimakan sebelum makan. Perut juga boleh menjadi kembung kerana buah mengandungi banyak air. 

2. Jangan minum teh selepas makan. Asid yang terkandung dalam teh boleh menyebabkan protein dalam makanan cepat mengeras dan menyebabkan makanan tersebut sukar dihadam. 

3. Jangan mandi selepas makan. Aliran darah pada tangan, kaki dan tubuh akan meningkat manakala jumlah darah pada bahagian perut akan menurun. Ini menyebabkan sistem pencernaan akan menjadi lemah.

4. Jangan banyak berjalan. Banyak berjalan boleh menyebabkan sistem penghadaman tidak dapat menyerap khasiat makanan yang telah dimakan. 

5. Jangan tidur selepas makan. Perut tidak dapat menghadam makanan ketika anda tidur. 

6. Jangan merokok selepas makan. Menghisap rokok boleh menyebabkan perut berasa tidak selesa kerana sistem penghadaman terganggu. 

7. Jangan bersenam selepas makan. Aktiviti fizikal secara drastik selepas makan akan menyebabkan usus tidak dapat memproses makanan. 

02 Februari 2013

Yuran latihan percuma



Ramai yang bertanya, bagaimanakah saya menguruskan Kem MR50 Sitkrumat walaupun tidak mengenakan yuran bulanan kepada pelatih? Sebenarnya, saya tidak memerlukan sebarang bayaran. Kem MR50 Sitkrumat terletak di Taman Rakyat, sebuah taman rekreasi di Taman Sri Andalas, Klang. Di sini tiada bayaran sewa tempat dikenakan.


Tidak seperti kelab Muay Thai lain yang terpaksa menanggung kos sewa gim dan gaji jurulatih, kami pula boleh berlatih secara percuma di atas padang getah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang. Kekurangan kelab kami ialah kami tidak boleh berlatih jika hari hujan kerana tempat kami tidak berbumbung.

Oleh sebab tidak perlu membayar sewa gim, maka tidak perlulah saya mengenakan yuran latihan setiap bulan. Saya masih mampu menampung kos minyak tomoi dan minuman isotonik percuma dengan yuran penyertaan sebanyak RM50 yang dikenakan kepada setiap pelatih baru.

Saya juga masih mampu menambah barang latihan seperti gloves dan pao seiring dengan pertambahan pelatih hasil keuntungan jualan barang-barang latihan Muay Thai melalui facebook (Sitkrumat Trading ialah pembekal barangan Muay Thai online terbesar di Malaysia).

Jadi, janganlah membandingkan kelab kami ini dengan gim lain yang mengenakan yuran sehingga RM200 sebulan kerana mereka terpaksa membayar pelbagai bil dan kos. Kami pula tidak perlu memikirkan soal itu kerana saya juga masih mampu menguruskan kelab dengan pendapatan bulanan saya.

Jom kita ke SMTCC-7


40 petinju daripada 25 buah kelab seluruh Malaysia akan mengambil bahagian dalam Selangor Charity Challenge 7 pada 17 Februari 2013. Sama-sama kita memeriahkan acara sehari ini.