21 Disember 2009

Jurnal Saenchai

Isaan, sebuah kawasan di Timur Laut Thailand yang jarang dilawati pelancong kerana keadaan ekonomi dan sosial yang daif. Bagaimanapun, dalam dunia Muay Thai, Isaan ialah lubuk bagi mencari jagoan. Yodsanklai, Malaipet, Anuwat (sekadar menyebut beberapa nama) ialah jaguh Muay Thai kelahiran bahagian paling miskin dalam negara Thai ini.

Melihat sendiri kehidupan petinju di Isaan menyedarkan kita bahawa kecekalan hati manusia mampu mengatasi apa jua halangan. Dengan keadaan kem yang serba daif, kita tertanya-tanya bagaimana mereka mampu mengecapi kejayaan luar biasa di Lumpini. Kebanyakan pelatihnya terdiri daripada kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa sejak kecil lagi bagi membela nasib keluarga yang majoritinya bekerja sebagai petani. Seorang petinju yang berlatih di Chiwat Gym, Tong Chai dihantar oleh ibunya, seorang ibu tunggal ketika dia berusia 10 tahun. Walaupun baru berusia 13 tahun, kanak-kanak ini sudah menyertai 150 perlawanan dengan 120 kemenangan.

Menurut pemilik gim, J. Chiwat, beliau menguruskan gim ini menggunakan duit hadiah perlawanan. 50 peratus akan diberikan kepada petinju manakala 50 peratus lagi disimpan untuk kegunaan gim. Kebanyakan gim di Thailand hanya memberikan 30 peratus hadiah kemenangan kepada petinju dan jumlah 50 peratus itu sudah dikira terlalu banyak.

Persekitaran gim di sini tidak seperti yang biasa kita lihat di Bangkok atau selatan Thai. Petinju di sini berkongsi sebuah bilik untuk lima orang. Hanya ada sebuah bilik air bagi menampung 30 pelatih. Bagaimanapun bilik air ini dilengkapi dengan kolah yang besar untuk memudahkan semua petinju mandi pada satu-satu masa.

Dikejutkan seawal 5 pagi untuk jogging pada mulanya mengganggu rutin tidur kita yang biasa bangun pukul 7 pagi. Selepas membasuh muka, semua pelatih bersiap dengan track suit yang kelihatan agak lusuh. Selepas jogging, latihan dimulakan dengan skipping atau menghenjut di atas tayar. Kemudian latihan disusuli dengan shadow boxing di hadapan cermin yang besar. Selepas itu barulah pelatih mula menumbuk dan menendang punching bag selama lima minit sebanyak lima pusingan. Kru akan menjerit sekiranya pelatih menumbuk perlahan atau berhenti kerana penat.

Setiap pelatih akan dipanggil bagi latihan pao bersama kru. Latihan pao boleh membuatkan pelatih kehausan walaupun baru berlatih selama 10 minit. Selepas itu, semua pelatih diminta sparring bersama rakan sepelatih atau kru yang diadakan di atas gelanggang selama 5 minit sebanyak 5 pusingan. Latihan terakhir ialah plam (clinching) bersama rakan sepelatih. Bagi menyejukkkan tubuh, ada petinju yang mengangkat berat, dan mengetuk pao ke perut.

Pada pukul 9 pagi, barulah pelatih dapat bersarapan bersama-sama. Selepas bersarapan, pelatih dibenarkan berehat. Ada yang tidur dan ada yang bersiar-siar. Pada sebelah petang, latihan disambung semula. Berlari dengan hanya berseluar tomoi tidak berbaju melewati kedai dan taman perumahan membuatkan kita malu apabila diperhatikan.

Jika anda ingin mencari kelainan belajar Muay Thai, berkunjunglah ke gim yang tidak diuruskan oleh orang Barat. Walaupun tidak mempunyai kemudahan yang sempurna, gim yang diuruskan oleh bekas nak muay Thai ini mengajar anda menghayati semangat sejati nak muay, sama seperti samurai yang mengamalkan bushido. Pengalaman di Isaan lebih berharga daripada belajar di gim yang dicadangkan oleh syarikat pelancongan seperti Kaewsamrit, Fairtex, True Bee dan WMC – Saenchai Somphon, Narathiwat.

Saenchai Somphon, bekas pelatih Chiwat Gym ialah kenalan Cikgu yang pernah melancong ke Isaan pada tahun 2008.

1 ulasan:

Faris berkata...

salam cikgu.saya nak tanya apa signifikannya semua nak muay kena berlari hanya berseluar tomoi tanpa baju? adakah ia dapat menaikkan semangat atau sebab lain?