28 Mac 2010

Warna-warni Z-1

Siri Kejohanan Tomoi Dunia Z-1 yang melabuhkan tirainya semalam menampilkan aksi terhebat dalam kalendar Muay Thai di Malaysia pada tahun ini. Pertandingan yang beberapa kali tertunda kerana masalah tempat dan penajaan ini membuatkan warga kota yang masih baru dengan sukan Muay Thai terlekat di tempat duduk sejak perlawanan pertama lagi. Perlawanan pertama menampilkan regu tempatan antara Fauzan Zabidi menentang Abuza Malaysian Tigers. Abuza yang memiliki jangkauan lebih panjang nyata bukan tandingan Fauzan apabila menang KO pada pusingan ketiga.

Perlawanan kedua menemukan petinju ranking pertama Malaysia kelas super-feather weight, Eddi Selindang Kuning dengan selebriti Contender Asia, Zidov Akuma. Eddi masih tetap dengan serangan trademarknya, iaitu tendang lurus (teep). Beberapa kali Zidov berundur ke belakang kerana serangan teep. Mungkin kerana sudah bosan dengan corak bertahan Zidov yang lebih berhati-hati, Eddi melompat lalu menjunamkan sikunya tepat ke pelipis Zidov. Doktor terpaksa menghentikan perlawanan kerana luka Zidov terlalu besar untuk ditutup dengan vaselin.

Perlawanan merebut tali pinggang Z-1 kategori 63kg pada mulanya membosankan kerana kedua-dua lawan nampak berhati-hati menyerang. Leo Monteiro yang tampil dengan lagu balada Brazil, seperti petinju farang lain lebih banyak menggunakan penumbuk untuk menghukum kealpaan Abbas Ahmadi.

Kedua-dua petinju memaksa juri memberi keputusan selepas tamat pusingan kelima. Sebelum pengadil mengumumkan kemenangan, Abbas sempat melakukan tekan tubi sebanyak 10 kali. Leo membalasnya dengan melakukan tekan tubi menggunakan sebelah tangan untuk menunjukkan kepada Abbas dan penonton bahawa dia masih okey.

Perlawanan yang paling ditunggu peminat semestinya perebutan tali pinggang kategori 67kg antara Wuttichai dengan Wes Jaya. Wuttichai yang datang bersama juara Thailand, Sakeddao nampak yakin semasa berjalan masuk ke gelanggang. Pada pusingan pertama, Wes cedera kerana serangan siku tepat di kening kiri. Doktor yang bertugas membenarkan Wes meneruskan perlawanan. Wuttichai yang mengesan kelemahan itu terus mengasak dengan tumbukan ke kening Wes.

Pada pusingan ketiga, Wes berjaya menyiku ke muka Wuttichai tetapi sekadar menyebabkan hidung Wuttichai berdarah. Pada pusingan keempat, kedua-duanya menampilkan aksi terbaik kerana masing-masing menyerang dengan kombinasi sepakan ke rusuk dan tumbukan ke muka. Pujian seharusnya diberikan kepada Wes Jaya kerana mampu bertahan sehingga pusingan terakhir walaupun cedera pada pusingan pertama lagi. Wuttichai terlalu hebat untuk ditewaskan oleh wakil Malaysia dari Kelab Boxxwarriors ini.

Bersama isteri tersayang yang pertama kali datang melihat perlawanan.

Bersama Leo selepas dipakaikan bengkung kejuaraan.

Bersama nak muay no.1 Stadium Lumpini, Sakeddao Petpayathai.

Peminat Muay Thai no.1 Malaysia, Y.A.M. Ku Ess ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Kesakitan hanya sementara, kemegahan kekal selama-lamanya.

Tiada ulasan: