25 Julai 2009

Muay Thai di Thailand

Di Thailand, setiap kanak-kanak ingin menjadi petinju profesional. Oleh sebab Muay Thai merupakan salah satu aktiviti ko-kurikulum di sekolah, ramai murid yang mahu menjadi profesional menyertai kem yang boleh ditemui di setiap daerah.

Kem Muay Thai di Thailand berkait rapat dengan Wat (kuil). Ini disebabkan bikkhu mempunyai pengaruh terhadap kem tersebut melalui upacara penyucian kem, pemberkatan mongkon dan menjampi prajed.

Tentera juga memainkan peranan penting dalam sukan ini. Badan tertinggi yang mengawal aktiviti sukan ini dikuasai oleh pegawai-pegawai tentera. Contohnya, Stadium Lumpini diuruskan oleh pegawai kanan tentera. Ramai juga tentera yang terlibat dalam perlawanan untuk mendapat kenaikan pangkat.

Petinju Thai biasanya memasuki kem ketika umur mereka baru enam tahun. Sebab itulah kita dapat lihat kem Muay Thai di Thailand dipenuhi oleh kanak-kanak. Mereka mula memasuki arena pertandingan selepas beberapa bulan latihan untuk mencari wang bagi menampung yuran latihan dan menghantar bakinya kepada keluarga. Ada juga kem yang mengambil anak-anak yatim untuk dilatih bagi mempersiapkan diri mereka hidup dengan lebih sempurna pada masa depan.

Ikatan kekeluargaan di dalam kem amat kuat kerana setiap pelatih mengganggap rakan mereka sebagai adik beradik dan jurulatih dianggap sebagai bapa. Walaupun kemudahan asas seperti bilik tidak mencukupi di kem, kanak-kanak ini tidak kisah langsung kerana matlamat mereka adalah menjadi pofesional dan keluar daripada kemiskinan.

Tiada ulasan: