19 Februari 2009

Kudin Raja Jerung

Mohd Muinuddin b. Kadir atau dikenali juga sebagai Kudin Khuntheb Raja Jerung berasal dari Tumpat, Kelantan. Rekod perlawanannya ialah 51 kali dengan 40 kali menang, 7 kali seri dan 4 kali kalah. Peninju ranking ke-2 sukan tomoi di Kelantan ini kini mewakili kelab tomoi Malaysian Tiger.

13 Februari 2009

Mentera ilmu kebal Melayu

Allah payung aku
Jibrail kota aku
Malaikat 44 pagar aku
Aku berjalan dengan kuasa Allah
Aku melenggang dengan melenggang Muhammad
Bukan kata aku
Kata Allah dengan berkat doa
Lailahaillallah Muhammad Rasulullah

Kejohanan Tomoi Kuala Lumpur 2009

Cikgu sedang membantu menyiapkan gelanggang
Cikgu bersama ahli kawanboxx dan En. Zahari Boxx Event
Cikgu membantu emcee mengacarakan perlawanan
Cikgu menemuramah En. Farek Abd Ghani, bos M-150
Cikgu sedang menemuramah juara Kelantan, Iddi Selindang Kuning
Cikgu menemuramah Tengku Shahrizal, juara kelayakan Contender Asia 2
Cikgu menemuramah Champert Chosipasert, juara Thailand
Cikgu menemuramah Seethanonchai, juara dunia PK1

29 Januari 2009

Pengalaman di Thailand

Posting cikgu kali ini sepatutnya bertajuk “Perkara yang cikgu belajar di Thailand tetapi tidak cikgu amalkan apabila balik ke Malaysia”. Pada 23 Disember 2007, cikgu ke Thailand untuk menyertai kem intensif Muay Thai. Semasa di sana, cikgu bukan sahaja mempelajari Muay Thai tetapi juga menyelami kebudayaan Siam. Dengan menghabiskan masa selama seminggu di sana, cikgu mendapat banyak pengalaman berguna. Corak pemakanan peninju Thai sangat mudah tetapi mereka masih memiliki tubuh yang fit.

Latihan Muay Thai

Di Thailand, peninju berlatih dua kali sehari selama 2 – 3 jam setiap sesi. Latihan yang biasa dilakukan setiap hari seperti berikut:
1. Larian: 7 km pada waktu pagi dan 5 km pada waktu petang.
2. Lompat tali (15 – 30 minit)
3. Tinju bayangan (5 – 10 minit).
4. Latihan hentakan lutut kiri kanan di atas gelanggang sambil memegang tali gelanggang (15 minit).
5. Latihan beg berat - sepakan, tumbukan, siku, lutut (8 minit 1 pusingan, 1 minit rehat).
6. Latihan pao (5 minit sebanyak 5 pusingan).
7. Latihan bergelut (30 minit)
8. Latihan sparring selama 5 minit sebanyak 5 pusingan
9. Latihan menguatkan abdomen dan leher (tekan tubi, duduk bangun, mendagu, mengangkat tin simen/dumbbel dengan mulut)

Pemakanan Peninju Muay Thai

Peninju Muay Thai tidak mengambil makanan tambahan (suplemen) dalam diet mereka. Peninju makan dua kali sehari selepas latihan setiap sesi. Mereka mengambil karbohidrat seperti nasi, daging dan sayur dalam setiap hidangan. Masakan biasanya pedas dan berminyak. Selepas sesi latihan tamat, mereka akan makan dan kemudiannya tidur.

5 Pengajaran Berguna

1. Peninju Thai tidak makan 6 kali sehari. Mereka cuma makan 2 kali sehari dan masih mampu memiliki otot yang kuat, tubuh yang fit dan sihat.
2. Peninju Thai tidak mengangkat beban. Walaupun pihak gim menyediakan peralatan moden, peninju Thai tidak menggunakannya untuk mendapat tubuh yang fit. Walaupun begitu, mereka dianggap sebagai ahli sukan paling fit dengan hanya melakukan latihan kalistenik seperti mendagu (chin up), tekan tubi (push up) dan duduk bangun (sit up).
3. Peninju Thai tidak mengambil makanan tambahan seperti vitamin. Mereka cuma makan makanan berat setiap hari.
4. Peninju Thai berlatih secara intensif. Mereka tidak berehat semasa sedang berlatih atau memperlahankan rentak latihan mereka.
5. Peninju Thai tidak makan lewat malam atau bersarapan pagi. Latihan biasanya bermula pada pukul 3 petang dan tamat pada pukul 6 petang. Mereka akan makan pada pukul 6.30 – 7.00 petang. Mereka tidak akan makan lagi sehingga pukul 9 keesokan harinya. Mereka boleh dianggap berpuasa selama 14 jam tetapi masih bertenaga semasa berlatih.

Pengajaran cerita di atas

Peninju Thai tidak ambil peduli nasihat pemakanan moden. Kita diajar supaya mengambil 6 kali hidangan setiap hari. Kita juga diminta mengangkat beban di gim sehingga otot menjadi berketul-ketul. Kita juga diajar supaya bersenam untuk membakar lemak di bahagian tertentu. Kita diajar supaya makan sebelum berlatih supaya bertenaga. Akhirnya apa yang kita dapat, perut yang boroi dan hilang stamina di atas gelanggang. Mungkin kita patut mencontohi peninju Thai dan meninggalkan nasihat ’pakar-pakar’ kita.

28 Januari 2009

Balutan Tangan

Gambar di atas menunjukkan cara-cara membalut tangan dengan menggunakan pita perekat. Balutan ini tidak sama dengan balutan jenis kain. Pita perekat tidak sesuai digunakan sekiranya peninju berlatih dengan alat tubi atau sparring. Ramai peninju yang berlawan di atas gelanggang memilih untuk menggunakan pita perekat berbanding pembalut jenis kain kerana lebih kemas dan buku lima menjadi lebih keras. Walau bagaimanapun, pita ini perlu dipotong selepas digunakan kerana ia melekat dengan kuat.

27 Januari 2009

Kejohanan Boksing



27 Disember 2008

Buka gelanggang

(cikgu bermain gendang semasa upacara buka gelanggang pada tahun 2003)

1. Selepas menamatkan latihan intensif boksing (muay thai dan bergendang) selama 2 tahun dengan Pak Mat (selepas belajar asas boksing selama dua bulan di bangsal), cikgu diberi kebenaran olehnya untuk membuka gelanggang di kampung cikgu.

2. Ketika itu, cikgu masih muda untuk bergelar kru kerana sedang menunggu keputusan STPM.

3. Bersama bekas rakan sepelatih cikgu dahulu dan bantuan Pak Mat sebagai penasihat, terbinalah bangsal berdekatan rumah cikgu selepas mendapat kebenaran polis.

4. Seramai 10 orang perintis yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja menyertai bangsal cikgu.

5. Sebelum mengajar, cikgu mengadakan upacara buka gelanggang secara rasmi.

6. Orang-orang tua yang terdiri daripada jaguh tomoi dan pendekar silat dijemput memeriahkan pembukaan bangsal.

7. Pesilat tari dan tempur tongkat adalah antara hadirin yang selalu dijemput dalam mana-mana upacara buka gelanggang boksing.

8. Sebelum persembahan daripada pesilat dan nak muay veteran, seorang tua biasanya bekas pendekar dijemput untuk membacakan mantera dan doa sambil mengasapkan kemenyam.

9. Beras kuning akan ditabur di sekeliling gelanggang.

10. Sehelai kain kuning (kain lepas) diikat di tengah gelanggang.

11. Selain itu, sebiji telur yang telah digoreng dan diletakkan di dalam pinggan digantung di tiang tengah gelanggang.

12. Di bawahnya akan diletakkan sebiji kelapa tua.

13. Menurut kata orang-orang tua, barang-barang ini perlu untuk melindungi bangsal daripada anasir jahat dan sihir.

14. Dalam boksing kelantan, upacara menerima anak murid seperti yok kru dalam Muay Thai turut diadakan.

15. Di tengah-tengah gelanggang, cikgu akan memakaikan tali perguruan (mongkon) kepada setiap anak murid sebagai tanda menerima mereka sebagai murid.

16. Ketika upacara ini, murid akan duduk berteleku sambil melakukan wai kru (hormat guru).

26 Disember 2008

Boksing di kenduri kahwin




















Bertemu Legenda


Acharn (grandmaster) Somwang Sinuan, 53 dilahirkan di Kronghei, Amper, Hatyai. Beliau mula mempelajari Muay Thai ketika umurnya 12 tahun dengan Haji Hashim di gim Sorkhoson, Hatyai. Nama gelarannya ketika itu ialah Somwang Sorkhoson.

Ketika era kegemilangannya, beliau pernah memenangi kejuaraan di Stadium Lumpini dan Stadium Rajadamnern dalam kategori lightweight. Selepas beberapa tahun di gim Sorkhoson, beliau ditawarkan berlatih di gim Starlight, juga di Hatyai. Rekodnya makin cemerlang ketika ini apabila memenangi 60 perlawanan anjuran TV11 (kini dikenali sebagai NBT) dan pernah menjadi juara 5 wilayah selatan Thailand. Beliau bukan sahaja terlibat dalam perlawanan Muay Thai, tetapi juga moisakorn (tinju Barat), sukan yang jarang disertai Nak Muay (peninju Muay Thai).

Selepas berlatih di gim Starlight, beliau beralih arah ke gim Pandencho. Nama gelarannya di gim ini ialah Danchai Pandencho. Pada umur 31 tahun, beliau bersara daripada arena perlawanan dan mula menjadi jurulatih dan pengadil bagi kejohanan di Thailand dan Malaysia. Selepas mengajar di gim Boxxwarrior, Kulim, Kedah selama 9 bulan, beliau bersara dan kini menjadi penasihat bagi gim Ponitiwat di Hatyai.

Perlawanan yang melonjakkan namanya sebagai legenda adalah apabila berlawan dengan ahli Kung Fu terkenal yang juga pelakon, Wang Yu di Hong Kong pada tahun 1970-an. Perlawanan tanpa sarung tangan ini masih menjadi perlawanan klasik Muay Thai-Kung Fu yang menaikkan sukan Muay Thai sebagai salah satu ilmu tarung yang digeruni di dunia. Dengan rekod perlawanan sebanyak 275 kali (224 menang, 48 kalah, 3 seri), beliau merupakan salah seorang legenda Muay Thai.