05 Mei 2011

Jenama Sitkrumat

Sitkrumat ialah gabungan 3 perkataan dari bahasa Thai yang bermaksud "anak-anak buah Kru Mat". Nama Mat diambil sempena jurulatih Muay Thai pertama Cikgu, iaitu Ahmad b. Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Mat "Siku Kapak". Jasa Allahyarham sangat besar dan banyak mempengaruhi permainan Muay Cikgu dalam seni ini.


Diasaskan sejak 2008 lagi di Klang, Selangor, Sitkrumat telah menjadi satu jenama yang diterima ramai. Penjenamaan yang sentiasa dilakukan oleh Cikgu dan anak-anak buah Sitkrumat telah membuahkan hasil setelah 3 tahun memulakan kelas di Taman Rakyat, Klang. Masih mengekalkan konsep kelab Muay di Kelantan yang berlatih di mana sahaja ruang yang ada, Sitkrumat tetap mendapat sambutan menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.


Penajaan dari beberapa syarikat termasuk pembekal barangan Muay Thai dari Thailand membuktikan bahawa Sitkrumat bukanlah 'kelab bawah pokok'. Sitkrumat masih utuh berdiri walaupun tidak pernah mengenakan yuran latihan seperti mana-mana kelab dan gelanggang di negara ini.


Kini, golongan remaja di daerah Klang mempunyai aktiviti tetap setiap hujung minggu yang sebelum ini dihabiskan dengan mengadap Playstation dan lepak di pusat beli belah. Sehingga hari ini, Sitkrumat telah melatih hampir 300 belia di daerah Klang yang kebanyakannya terdiri daripada murid-murid sekolah.


Jika anda berminat menyertai kami, datanglah ke Taman Rakyat, Taman Sri Andalas Klang setiap hari minggu. Jangan terkejut apabila melihat kanak-kanak dan orang dewasa tidak berbaju berlatih di tengah-tengah padang kerana kami sudah biasa dengan keadaan itu demi berkongsi ilmu. Jika anda tidak rela berlatih dalam suasana begitu, kami akan cadangkan gim-gim Muay Thai bersekutu yang terdekat. Matlamat kami hanyalah melahirkan insan yang cemerlang dari segi sahsiah dan kuat fizikalnya, bukan mencari keuntungan.

Tiada ulasan: