01 Disember 2009

Anda bertanya, Cikgu menjawab

SAYA SUDAH BELAJAR SENI BELADIRI LAIN, PERLUKAH SAYA BELAJAR MUAY THAI LAGI?
Setiap ilmu mempertahankan diri amat bagus untuk perkembangan mental dan fizikal. Sama ada anda sudah belajar atau belum, itu tidak penting. Bagaimanapun, sebelum belajar Muay Thai, anda perlu mengosongkan diri anda supaya ilmu baru yang akan diterima itu berguna.

Objektif anda untuk belajar juga perlulah jelas. Jika anda mahu tahu asas, belajarlah selama 3 hingga 6 bulan. Jika anda mahu bertanding sekurang-kurangnya kelas amatur, dedikasikan diri anda selama paling kurang setahun. Jika anda mahu menjadi jurulatih, anda perlu belajar tidak kurang daripada tiga tahun.

ANAK SAYA MINAT DENGAN MUAY THAI TETAPI SAYA RAGU-RAGU SAMA ADA SUKAN INI SELAMAT ATAU TIDAK SEBAB SAYA DENGAR MUAY THAI SANGAT GANAS.

Muay Thai ialah sukan untuk semua terutamanya kanak-kanak. Muay Thai bukanlah seganas yang disangkakan oleh orang ramai. Sukan ini telah membantu ramai gadis mendapat bentuk tubuh idaman, remaja yang ingin membina jati diri, kanak-kanak nakal belajar erti disiplin dan individu yang mengalami obesiti menurunkan berat badan. Kesimpulannya, sukan ini telah diamalkan oleh semua peringkat.

Di Thailand, kanak-kanak mula belajar Muay Thai sejak usia mereka kecil, iaitu antara 8 atau 10 tahun. Sukan ini telah menjadi salah satu kebudayaan yang diamalkan oleh setiap keluarga seperti sukan hoki di Kanada dan bola sepak di Brazil. Kadangkala, sebelum menyertai mana-mana kem, kanak-kanak ini sudah tahu beberapa gerakan dalam Muay Thai dan sudah mempunyai idola mereka dalam sukan ini.

Mungkin yang beranggapan sukan ini ganas kerana dalam perlawanan petinju mengalami kecederaan. Hanya yang sudah bersedia ke arah itu yang layak bertanding. Semasa latihan, kanak-kanak dibimbing dengan kaedah pengajaran paling selamat. Jika dibandingkan dengan sukan hoki atau bola sepak, Muay Thai lebih selamat. Kita tidak akan melihat kanak-kanak cedera akibat hayunan batang hoki ke muka, atau terjahan kuat ke kaki.

Muay Thai mengajar kanak-kanak menghormati kawan dan orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka turut mengetahui kekuatan dan kelemahan diri. Ini dapat mengelakkan mereka daripada berlagak hebat dan bersifat pembuli.

ADAKAH MUAY THAI MEMPUNYAI TALI PINGGANG?

Ya, tetapi hanya sang juara yang layak memakainya. Tidak seperti ilmu mempertahankan diri lain yang membezakan kemahiran pengamalnya dengan warna tali pinggang, kemahiran pengamal Muay Thai hanya dikenal pasti oleh jurulatih dan juga apabila pengamal itu layak dibawa masuk ke gelanggang. Tali pinggang kejuaraan dari Stadium Lumpini ialah idaman setiap petinju Muay Thai dan hanya yang benar-benar hebat dapat memakainya, Prestijnya lebih tinggi daripada tali pinggang kejuaraan Muay Thai lain seperti The Contender Asia, K-1, M-1, S-1 dan Z-1 walaupun hadiah yang ditawarkan tidak selumayan mana.

ADAKAH MUAY THAI SAMA DENGAN KICKBOXING ATAU THAI BOX?

Tidak. Kickboxing diasaskan pada dekad 60-an oleh pengamal Karate. Kini terdapat dua jenis Kickboxing, iaitu gaya Jepun dan gaya Amerika. Gaya Jepun membenarkan sepakan rendah manakala gaya Amerika cuma membenarkan sepakan ke atas kawasan pinggang. Sukan Kickboxing juga tidak membenarkan pengamalnya menggunakan siku. Thai Box pula ialah satu bentuk program kecergasan yang dicipta dengan menggabungkan asas pergerakan Muay Thai dengan muzik rancak. Jurulatih Muay Thai melihat Kickboxing dan Thai Box sebagai salah satu dari bermacam-macam jenis senaman yang ada dan bukannya bertujuan untuk melahirkan petarung.

SAYA MAHU BELAJAR MUAY THAI TETAPI SAYA TIDAK MAHU BERLAWAN DI ATAS GELANGGANG. ADAKAH KEM YANG MAHU MENERIMA SAYA?

Semestinya ada. Kebanyakan gim di Thailand lebih fokus kepada program melahirkan petinju tetapi masih banyak kem yang turut mengajar sukan ini sebagai ilmu mempertahankan diri atau sukan kecergasan. Malah kebanyakan gim di Malaysia contohnya Boxx Warriors Ampang turut melatih orang yang berminat untuk bertanding atau berlatih untuk kecergasan. Sebelum mendaftarkan diri, anda perlu bertanya kepada pihak gim atau kem sama ada mereka melatih hanya petinju atau turut melatih orang yang ingin cuma belajar.

SAYA MINAT MUAY THAI TETAPI TIDAK TAHU CARA UNTUK MEMULAKANNYA.

Kebanyakan orang yang sudah melihat pertarungan Muay Thai akan tertarik untuk belajar seni ini. Apa yang perlu dilakukan ialah kenal pasti di manakah gim atau kem yang terdekat dengan tempat tinggal anda. Selepas itu, lawatilah gim, lihat suasana kelas. Jika sesuai, daftar segera. Paling kurang, anda perlu belajar selama tiga bulan. Kebanyakan gim membuat tawaran kelas percubaan percuma selama satu hari. Satu kali kelas tidak dapat memberi pengalaman sebenar dan membantu anda membuat keputusan. Ada kelas yang susah untuk diikuti, ada kelas yang senang. Jika anda tidak boleh mahir dalam masa tiga bulan, inikan pula belajar dalam satu hari.
APA YANG PERLU SAYA BELI SEBELUM MENYERTAI KELAS?
Semua kelengkapan latihan disediakan oleh gim. Apa yang perlu anda ada sebelum menyertai kelas ialah sepasang glove sparring bersaiz 12/14 dan sehelai seluar Muay Thai. Jika anda seorang yang cerewet soal kebersihan, anda tentu tidak mahu berkongsi glove dengan orang lain bukan? Barangan ini biasanya dijual di gim tempat anda ingin belajar.

ADAKAH SAYA PERLU MEMPUNYAI TUBUH BADAN YANG IDEAL SEBELUM BELAJAR MUAY THAI?

Jika ada, itu lebih baik tetapi jika anda seorang yang berlebihan berat badan, itu tidak menjadi masalah. Muay Thai akan menjadikan tubuh anda ideal sekiranya anda tetap datang latihan sekurang-kurangya 2 kali seminggu. Sama seperti sukan lain, anda perlu memanaskan badan seperti senaman regangan, melompat tali dan jogging. Jurulatih tidak akan memaksa sekiranya anda tidak mampu meneruskan latihan kerana kehabisan tenaga atau stamina.

Latihan Muay Thai dibahagikan kepada tiga jenis, persediaan untuk pertandingan, latihan untuk kecergasan, dan seni mempertahankan diri. Setiap latihan ini mempunyai kaedah berlainan dan tempoh masa latihan yang berbeza. Jurulatih akan mengajar berdasarkan jenis latihan yang anda pilih mengikut silibus yang ditetapkan oleh pihak kem atau gim.

SAYA DENGAR PETINJU THAI MENGERASKAN TULANG KERING DENGAN BOTOL DAN BATANG KAYU? ADAKAH KENYATAAN INI BENAR?

Kebanyakan petinju Thai mula belajar sejak usia mereka masih kecil. Ketika itu mereka sudah mula menendang punching bag dan pao yang keras. Setiap pagi dan petang mereka akan berlari berbatu-batu menjadikan kaki dan jantung mereka kuat. Latihan duduk bangun sambil dihentak pao ke perut menjadikan abdomen mereka tahan sakit.
Apabila mereka meningkat ke usia remaja, rekod perlawanan sudah mencecah lebih 50 kali, tetapi tiada seorang pun daripada mereka ini mengetuk tulang kering mereka dengan batang kayu. Tubuh dan minda mereka sudah menjadi kuat kerana lathan berterusan. Mereka tahu bila perlu sepak, bila perlu mengelak, pemasaan (timing) dan cara mengawal keseimbangan badan. Mereka juga seperti manusia biasa, berasa sakit tetapi kesakitan itu dipendam sejak sekian lama menjadikan mereka sudah kalis.

SAYA DENGAR PETINJU THAI BERLATIH SANGAT KUAT. MAMPUKAH SAYA MELAKUKANNYA?

Betul, petinju Thai berlatih sangat kuat terutamanya menjelang perlawanan yang biasanya disertai satu kali atau dua kali sebulan. Di Malaysia, kebanyakan pengamal Muay Thai bukanlah petinju profesional sebaliknya belajar semata-mata untuk mempertahankan diri dan kecergasan. Walaupun petinju di Kelantan dan Kedah ramai, namun belum ada yang menjadikan sukan ini sebagai pendapatan utama. Di Thailand, petinju Thai menjadikan sesuatu perlawanan sebagai sumber rezeki mereka.

Muay Thai ialah sukan tempur paling lasak dan seni mempertahankan diri yang efektif. Petinju Thai percaya, lebih baik menderita semasa latihan daripada menderita semasa perlawanan. Inilah yang menyebabkan setiap petinju Thai dihormati oleh semua pengamal seni tempur lain. Anda mesti berlatih dengan kuat kerana lawan anda berlatih lagi kuat daripada anda. Lagi banyak anda berlatih, lagi tinggi peluang anda untuk menang.

Saya sudah melihat ramai kanak-kanak yang sparring bersama orang dewasa, orang dewasa yang beratnya melebihi 120kg berlatih pao dengan jurulatih, remaja perempuan yang lemah lembut menendang punching bag, tetap datang berlatih tanpa sebarang rungutan. Bolehkah anda melakukannya? Jawapannya, adakah anda betul-betul mahu melakukannya? Jika mahu, anda boleh! Itupun jika anda berani mencuba.

1 ulasan:

Risik berkata...

salam bro...salam perkenalan lg kita dr RISIK,so x mari taiping ke ade muaythai 27hb 12 2009