24 Julai 2011

Sitkrumat tetap di Taman Rakyat

Sejak dulu lagi, Cikgu sering ditawarkan mengajar di tempat lain selain Kem Sitkrumat di Taman Rakyat Klang. Banyak sebab Cikgu menolak pelawaan itu. Salah satunya adalah kerana kesibukan sebagai guru sekolah. Ada juga pelatih yang menawarkan bangunan untuk membuat gim yang lengkap seperti gim Muay Thai yang ada di Kuala Lumpur. Walaupun sudah lama ingin memiliki gim sendiri yang selesa, Cikgu terpaksa melupakan hasrat itu buat seketika.


Ahli Sitkrumat kebanyakannya terdiri daripada pelajar di sekolah Cikgu sendiri. Mereka datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Ada yang tidak mampu membayar yuran sekolah. Jika Cikgu menyewa bangunan, secara automatik Cikgu akan mengenakan yuran. Untuk membayar sewa bangunan dan gaji jurulatih dari Thailand, paling kurang Cikgu akan mengenakan yuran RM90 sebulan (yuran standard gim di Lembah Kelang).


Jika yuran sekolah RM60 setahun pun mereka tidak mampu bayar, apatah lagi ingin membayar yuran latihan di gim sebanyak RM90 sebulan. Prospek di Klang memang menarik kerana walaupun kami berlatih di taman rekreasi, penyertaan kaum lain seperti Cina dan India sangat menggalakkan. Walaupun berlatih dalam panas terik dan kadang-kala hujan, tidak mematahkan semangat ahli Sitkrumat yang datang dari serata tempat. Ada yang tinggal di Kuala Lumpur, ada yang tinggal di Putrajaya, malah dari Melaka pun ada.


Sejak tiga tahun beroperasi, Kem Sitkrumat disertai oleh semua golongan. Dengan yuran RM50 yang dibayar sekali seumur hidup, semua orang boleh menyertainya. Kanak-kanak pula boleh membayar secara ansuran jika tidak mampu. Matlamat Sitkrumat ialah melahirkan 'manusia' bukannya juara.


Selagi Cikgu masih ada, Kem Sitkrumat tetap akan beroperasi seperti biasa, iaitu 2 kali seminggu (Sabtu dan Ahad). Kami sentiasa mengalu-alukan pelatih baru yang tidak mempunyai apa-apa asas seni beladiri, lebih berat badan, golongan veteran, kanak-kanak dan wanita.


Tidak perlu melihat dari jauh, datanglah dekat dan sapa kami. Setiap ahli sudah diajar untuk menghormati tetamu dan mengalu-alukan pelawat yang ingin datang melihat atau mencuba. Anda tidak perlu bimbang tercedera semasa latihan kerana kami sentiasa memastikan pelatih mematuhi peraturan yang ditetapkan semasa latihan pao atau sparring.

Tiada ulasan: