Negeri Kelantan terkenal kerana melahirkan ramai petinju tomoi sejak dekad 70-an lagi. Jaguh-jaguh tempatan ini bersaing di selatan Thailand kerana pada masa itu, gelanggang mudah alih seperti sekarang belum ada lagi.
Di setiap ceruk kampung, kita boleh melihat kanak-kanak seawal usia 4 tahun lagi sudah mula menyepak punching bag berisi habuk kayu. Punching bag ini biasanya dibuat sendiri oleh kru (jurulatih). Ada yang membuat punching bag daripada kain kanvas, PU kusyen kereta atau guni beras. Glove punching bag biasanya diperbuat daripada sarung tangan kulit pekerja binaan.
Di dalam gelanggang pula, biasanya terdapat sekurang-kurangnya satu punching bag yang digantung pada batang pinang atau batang nibung. Murid akan bergilir-gilir menggunakannya dengan diselia oleh kru atau murid kanan. Penggunaan pao sebagai alat tubi masih jarang bagi gelanggang kecil. Namun begitu, sparring bersama rakan pelatih wajib bagi semua gelanggang. Kebiasaannya, glove lusuh yang sudah bertahun-tahun masih digunakan. Glove ini digunapakai oleh kesemua pelatih yang ada kerana kedaifan gelanggang.
Pada masa kini, Tumpat adalah antara daerah yang aktif menganjurkan pertandingan diikuti daerah Tanah Merah dan Pasir Mas. Walaupun tiada stadium tetap seperti di Thailand, sambutan daripada penonton amat menggalakkan. Penganjur mendapat keuntungan daripada tiket penonton kerana kesukaran mendapatkan penajaan daripada syarikat atau badan korporat. Dengan bayaran tiket sebanyak RM10.00, penonton akan disajikan dengan persembahan oleh lima regu setiap malam. Pemenang biasanya dibayar sebanyak RM500 bagi setiap kemenangan, RM400 bagi keputusan seri, dan RM300 sekiranya kalah.
2 ulasan:
Cikgu Kacak,
Sayangnya sukan Tomoi tidak banyak pendedahan di selatan , dinegeri Johor atau Melaka . Setahu saya tidak ada gym tomoi di sini. Kalaupun ada Ultimate Gym, merupakan satu gym bukan khususnya untuk Tomoi tapi bercampur dengan sukan2 lain seperti Tek Quan Do dan Utimate Wrestling. Tapi gym Muay Thai memang ada di Singapura , walaupun ianya secara professional dan mengenakan bayaran yang mahal.
Disebabkan mungkin gym Tomoi dah mula terlalu banyak di KL dan Utara, mungkin juga ada pihak yang nak mengembangkan sayap di sini di kawasan yang masih kosong. Saya yakin akan memperolehi keuntungan dan mendapat banyak ahli baru.
Kelantan dan Thailand dapat mengeluarkan jagoh2 tomoi kerana ramai orang bermain tomoi disana, justeru hanya yang terbaik saja yang terpilih. Negeri lain juga boleh mengeluarkan jagoh yang sama sekiranya pendedahan dan galakan yang sama di berikan kepada mereka.
Salam
zul jb
Betul kata abg zul. Di Kelantan, kami tak perlu perlawanan amatur untuk jadi profesional. Siapa yang rasa nak lawan, boleh lawan. Bila dah banyak kali lawan, baru ada promoter dari luar yang tawarkan tempat untuk bertarung. Tengok bagaimana MT serap budak-budak Kelantan yang baru meningkat naik.
Catat Ulasan