26 Disember 2008

Bertemu Legenda


Acharn (grandmaster) Somwang Sinuan, 53 dilahirkan di Kronghei, Amper, Hatyai. Beliau mula mempelajari Muay Thai ketika umurnya 12 tahun dengan Haji Hashim di gim Sorkhoson, Hatyai. Nama gelarannya ketika itu ialah Somwang Sorkhoson.

Ketika era kegemilangannya, beliau pernah memenangi kejuaraan di Stadium Lumpini dan Stadium Rajadamnern dalam kategori lightweight. Selepas beberapa tahun di gim Sorkhoson, beliau ditawarkan berlatih di gim Starlight, juga di Hatyai. Rekodnya makin cemerlang ketika ini apabila memenangi 60 perlawanan anjuran TV11 (kini dikenali sebagai NBT) dan pernah menjadi juara 5 wilayah selatan Thailand. Beliau bukan sahaja terlibat dalam perlawanan Muay Thai, tetapi juga moisakorn (tinju Barat), sukan yang jarang disertai Nak Muay (peninju Muay Thai).

Selepas berlatih di gim Starlight, beliau beralih arah ke gim Pandencho. Nama gelarannya di gim ini ialah Danchai Pandencho. Pada umur 31 tahun, beliau bersara daripada arena perlawanan dan mula menjadi jurulatih dan pengadil bagi kejohanan di Thailand dan Malaysia. Selepas mengajar di gim Boxxwarrior, Kulim, Kedah selama 9 bulan, beliau bersara dan kini menjadi penasihat bagi gim Ponitiwat di Hatyai.

Perlawanan yang melonjakkan namanya sebagai legenda adalah apabila berlawan dengan ahli Kung Fu terkenal yang juga pelakon, Wang Yu di Hong Kong pada tahun 1970-an. Perlawanan tanpa sarung tangan ini masih menjadi perlawanan klasik Muay Thai-Kung Fu yang menaikkan sukan Muay Thai sebagai salah satu ilmu tarung yang digeruni di dunia. Dengan rekod perlawanan sebanyak 275 kali (224 menang, 48 kalah, 3 seri), beliau merupakan salah seorang legenda Muay Thai.

Tiada ulasan: