15 Jun 2011

Soalan Lazim Sitkrumat

Setiap hari Cikgu menerima berpuluh sms dan mesej FB bertanyakan tentang Sitkrumat. Di sini Cikgu menyenaraikannya supaya peminat tidak perlu menghantar sms atau menelefon Cikgu lagi. Semoga sedikit sebanyak membantu.

1. Di manakah letaknya Kem Sitkrumat?
Kem Sitkrumat terletak di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang (lebih kurang 2km dari Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah).

2. Pada waktu bilakah latihan dimulakan?
Latihan dimulakan pada pukul 4.30 hingga 7.30 malam setiap hari Sabtu dan Ahad.

3. Apakah yang perlu saya bawa jika ingin datang belajar?
Setiap pelatih dikehendaki memakai seluar pendek sama ada seluar Muay Thai atau seluar pendek bola. Bagaimana pun pelatih perempuan boleh memakai seluar panjang atau 'legging'. Gloves disediakan untuk semua pelatih tetapi jika pelatih tidak suka berkongsi, pelatih boleh membelinya dengan harga berpatutan melalui Cikgu.

4. Saya cuma mahu belajar Muay Thai untuk mempertahankan diri, bukan mahu bertanding.
Setiap pelatih diajar silibus yang sama. Bagaimana pun, jika pelatih berminat untuk menyertai pertandingan, latihan gelanggang dan tumpuan khusus akan diberikan. Jumlah jam latihan juga akan ditambah bagi meningkatkan kemahiran dan stamina.

5. Saya bekerja tidak mengikut syif, kadang-kadang hari minggu pun saya kerja.
Kebanyakan pelatih Sitkrumat terdiri daripada pekerja swasta. Pelatih bebas datang jika ada kelapangan. Pelatih tidak perlu bimbang tertinggal satu pelajaran kerana sistem yang kami amalkan fleksibel. Walaupun pelatih cuma datang sebulan sekali, pelatih diberi tunjuk ajar yang sama seperti pelatih yang datang setiap minggu.

6. Saya tidak mahu belajar di tempat terbuka, kenapakah Sitkrumat tidak menyewa bangunan?
Sitkrumat bukanlah kelab yang mencari keuntungan. Jika kami menyewa bangunan, kadar yuran latihan akan dikenakan. Jika mengikut standard gim di bandar besar, yuran latihan satu sesi (2 jam) paling kurang RM30. Di Sitkrumat, anda cuma perlu membayar RM50 sahaja dan dibayar sekali seumur hidup. Anda boleh berlatih selama mana yang anda mahu secara percuma.

7. Saya masih belajar di sekolah dan tidak mampu membayar RM50, bolehkah saya membayar yuran pendaftaran secara ansuran?
Seperti yang selalu Cikgu sebut, Sitkrumat bukanlah kelab yang mencari keuntungan. Pelatih boleh membuat bayaran secara ansuran setiap minggu mengikut kemampuan.

8. Cukupkah belajar cuma dua kali seminggu untuk menjadi petinju?
Untuk menjadi petinju profesional, jumlah itu terlalu sedikit. Di Thailand, petinjunya berlatih paling kurang 8 jam setiap hari. Bagaimana pun, di Kem Sitkrumat, pelatih yang datang kebanyakannya cuma ingin mempelajari seni mempertahankan diri atau mendapat tubuh yang cergas. Jika latihan 6 jam seminggu tidak cukup, pelatih boleh membeli heavy bag/punching bag daripada Cikgu dan berlatih sendiri di rumah selepas mendapat bimbingan Cikgu.

9. Apakah keistimewaan yang saya boleh dapat jika menyertai Sitkrumat?
Setiap pelatih Sitkrumat layak mendapat diskaun bagi setiap pembelian barangan Muay Thai melalui Sitkrumat Trading. Pelatih juga akan dibawa menyaksikan pertandingan Muay Thai sekitar Lembah Kelang yang diadakan oleh rakan-rakan sekutu Sitkrumat. Sitkrumat sentiasa mengadakan lawatan ke gim atau kelab Muay Thai terkenal untuk memberi pendedahan kepada pelatih. Pelatih yang cukup cergas dan mahir akan dihantar menyertai perlawanan tempatan jika berminat.

10. Adakah Sitkrumat menyediakan kelas VIP (datang ke rumah pelatih)?
Pelatih yang tidak boleh datang ke Kem Sitkrumat di Taman Rakyat boleh menghubungi Cikgu dan membuat janji temu bagi kelas VIP. Kadar bayaran bagi latihan VIP selama dua jam adalah sebanyak RM60 (sekitar Klang/Shah Alam) atau RM80 (Kuala Lumpur).

Tiada ulasan: