20 November 2012

Biodata Cikgu Raja


Cikgu Raja Ahmad dilahirkan pada 1983 di Pasir Puteh Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SK Gaal dan SMK Kamil sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sama seperti remaja di Kelantan yang lain, minat terhadap sukan Muay Thai bermula ketika usianya 16 tahun setelah melihat pertandingan Muay Thai yang diadakan di Bandar Pasir Puteh. 

Kelab pertama yang disertai ialah Siku Kapak yang diasaskan oleh Pak Mat Siku Kapak di Kampung Sungai Gali, Pasir Puteh. Berlatih di bawah tunjuk ajar legenda Muay Thai di Kelantan ini merupakan peluang yang jarang diperoleh oleh anak-anak muay. Setelah beberapa tahun bersama Siku Kapak, minat mula berubah ke arah pencarian seni pula lalu berguru pula dalam Silat Seni Gayong dan Silat Tempur Tongkat. 

Di universiti, ilmu yang terpendam sejak beberapa tahun kembali ditagih oleh rakan-rakan sekuliah lalu tertubuhnya Kelab Muay Thai UPSI. Setelah menamatkan pengajian di Tanjung Malim pada 2007, khidmat ditagih oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Jawa di Klang. Semasa mengajar di sana, disiplin murid-murid Melayu agak teruk lalu keinginan timbul untuk mengubahnya melalui sukan Muay Thai. Menjadikan filem Only The Strong sebagai sumber inspirasi - filem yang memaparkan perjuangan seorang bekas komando yang kembali ke sekolah lamanya dan berjaya mengubah gejala samseng melalui seni beladiri Capoeira, Cikgu Raja diberi amanah oleh penolong kanan hal ehwal murid untuk mengubah sikap beberapa orang murid. Sejak hari itu keahlian semakin bertambah.

Oleh sebab kesempitan ruang berlatih, Cikgu Raja berusaha mencari tempat yang lebih besar. Semasa sedang berjoging di sebuah taman, satu lokasi strategik ditemui, padang getah yang berkeluasan sebuah padang futsal yang digunakan untuk senaman aerobik pada setiap pagi. Dari situlah bermulanya Kelab Muay Thai Sri Andalas. Sejak hari itu, bilangan ahli semakin bertambah. Pada tahun 2009, kelab bertukar nama dan nama guru pertama diambil lalu tertubuhlah Sitkrumat yang bermaksud anak-anak buah Tok Guru Pak Mat. 

Perkenalan dengan Pengerusi Persatuan Tomoi Gombak, Tuan Azman Abdul merupakan anugerah yang tidak ternilai lalu bermulalah perancangan memajukan sukan Muay Thai di Selangor. Beberapa kelab yang sudah lama wujud di Selangor diajak bergabung dan tertubuhlah Persatuan Muay Thai Selangor dan Cikgu Raja dilantik sebagai setiausaha agungnya. Beberapa seminar dan siri kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan dianjurkan. Persatuan ini juga merupakan ahli gabungan Persatuan Muay Thai Malaysia dan Majlis Muay Thai Sedunia.

Selain mengajar di Kem MR50 Sitkrumat di Taman Rakyat, Cikgu Raja juga mengajar kelas-kelas personal di rumah pelanggan yang sibuk atau mahukan latihan intensif 1 dengan 1. Selain mengajar, Cikgu Raja juga terlibat dalam mereka aksi pertarungan bagi beberapa drama dan filem antaranya Wasiat yang dilakonkan oleh Betto Kusyairy dan Farid Kamil. Ahli-ahli Sitkrumat juga sering diundang membuat persembahan bagi acara rasmi seperti perasmian gimnasium, hari sukan sekolah, majlis perkahwinan dan majlis korporat. 

Pada 2012, Sitkrumat bertukar nama. Perkataan MR50 yang bermaksud Malaysian Ringgit 50 diletakkan bersama-sama. MR50 diambil bersempena dengan yuran penyertaan sebanyak RM50 yang dibayar oleh ahli-ahli untuk menyertai kelab ini. Angka ini dianggap unik kerana dengan yuran serendah itu, pelatih boleh berlatih selama-lamanya tanpa perlu membayar yuran bulanan. Yuran pendaftaran itu sebenarnya digunakan untuk menambah barang-barang latihan dan ahli sebenarnya mendapat semula apa yang mereka bayar.

Walaupun bilangan ahli semakin bertambah sehingga mencapai 500 orang, lokasi latihan masih dikekalkan di Taman Rakyat Klang dan kini merupakan antara kelab paling ramai ahlinya di Malaysia.

Dalam komuniti tomoi di Malaysia, Cikgu Raja juga dipanggil Cikgu Kacak, gelaran yang diberikan oleh blogger Boxxtomoi.com, Tuan Musaddik Zainuddin ketika bersama-sama menubuhkan kelab peminat Muay Thai Kawanboxxx pada 2008 dan gelaran itu kekal sehingga kini. 

2 ulasan:

Hardy Boy berkata...

teruskan usaho boh... (^_^)

Parklee berkata...

Teruskan perjuangan MR50 Sitrumat Camp Klang. Syabas dan tahniah kerana masih menggekalkan momentum yang telah tersedia ada.

Kami sentiasa mengikuti perkembangan apa yang berlaku di MR50 Sitrumat Camp Klang.

Sekali lagi, syabas dan tahniah tuan!!