26 September 2012

Dragon Boy tewas tipis


Perlawanan tumpuan dalam SMTCC-5 Ahad lalu pastinya antara Dragon Boy dengan Awie Tok Seh. Awie yang turun dengan rekod bersih tidak pernah tewas dalam 5 perlawanan sebelum ini hampir-hampir tumbang kerana tidak dapat menerima asakan Dragon Boy yang terkenal dengan jolokan Kereta Kebal T-95 kerana tidak pernah tumbang dalam 7 perlawanan sebelum ini. 

Regu ke-16 itu ditunda ke perlawanan terakhir apabila Awie yang juga jurulatih di Kelab CTR 313 diberi rehat apabila doktor yang bertugas tersilap menyembur ubat kebas selepas Awie mengadu kelangkangnya terkena sepakan Dragon Boy. Pada pusingan pertama, Awie sudah mendapat kelebihan apabila kelalaian Dragon Boy menyebabkan kepalanya luka akibat serangan siku. 

Dragon Boy cuba merapatkan jurang mata pada minit-minit akhir pusingan 5 selepas serangan lutut Awie beberapa kali tepat mengenai perutnya, tetapi akhirnya kemenangan berpihak kepada Awie yang datang diiringi legenda Muay Thai, Hussin Appolo dan juara Super 4 Muay Thai Challenger, Wan Lah. Walaupun tewas dengan kiraan mata, Dragon Boy diberi tepukan gemuruh oleh penonton kerana semangat luar biasanya.

Tiada ulasan: