30 September 2012

Kelab bawah pokok


Sebelum anda menelefon saya untuk mendaftar, anda perlu mengetahui bahawa Kelab MR50 Sitkrumat ialah kelab Muay Thai bawah pokok, tidak ada gim, tidak ada ring. Kelab ini cuma untuk mereka yang bersemangat tinggi yang datang semata-mata untuk belajar, bukan untuk berlagak hebat dan macho. Kami sudah biasa jatuh di atas padang getah berkeluasan 20 x 20 meter yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang.

Sebelum ini, ramai yang menelefon saya untuk datang belajar, tetapi apabila melihat tempat latihan yang terbuka seperti ini, mereka terus tidak jadi. Saya tidak menyalahkan mereka kerana kelab kami bukan untuk orang kaya. Kelab kami cuma untuk orang miskin yang tidak mampu membayar yuran latihan. 

Sepanjang mengajar di sini sejak 2008, sudah banyak gim Muay Thai yang dibuka sekitar Shah Alam ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Untuk mengelakkan daripada terus rugi, mereka menutup gim yang menyebabkan ramai murid tidak ada tempat latihan. MR50 Sitkrumat tidak pernah muflis kerana kami tidak perlu membayar sewa bangunan. 

Walaupun berlatih di taman rekreasi, kelab ini ialah kelab paling ramai melahirkan petinju amatur dan profesional sejak tahun 2008. Jika anda sanggup berpanas dan berhujan bersama-sama kami, bolehlah datang mendaftar. Penyertaan dibuka sepanjang tahun. Semua orang boleh belajar tidak kira umur, agama dan bangsa.

Yuran pendaftaran cuma RM50 seumur hidup menjadikan kami kelab Muay Thai paling murah yurannya di dunia. Dengan wang RM50, anda masih belum mampu membayar yuran pendaftaran di gim Muay Thai yang lain, apatah lagi dengan yuran bulanan yang paling murah RM100 sebulan, tetapi di sini, selagi anda hidup dan kami hidup, anda masih boleh berlatih dan berlatih sehingga letih.

Pastikan semasa hari mula-mula anda datang, bawa seluar pendek kerana kami tidak menyediakannya kecuali seluar Muay Thai yang boleh dibeli daripada Cikgu Raja. Yuran pendaftaran wajib dibayar pada hari pertama latihan, tidak ada kelas percubaan.

Datangmu tidak diundang, jika ragu-ragu sila pulang. 

Tiada ulasan: