29 Januari 2009

Pengalaman di Thailand

Posting cikgu kali ini sepatutnya bertajuk “Perkara yang cikgu belajar di Thailand tetapi tidak cikgu amalkan apabila balik ke Malaysia”. Pada 23 Disember 2007, cikgu ke Thailand untuk menyertai kem intensif Muay Thai. Semasa di sana, cikgu bukan sahaja mempelajari Muay Thai tetapi juga menyelami kebudayaan Siam. Dengan menghabiskan masa selama seminggu di sana, cikgu mendapat banyak pengalaman berguna. Corak pemakanan peninju Thai sangat mudah tetapi mereka masih memiliki tubuh yang fit.

Latihan Muay Thai

Di Thailand, peninju berlatih dua kali sehari selama 2 – 3 jam setiap sesi. Latihan yang biasa dilakukan setiap hari seperti berikut:
1. Larian: 7 km pada waktu pagi dan 5 km pada waktu petang.
2. Lompat tali (15 – 30 minit)
3. Tinju bayangan (5 – 10 minit).
4. Latihan hentakan lutut kiri kanan di atas gelanggang sambil memegang tali gelanggang (15 minit).
5. Latihan beg berat - sepakan, tumbukan, siku, lutut (8 minit 1 pusingan, 1 minit rehat).
6. Latihan pao (5 minit sebanyak 5 pusingan).
7. Latihan bergelut (30 minit)
8. Latihan sparring selama 5 minit sebanyak 5 pusingan
9. Latihan menguatkan abdomen dan leher (tekan tubi, duduk bangun, mendagu, mengangkat tin simen/dumbbel dengan mulut)

Pemakanan Peninju Muay Thai

Peninju Muay Thai tidak mengambil makanan tambahan (suplemen) dalam diet mereka. Peninju makan dua kali sehari selepas latihan setiap sesi. Mereka mengambil karbohidrat seperti nasi, daging dan sayur dalam setiap hidangan. Masakan biasanya pedas dan berminyak. Selepas sesi latihan tamat, mereka akan makan dan kemudiannya tidur.

5 Pengajaran Berguna

1. Peninju Thai tidak makan 6 kali sehari. Mereka cuma makan 2 kali sehari dan masih mampu memiliki otot yang kuat, tubuh yang fit dan sihat.
2. Peninju Thai tidak mengangkat beban. Walaupun pihak gim menyediakan peralatan moden, peninju Thai tidak menggunakannya untuk mendapat tubuh yang fit. Walaupun begitu, mereka dianggap sebagai ahli sukan paling fit dengan hanya melakukan latihan kalistenik seperti mendagu (chin up), tekan tubi (push up) dan duduk bangun (sit up).
3. Peninju Thai tidak mengambil makanan tambahan seperti vitamin. Mereka cuma makan makanan berat setiap hari.
4. Peninju Thai berlatih secara intensif. Mereka tidak berehat semasa sedang berlatih atau memperlahankan rentak latihan mereka.
5. Peninju Thai tidak makan lewat malam atau bersarapan pagi. Latihan biasanya bermula pada pukul 3 petang dan tamat pada pukul 6 petang. Mereka akan makan pada pukul 6.30 – 7.00 petang. Mereka tidak akan makan lagi sehingga pukul 9 keesokan harinya. Mereka boleh dianggap berpuasa selama 14 jam tetapi masih bertenaga semasa berlatih.

Pengajaran cerita di atas

Peninju Thai tidak ambil peduli nasihat pemakanan moden. Kita diajar supaya mengambil 6 kali hidangan setiap hari. Kita juga diminta mengangkat beban di gim sehingga otot menjadi berketul-ketul. Kita juga diajar supaya bersenam untuk membakar lemak di bahagian tertentu. Kita diajar supaya makan sebelum berlatih supaya bertenaga. Akhirnya apa yang kita dapat, perut yang boroi dan hilang stamina di atas gelanggang. Mungkin kita patut mencontohi peninju Thai dan meninggalkan nasihat ’pakar-pakar’ kita.

5 ulasan:

Zawi berkata...

Anak muay kelate sepatutnya mengambil pelajaran dari pengalaman Chegu terutama tentang routine layihan dan diet. Peninju kita akan makan makanan yang kurang berkhasiat dan mampu memberi tenaga bila bertanding.
Terima kasih kerana berkongsi ilmu.

boksingkelate berkata...

Saya bukan nak kutuk peninju dan promoter Kelantan ni, tapi mereka sebenarnya takda cita-cita menggunung. Bakat banyak pun tak guna. Kebanyakan nak muay kelantan ni kurang pendidikan. Sebab itulah mereka akan dengar apa sahaja kata kru mereka. Seharusnya persatuan boksing kelantan yang membantu meningkatkan mutu sukan dan nak muay, bukan setakat merangka strategi. Dah lama saya tunggu perubahan dalam boksing di Kelantan ni, tapi masih macam dulu juga. Saya bukan ahli jawatankuasa persatuan, jadi setakat berkokok dalam blog sajalah.

Zack berkata...

Cikgu, boleh share tak gym mana yang cikgu attend dulu? Zaman saya dah berlalu, saja nak menyibuk. Lagipun kita berkongsi pandangan yang sama tentang senario boksing di Kelantan.

anak muar berkata...

kita kena paham bahawa kebanyakkan peninju thai tidak mempunyai perbelanjaan untuk makanan khasiat kerana semua diatur oleh sekolah....tapi macam buakaw, pemakan khasiat dijaga untuk masa panjang...80% dari peninju thai akan bersara dlm umur 20 han dan kebanyakkan badan mereka rosak disebabkan kekurangan zat. Masa muda, tiada perbezaan kerana our recuperating mechanism masih segar dan kuat. So, kita mesti bijak membaca dan mengambil yg positif. Membuar andaian hanya selepas 1 minggu berlatih adalah kurang tepat.

peminat tomoi berkata...

Apa yang bagus kita teladani, yang tak bagus kita jauhi. Bab pemakanan tu, ada benar kata anal muar. Apa yang dinasihatkan pakar pemakanan tu betul. cUma kita ikut nasihat makan 6 kali sehari tapi kita tak ikut nasihat berapa banyak kita patut makan dan excercise.. Sebab tu la badan jadi boroi. BUat apa fit diwaktu muda tetapi sakit2 diwaktu tua.