29 Jun 2009

Di Sebalik Tabir - Nak Muay Kecil

Adik Chades Sit Kru Mat baru berusia 10 tahun. Bakal nak muay berketurunan Siam ini mula menyertai Sit Kru Mat sejak dua bulan lepas.
Adik Raimi Sitkrumat baru berusia 9 tahun, mula menyertai Sitkrumat sejak dua minggu lepas setelah dua bulan mengusyar gelanggang ini. Dia akan bersama-sama Chades menyertai perlawanan pertama di Negeri Sembilan pada bulan Oktober nanti.
Cikgu sedang mengurut Adik Raimi sebelum latihan bermula

Adik Raimi menunjukkan peningkatan yang agak cepat berbanding pelatih lain.

Teknik yang paling disukainya ialah siku lintang

Adik Raimi berlatih sparring bersama Chades setiap petang sebagai persediaan pertandingan

Teep kaki kiri yang kuat dan padu menyinggah paha Chades

Gaya seorang profesional

Dua nak muay yang bakal berentap dengan jaguh antarabangsa nanti. Selamat berjaya diucapkan kepada Adik Raimi dan Adik Chades.

28 Jun 2009

Gendang Boksing Kelantan

Sekiranya anda berminat mendapatkan perkhidmatan gendang boksing dan silat untuk kejohanan atau acara rasmi seperti perkahwinan, sila hubungi Pak Mat di talian 019-9499847. Bayaran yang dikenakan amat berpatutan. Kumpulan Gendang Kok Keli sering diundang menjayakan kejohanan tomoi anjuran Boxx Event.

20 Jun 2009

Seni Beladiri

Majalah Seni Beladiri April 2009 memuatkan ulasan perlawanan yang ditulis oleh Cikgu sebanyak 8 muka surat. Pengumpul memorabilia tomoi seharusnya memiliki naskhah ini kerana banyak gambar menarik dipaparkan.

19 Jun 2009

Belasungkawa

Kru Ahmad Siku Kapak atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Kapak berasal dari Pasir Puteh, Kelantan. Ketika hayatnya, beliau ialah jaguh tomoi ternama di Kelantan dan Selatan Thai. Selepas mengabadikan 40 tahun hidupnya bertinju dan mengajar, beliau akhirnya bersara kerana menghidap penyakit kencing manis. Beliau pernah menjadi pengawal peribadi kepada En. Jailani Jaafar, pegawai daerah Pasir Puteh selama beberapa tahun. Kerana tidak mahu meninggalkan keluarga, beliau menolak tawaran dari seorang sahabat yang mahu membawanya mengajar tomoi di Mexico.

Ramai antara muridnya yang terlibat dalam perlawanan tomoi tetapi tiada seorang pun dapat menandinginya yang berlawan dengan jaguh-jaguh dari Thailand dan Eropah. Beliau ialah guru tomoi pertama Cikgu. Cikgu sedar semasa hayatnya, beliau kecewa dengan anak-anak muridnya yang tidak dapat meneruskan legasi Siku Kapak yang ditakuti oleh nak muay tempatan kerana teknik siku yang sukar diduga. Walau bagaimanapun, beliau bangga kerana salah seorang muridnya mengabadikan namanya pada kelab tomoi pertama di Klang, iaitu Sit Kru Mat. Sit Kru Mat yang bermaksud anak-anak buah Cikgu Mat (Pak Mat Kapak) ini telah melatih hampir 70 murid sejak ditubuhkan pada Januari 2008.

Pada bulan Disember 2008, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di samping anak-anaknya di Terengganu. Boksing Kelate mengucapkan takziah kepada keluarganya dan sama-samalah kita menghadiahkan al-fatihah kepadanya.

Sepak batang pisang

Di Kelantan, masih ramai pengamal tomoi menjadikan batang pisang sebagai alat tubi untuk mengeraskan tulang kering. Walaupun petinju Thailand sudah lama meninggalkan amalan ini, nak muay Kelantan masih lagi memilih batang pisang kerana selain mudah didapati, batang pisang juga mempunyai bentuk yang lembut di luar tetapi keras di dalam sama seperti tubuh manusia. Air getah pisang didakwa mempunyai khasiat untuk mengeraskan tulang peninju.

18 Jun 2009

Lagu Muay Thai

“Setiap anggota badan orang Siam berbisa. Walaupun bertangan kosong, dia boleh menumbangkan sembilan lawannya” – Raja Mangra

Kaset ini menampilkan muzik dari Siam untuk pertarungan dan memberi semangat patriotik. Terdapat irama Muay Thai, Krabi Krabong, lagu kebangsaan, dan pelbagai irama gendang dan seruling.

16 Jun 2009

Pembantu sila keluar!

Cornerman merujuk kepada pembantu petinju semasa sesuatu perlawanan. Lazimnya cornerman terdiri daripada rakan sepelatih atau jurulatih petinju tersebut. Dalam sukan tinju, cornerman dipanggil sebagai second. Selain mengiringi petinju naik ke gelanggang, cornerman juga bertindak sebagai penasihat.

Cornerman ialah orang yang paling penting bagi petinju semasa perlawanan kerana petinju akan mendengar segala arahan daripada cornerman. Cornerman juga bertindak sebagai tukang urut kepada petinju semasa waktu rehat antara pusingan. Ketika melihat petinjunya dalam keadaan bahaya, cornerman akan melemparkan tuala putih ke tengah gelanggang sebagai tanda mengalah. Bagi perlawanan biasa, hanya dua cornerman dibenarkan mengiringi petinju. Manakala perlawanan merebut bengkung, tiga cornerman dibenarkan.

15 Jun 2009

Legenda Rakib Ahmad

Rakib masih aktif bertarung dalam sukan tomoi di Kelantan

Rakib Ahmad bukan nama asing bagi peminat sukan tinju tanahair. Pemenang pingat emas SUKMA 1994 dan pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 ini mula mencipta nama dalam sukan tomoi di Kelantan sebelum diserap ke skuad tinju negeri Kelantan pada 1993. Selepas memenangi pingat perak di Sukan SEA 2001, petinju yang berasal dari Rantau Panjang ini bersara dari arena tinju.

Ketika rakan seperjuangan lain bergelut mencari sesuap nasi, Rakib kini bahagia di samping isteri dan anak-anaknya dengan mempunyai perniagaan menjual kelengkapan ala tentera dan barang-barang tomoi di Pekan Rantau Panjang. Dua lot kedainya sering menjadi tumpuan peminat dan petinju yang ingin mendapatkan barangan dengan harga yang berpatutan. Selain itu, beliau memiliki kelab tomoinya sendiri yang berpusat di Taman Bakti, Rantau Panjang.

Sepatutnya beginilah nasib bagi semua nak muay yang sudah bersara, sama ada memiliki gim sendiri atau terlibat dalam perniagaan.


Kedai barang tomoi Rakib di Rantau Panjang

14 Jun 2009

Legenda tinju dan tomoi

Jarang sekali kita mendengar petinju tomoi yang terjun ke arena tinju atau sebaliknya. Kebanyakan mereka lebih suka kekal dalam satu-satu bidang untuk menjaga prestij dan nama. Namun ada seorang nak muay yang mencipta nama dalam kedua-dua sukan tempur ini sehingga layak digelar legenda. Siapakah legenda tinju dan tomoi yang dimaksudkan di atas?