Bahu terkehel adalah kecederaan biasa bagi petinju. Kecederaan boleh terjadi apabila tulang tangan teralih kedudukannya dari soket bahu. Apa yang berlaku ketika itu adalah tulang humerus telah teranjak dari skapula di sendi glenohumeral. Dalam penerangan kasar, tulang tangan telah 'terkeluar' dari engsel bahu.
Bahu juga akan terasa sakit sekiranya skapula terpisah dengan klavikel kerana kecederaan berlaku pada ligamen yang menghubungkan kedua-dua tulang tersebut.
Petinju yang pernah mengalami kecederaan sebegini pada usia muda, misalnya pada awal 20-an, berkemungkinan untuk mendapat kecederaan berulang. Sehingga dia mencapai usia melebihi 30 tahun, kemungkinan itu akan berkurangan.
Tulang bahu yang terkehel atau teralih kedudukannya perlu dirawat sepantas mungkin. Apabila dirujuk kepada doktor, pesakit akan ditanya tentang sejarah kecederaan selain menilai keadaan fizikal pada bahagian bahunya. Tulang bahu yang teralih sangat mudah disahkan kerana ia kelihatan dengan jelas.
Doktor biasanya menyuntik anestetik pada pesakit sebelum melaras semula tulang tangan ke dalam tulang soket bahu melalui gerakan khusus. Kaedah maneuver itu hanya boleh dilakukan oleh mereka yang arif dengan anatomi di bahagian tersebut.
Memandangkan bahagian sendi tersebut akan membengkak dan bertambah sakit, maka lebih baik rawatan tersebut dipercepatkan. Sejurus tulang tangan dimasukkan semula ke dalam soket bahu, sebahagian daripada rasa sakit itu akan hilang.
Lazimnya pesakit akan dapat merasa atau mendengar bunyi seperti tulang yang berlaga apabila tulang kembali ke tempat asalnya. Selepas itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit atau ubat antiradang untuk mengurangkan kesan bengkak. Penggunaan pek ais juga disarankan sebagai kaedah rawatan di rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan