01 Mac 2010

Cerita 1001 malam

Pada majlis perlimau gelanggang tomoi Cikgu yang pertama (1999), Allahyarham Pak Mat Siku Kapak berkata, ayam siapa yang masuk ke dalam lubang di tepi gelanggang, orang itu layak buka gelanggang.

Ketika itu Cikgu baru berumur 16 tahun. Ayam kampung yang dibawa baru sahaja dibeli daripada kawan Cikgu dengan harga RM6.00. Ayam orang lain semua besar, tetapi ayam Cikgu ayam jantan muda, mungkin baru pandai berkokok. Selepas satu, satu ayam murid disembelih oleh Pak Mat di dalam gelanggang. Cikgu murid ke-11 (Siku Kapak 11), jadi giliran Cikgu agak lambat berbanding rakan yang lain.

Semua ayam yang disembelih sebelum ayam Cikgu masuk ke dalam lubang yang digali di tepi gelanggang. Lubang (seakan-akan longkang) itu mengelilingi gelanggang yang luasnya lebih kurang 35 meter persegi.

Gelanggang Sitkrumat terletak di tepi sungai (Sungai Gali), sama seperti Kem Por Pramuk di Thailand. Selepas latihan kami akan mandi dan pelasak di dalam air sehingga pukul 8 malam.

Cikgu sudah mengagak, ayam Cikgu tidak akan masuk ke dalam lubang kerana ayam itu ayam muda. Paling kurang pun mesti ayam itu berkeliaran sejam sebelum betul-betul mati selepas disembelih. Tekaan Cikgu tepat sekali. Ayam itu meronta-ronta dan berlari keluar dari gelanggang sebelum terjun ke dalam sungai. Cikgu terpaksa mengejar untuk mengambilnya semula untuk dicuci oleh tukang masak yang sedang menunggu.

Lima bulan selepas itu, Cikgu membuka gelanggang di halaman rumah Cikgu selepas mendapat permit polis dan tajaan kelengkapan daripada wakil rakyat Pas yang bermurah hati. Seorang murid yang sebelum ini diramalkan tidak layak membuka gelanggang akhirnya menjadi gurulatih kepada 15 orang remaja di kampungnya. Sehingga sekarang, belum ada pun antara 14 orang rakan seperguruan Cikgu yang membuka gelanggang.

Kini, hanya Cikgu yang meneruskan legasi Allahyarham Pak Mat Siku Kapak untuk melihat gaya tomoi Selatan Thai menjadi aktiviti riadah dan seni mempertahankan diri untuk semua.

2 ulasan:

Mr Priceless berkata...

Blog yg bagus.. Tahniah

boksingkelate berkata...

terima kasih atas sokongan. teruskan membaca